Followers

Thursday, June 3, 2010

Polis bongkar makmal ecstasy, tahan suami isteri

GEORGETOWN: Polis menahan sepasang suami isteri dan seorang remaja perempuan selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong di sini yang didapati dijadikan sebagai makmal memproses dadah, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kon Meng, berkata bertindak hasil maklumat orang awam, polis membuat intipan terhadap rumah itu selama beberapa hari sebelum menyerbunya pada kira-kira 1 tengah hari kelmarin.
"Polis menahan seorang lelaki berumur 29 tahun yang bekerja sebagai juruteknik elektrik, dan isterinya yang berumur 25 tahun yang bekerja sebagai juruwang.
"Turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang bekerja sebagai ahli muzik yang dipercayai rakan kepada pasangan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selepas mengeledah rumah itu polis merampas pelbagai peralatan memproses dadah serta empat bungkus serbuk dadah jenis ecstasy seberat 5.7 kilogram yang dipercayai bernilai kira-kira RM171,000.

Gan berkata, antara perkakas pemerosesan dadah yang dirampas ialah botol berisi cecair kimia, dapur elektrik, acuan untuk membuat pil ecstasy, satu tukul kayu dan penimbang elektronik.

Beliau berkata, dadah itu dipercayai dipasarkan di sekitar Pulau Pinang dan negeri berhampiran.
Katanya, ketiga-tiga mereka ditahan reman sehingga 8 Jun ini dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Tiada laporan pelajar hamil luar nikah di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pelajaran Terengganu (JPT) tidak menerima sebarang maklumat mengenai terdapat pelajar sekolah di negeri ini yang hamil dan melahirkan anak luar nikah sejak pertengahan tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata JPT telah diminta untuk menyiasat perkara itu yang dilaporkan media hari ini.
"Namun setakat ini kita tidak dapat apa-apa maklumat perkara seumpama itu berlaku," katanya.
Beliau mengulas laporan akhbar yang menyebut terdapat empat pelajar sebuah Sekolah Menengah di daerah ini yang melahirkan anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki masing-masing sejak pertengahan tahun lalu.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, seramai 16 lagi pelajar sekolah itu kini disahkan mengandung.

Sambil menyifatkan kes itu sebagai serius jika benar berlaku, Ahmad Razif berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sekolah yang cuba menyembunyikan perkara seumpama itu.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai seorang pelajar telah bersalin sebelum ini, namun pelajar berkenaan sudah pun berkahwin.
"Jika ada kes-kes lain, kita masih belum dapat secara rasmi, pihak sekolah kini sedang siasat," katanya.

Beliau berkata, kes yang serius seperti itu selalunya berada dalam pengetahuan Jabatan Pelajaran.

"Tetapi, pihak jabatan tidak ada maklumat seperti yang disebut dalam laporan itu.

"Bagaimanapun jika kes seperti itu benar-benar berlaku tetapi di luar sekolah, masyarakat diminta tidak terus menunding jari dan menyalahkan pihak sekolah, katanya. - BERNAMA

Kekejaman Israel terbukti: Anifah

AMMAN: Sambil memuji keberanian 12 sukarelawan Malaysia menghadapi serangan tentera Israel semasa berada di atas kapal menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kejadian itu telah membuka mata dunia mengenai rejim Israel.
Beliau berkata, bagi sesetengah masyarakat di Eropah, mereka mungkin tidak begitu simpati dengan penderitaan rakyat Palestin selama ini tetapi dengan serangan terhadap kapal misi bantuan ke Gaza Isnin lalu itu telah membuka mata, telinga dan fikiran mereka.
"Kita sangat berharap ia akhirnya akan membawa masa depan yang lebih cerah kepada penduduk di Gaza dan Palestin keseluruhannya.
"Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya sangat berbangga bahawa rakyat turut terbabit dalam usaha antarabangsa untuk memecah sekatan yang dikenakan di Gaza oleh rejim Zionis sejak tiga tahun lalu," katanya.

Anifah berkata demikian ketika bertemu sukarelawan terbabit di sini yang dibebaskan pihak berkuasa Israel pagi semalam.

Beliau dan ketua kumpulan sukarelawan itu, Noor Azman Muhamad Samsuddin, turut bercakap menerusi telefon dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang sedang berada di Laos untuk lawatan rasmi.

