Followers

Thursday, May 27, 2010

Ada isu Malaysia-Singapura belum selesai

KUALA LUMPUR 27 Mei - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat masih ada isu yang belum diselesaikan dengan Singapura hasil lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke republik itu baru-baru ini.
Beliau berkata, di awal lawatan Perdana Menteri ke Singapura, beliau berharap semua masalah di antara kedua-dua negara dapat diselesaikan tetapi mendapati masih terdapat beberapa isu yang tidak disentuh.
“Antaranya ialahy isu harga air yang dibekalkan kepada Singapura, Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) untuk rakyat Malaysia yang bekerja di sana dan soal jambatan yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.
“Nampaknya cuma separuh isu yang diselesaikan tetapi saya fikir Najib tentu akan terus berusaha menyelesaikan masalah yang masih ada terutamanya isu jambatan yang menyebabkan kesesakan di Johor Bahru,” katanya. - Utusan

Mansuh subsidi perkukuh ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Mei – Malaysia perlu memansuhkan pemberian subsidi bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi agar lebih berdaya saing dan mampu menjadi sebahagian daripada komponen teras ekonomi global.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, pemansuhan itu merupakan cadangan daripada makmal rasionalisasi subsidi bertujuan menggalakkan pemuliharaan yang lebih tinggi dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Menurut Idris, cabaran pada masa hadapan dijangka lebih kompetitif dan Malaysia perlu mengikuti perkembangan terkini ke arah pengaliran pengurangan subsidi global. - Utusan

Rundingan damai Palestin-Israel asas bagi lebih banyak kemajuan

PUTRAJAYA 27 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rundingan damai yang sedang berjalan antara Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Israel perlu menjadi asas yang baik agar lebih banyak kemajuan dapat dicapai.
Bercakap kepada pemberita selepas rundingan sejam dengan pemimpin Palestin di pejabatnya di sini hari ini, Najib berkata, Mahmoud telah mengambil kedudukan yang wajar yang mana Malaysia percaya akhirnya ia akan membawa kepada pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaulat.
Najib berkata, mereka berdua telah mengadakan perundingan “yang sangat berguna dan produktif”, yang mana Mahmoud telah memberi taklimat kepada pemimpin Malaysia mengenai perkembangan terbaru berhubung dengan rundingan itu.
"Jadi, Malaysia telah meminta kepemimpinan rakyat Palestin melalui Presiden Mahmoud Abbas agar meneruskan rundingan itu dan (pada masa yang sama) juga mendesak kerajaan Israel agar seboleh-bolehnya positif... ingat mengenai kedudukan wajar yang diambil oleh kerajaan ini (Palestin),” kata Najib dalam sidang akhbar bersama.
Mahmoud tiba di sini semalam untuk lawatan kerja tiga hari bagi meningkatkan keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin.
Ini merupakan lawatan rasminya yang kedua ke Malaysia selepas lawatan pertama pada 2007. – Bernama

Malaysia mungkin jadi pengimport minyak bersih pada 2011


KUALA LUMPUR 27 Mei – Malaysia berkemungkinan menjadi pengimport minyak seawal tahun depan sekiranya ia meneruskan kadar penggunaan petroleum seperti sekarang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala hari ini.
Rakyat Malaysia terus menjadi antara pengguna bahan api tertinggi perkapita dalam pola tabiat penggunaan bahan api dunia yang secara umumnya kekal tidak berubah, meskipun peningkatan harga minyak pada 2008.
Beliau juga berkata, kira-kira 70 peratus daripada subsidi gas petroleum cecair (LPG) kerajaan pergi kepada perniagaan komersial dan tidak sampai kepada golongan sasaran.
Kira-kira 30 peratus subsidi minyak masak juga disalahgunakan, katanya.
Beliau berkata, kerajaan mencadang untuk menghentikan secara perlahan-lahan subsidi petrol sejajar dengan langkah untuk meletakkan ekonomi Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh bagi merealisasikan aspirasi Wawasan 2020, iaitu untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
"Subsidi merupakan perlambangan perdagangan yang tidak tepat,” kata Idris semasa merasmikan Hari Terbuka Subsidi di sini bagi mendapat maklum balas daripada orang ramai mengenai subsidi.
"Tambahan pula, ia menimbulkan satu beban fiskal kepada ekonomi yang sedang meningkat maju seperti mana Malaysia patut menghindarinya. Oleh itu, kami sangat memerlukan satu strategi subsidi yang baik kerana ia tidak mampan,” katanya.
"Bagi menyelamatkan negara, kita perlu meningkatkan KDNK kita, rakyat Malaysia perlu sedar kita memberikan subsidi tertinggi — 4.6 peratus daripada KDNK malahan lebih tinggi berbanding Indonesia (2.7 peratus) & Filipina (0.2 peratus),” kata Idris, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).
Malaysia merupakan antara negara yang paling bersubsidi di dunia. Jumlah subsidinya sebanyak RM74 bilion pada 2009 bersamaan dengan RM12,900 bagi setiap isi rumah. – Bernama