Followers

Wednesday, June 2, 2010

Ciuman perokok boleh bunuh kanak-kanak: Pakar

MELBOURNE: Ciuman perokok boleh membawa maut kepada kanak-kanak, kata seorang pakar kesihatan kanak-kanak.

Prof Robert Booy, pengarah penyelidikan di Pusat Imunisasi dan Penyelidikan Kebangsaan di The Children's Hospital di Sydney, berkata ini kerana perokok berkemungkinan besar membawa sejenis bakteria berbahaya pada kerongkong mereka.
"Bakteria yang boleh menyebabkan kematian ini akan dipindahkan kepada kanak-kanak semasa mereka dibelai dan dicium.
"Perokok adalah pembawa kuman seperti meningococcus. Jadi, pelukan dan ciuman pada kanak-kanak, boleh menyebabkan kuman tersebar walaupun seseorang perokok itu merokok di luar rumah," katanya seperti dipetik laporan Australian Associated Press.

Menurut laporan itu, seorang daripada 10 kanak-kanak yang terkena penyakit akibat jangkitan bakteria itu akan meninggal dunia. - Bernama

12 sukarelawan Malaysia di Israel sudah dibebaskan

KUALA LUMPUR: Semua 12 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan komando rejim Israel ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, sudah dibebaskan dan kini berada di sempadan Jordan.
Pembebasan mereka itu dibuat awal hari ini, menurut laporan langsung dari wartawan Astro Awani yang turut ditahan.

Kabinet putus usul kecam Israel ke Dewan Rakyat Isnin

PUTRAJAYA: Kabinet memutuskan untuk membentangkan satu usul di Dewan Rakyat bagi mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Isnin ini.
Demikian kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri sebentar tadi.

Dadah: 2 lelaki ,1 wanita ditahan, barangan RM6 juta dirampas

KAJANG: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang terbabit dalam pengedaran dan pemprosesan dadah di sebuah rumah di Country Heights di sini dan merampas dadah, sepucuk pistol, dua buah kereta dan pelbagai barangan lain bernilai RM6 juta.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Shakaruddin Che Mood, berkata mereka ditahan dalam serbuan pada Ahad lalu.
Susulan penahanan itu, polis kemudiannya menemui pelbagai barangan memproses dadah di sebuah rumah di Anggerik Villa di sini yang dijadikan makmal kecil oleh sindiket berkenaan.
Katanya, ketiga-tiga mereka yang berumur dalam 30-an itu, termasuk seorang yang mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki bagi kes mendatangkan kecederaan mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan di Sitiawan, Perak, ditahan kira-kira 11.30 malam oleh pasukan bahagian narkotik Kajang.

"Dalam pemeriksaan di rumah itu, polis berjaya merampas sejumlah 4.5 gram ketamine, 40 gram syabu dan sepucuk pistol jenama Walther," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, hasil soal siasat yang dijalankan, ketiga-tiga suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah apartment di Anggerik Villa yang dijadikan tempat memproses dadah.

"Polis merampas 12 kilogram (kg) dadah yang disyaki syabu, 12 kg ketamine dan 315 gram campuran serbuk serta pil Ecstacy dan 27kg bahan yang disyaki dadah lain.
Beliau berkata, polis turut merampas kenderaan jenis Ford dan Toyota Alphard yang dipercayai digunakan ketiga-tiga suspek itu untuk menjalankan operasi mereka.

Selain itu, polis turut merampas kad kredit, buku simpanan bank, bahan kimia, komputer riba dan wang tunai RM2,200 dan semua rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM6 juta.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai bukan sahaja membekalkan dadah untuk pasaran Lembah Klang tetapi juga di luar kawasan Lembah Klang.

"Ketiga-tiga suspek ditahan reman sehingga 6 Jun ini untuk siasatan," katanya. - Bernama