Noor Azman didengar memberitahu Najib apa yang berlaku semasa serangan itu selain mengucapkan terima kasih atas usaha kerajaan membebaskan sukarelawan Malaysia.
Anifah berada di Amman untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Jordan di atas bantuan mereka dalam manjamin laluan selamat kepada sukarelawan Malaysia yang ditahan bersama ratusan yang lain, keluar dari Israel.

Semasa pertemuan di kediaman Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz, majlis kesyukuran diadakan untuk sukarelawan Malaysia yang dibebaskan dan tahlil kepada mereka yang terbunuh dalam serangan komando Israel ke atas kapal milik Turki, Mavi Marmara, itu.

Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terkorban dalam serangan yang sekali gus menimbulkan bantahan masyarakat dunia, termasuk Malaysia.

Bagi pihak sukarelawan Malaysia pula, Noor Azman menceritakan kembali detik serangan itu kepada mereka yang berada di majlis berkenaan, dengan berkata versi Israel mengenai kejadian itu hanya pembohongan semata-mata.

Beliau turut menolak dakyah Israel bahawa mereka yang berada di atas kapal tersebut telah melakukan keganasan.

"Macam mana ini boleh berlaku apabila di antara mereka terdapat seorang bayi yang berusia dua bulan setengah dan mereka yang berumur melebihi 80 tahun.

"Tiada siapa yang akan membawa seorang bayi bersama jika berniat untuk melakukan keganasan kepada orang lain," katanya.

Noor Azman berkata, mereka bersyukur kerana setelah dibebaskan, pihak Israel telah dikeji dunia di atas perbuatan mereka itu.

Sementara itu, Anifah berkata usaha akan dilakukan untuk mendesak Israel supaya membayar ganti rugi kepada sukarelawan Malaysia.

Kebanyakan mereka hanya tinggal sehelai sepinggang apabila menyeberang sempadan masuk ke Jordan.

Kamera video petugas televisyen Astro Awani turut dirampas oleh pihak Israel.

"Kita akan meminta pakar hak asasi manusia kita untuk melihat bagaimana ia boleh dilakukan," katanya.

Anifah turut menyentuh keperluan mengadakan program khas bagi membolehkan 12 sukarelawan terbabit menceritakan semula kejadian di atas kapal Mavi Marmara itu kepada rakyat Malaysia.

"Mungkin terdapat rakyat Malaysia atau orang lain yang tidak sependapat dengan kita tentang rejim Zionis. Program seumpama itu diharap dapat mengubahnya," katanya.

Anifah turut mengingatkan pihak yang mahu menyertai misi kemanusiaan yang serupa di masa depan supaya terlebih dahulu memalumkannya kepada Kementerian Luar.

"Ini penting sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Kepulangan sukarelawan Malaysia itu ke tanah air sedang diuruskan. - Bernama

Lebih banyak projek PPP dalam RMK-10

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang lebih banyak projek Perkongsian Swasta Awam (PPP) di bawah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK-10), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk SK Devamany.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijangka membentangkan RMK-10 di Parlimen pada minggu depan dan keseluruhan dokumen itu telah dimuktamadkan.
"PPP adalah adalah satu alat yang penting untuk menjana pertumbuhan dan projek infrastruktur," katanya pada Persidangan Pelaburan Antarabangsa bagi PPP di sini hari ini.
Selain itu, katanya, kerajaan juga mensasarkan untuk mengurangkan lagi birokrasi dan memudahkan proses urusan peniagaan di Malaysia bagi para pelabur asing.

"Peraturannya akan dipermudahkan dan dasar liberalisasi akan diperkukuhkan. Kerajaan kini bergerak ke arah itu," katanya.

Devamany berkata, PPP yang kukuh akan menerokai tanggung jawab, obligasi dan risiko secara optium dan "kita akan dapat mengurangkan ketidakefisienan serta mengurangkan kos."

Tahun lalu, dilaporkan kerajaan mensasarkan pertumbuhan purata tahunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.5 peratus dalam RMK10 dengan anggaran pembangunan keseluruhan RM230 bilion bagi mencapai matlamat ekonomi berpendapatan tinggi.
Adalah dijangka bahawa sekurang-kurangnya satu pertiga daripada perbelanjaan pembangunan atau projek antara RM60 bilion hingga RM70 bilion akan dilaksanakan mengikut PPP. - BERNAMA