Followers

Tuesday, May 11, 2010

Jangan sentuh isu agama ketika kempen di Sibu: Polis

SIBU: Polis hari ini memberi amaran kepada parti politik yang bertanding pada pilihan raya kecil bagi Parlimen Sibu tidak membangkitkan isu agama ketika berkempen.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC II Huzir Mohamed, berkata ada yang menggunakan isu kalimah "Allah" dalam ceramah mereka.

"Perkara ini telah diselesaikan tetapi ada yang mengeksploitasikannya sekali lagi. Ia adalah isu sensitif dan semua yang terlibat mesti berhenti daripada membangkitkannya," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat tektikal polis pilihan raya kecil Sibu (Martek) di Lanang Road di sini.
Huzir berkata, setakat ini polis memantau 40 kempen dan mengeluarkan 101 permit untuk ceramah kepada kedua-dua pihak (Barisan Nasional dan DAP). Tiada permohonan permit ceramah daripada calon bebas Narawi Haron.

Beliau berkata, polis menerima tiga aduan berhubung kempen pilihan raya kecil itu tetapi berdasarkan siasatan ia didapati tidak kukuh.

Sementara itu, Huzir berkata beliau telah memberi arahan kepada anggotanya untuk menahan mereka yang menggunakan kenderaan untuk berkempen melalui pembesar suara di jalan raya, tanpa mengira daripada parti politik mana.

Beliau berkata, tindakan seumpama itu boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.
"Ia boleh digunakan jika kenderaan itu tidak bergerak dan di kawasan yang dikhaskan untuk ceramah," katanya. - Bernama

KPT lancarkan Rakan Integriti Mahasiswa

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi hari ini melancarkan Rakan Integriti Mahasiswa (RIM) yang akan menjadi platform rasmi bagi setiap pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Politeknik dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya juga akan membangunkan satu kerangka integriti akademik bagi menjelaskan lagi ciri integriti akademik di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Kerangka ini penting kerana ia akan dapat membantu menghasilkan tenaga pensyarah yang berkualiti sekali gus menjadi contoh kepada pelajar di kampus.
Beliau percaya eko-sistem integriti ini akan menghasilkan budaya kecemerlangan IPT di negara.

Empat kluster ILI di Selangor, Pahang, NS

PUTRAJAYA: Empat kluster baru penyakit serupa Influenza (ILI) dilapor di tiga negeri iaitu Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan sehingga 8 pagi ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata empat kluster itu dilapor di Tadika Anak Riang, Puchong Jaya dan PLKN Jugra, Banting, Selangor, Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tekek, Rompin, Pahang dan kediaman di Taman Gunung Mas, Tampin, Negeri Sembilan.

"Sehingga 5.30 petang semalam, sejumlah 71 kes disahkan Influenza A (H1N1) menjadikan jumlah terkumpul kes itu kini adalah 14,138 kes.
"Jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad di seluruh negara ialah 678 kes," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 83 kes (12.2 peratus) disahkan positif Influenza A (H1N1) dan bilangan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 12 kes, tujuh daripadanya mempunyai faktor risiko.

Dr Mohd Ismail berkata, penularan jangkitan itu cukup mudah berlaku di tempat orang ramai berkumpul atau bersesak-sesak.

Beliau berkata, bagi mengekang penularan itu secara efektif, amat penting bagi mereka yang dijangkiti atau mempunyai gejala ILI seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak tidak pergi ke tempat sedemikian.
"Jika mereka mempunyai gejala ILI ini terpaksa keluar dan berhubungan dengan orang lain, mereka diminta sentiasa memakai penutup hidung dan mulut serta mengamalkan adab batuk dan kebersihan diri yang baik.

"Perkara ini amat penting bagi mengelakkan penyebaran virus kepada individu sihat yang lain," katanya.

Maklumat lanjut mengenai H1N1 boleh didapati menerusi laman web kementerian, di alamat http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi talian hotline 03-88810200/0300. - Bernama

IPP meningkat 14.1 peratus tahun ke tahun pada Mac

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Mac 2010 meningkat 14.1 peratus tahun ke tahun dan meningkat 15.1 peratus bulan ke bulan, demikian menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Sementara itu, peningkatan IPP bagi Februari 2010 disemak semula kepada 4.8 peratus tahun ke tahun berbanding dengan perangkaan lebih awal sebanyak 4.9 peratus.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata peningkatan tahun ke tahun pada Mac itu adalah berikutan kenaikan pada dua indeks, iaitu pengilangan (20.3 peratus) dan elektrik (24.9 peratus).
Indeks perlombongan merosot 0.5 peratus.

Indeks komulatif bagi suku pertama 2010 meningkat 11.0 peratus berbanding dengan tempoh yang sama 2009.

Pengeluaran pengilangan pada Mac 2010 meningkat 20.3 peratus berbanding dengan Mac 2009. Pengeluaran bagi Februari tahun ini meningkat 7.1 peratus (disemak semula) berbanding dengan tempoh yang sama 2009.

Berbanding bulan sebelum itu, pengeluaran bagi Mac 2010 meningkat 16.3 peratus berikutan kenaikan produk elektrik dan elektronik (46.1 peratus); produk kayu, perabot, produk kertas, percetakan (25.5 peratus); petroleum, kimia, getah dan produk plastik (7.4 peratus).
Pengeluaran pengilangan bagi suku pertama 2010 meningkat 15.2 peratus berbanding dengan suku yang sama 2009.

Pengeluaran sektor perlombongan pada Mac 2010 merosot 0.5 peratus tahun ke tahun disebabkan kemerosotan indeks minyak mentah (3.6 peratus) walau pun indeks gas asli meningkat 6.5 peratus.

Berbanding dengan bulan sebelum ini, pengeluaran perlombongan meningkat kepada 11.9 peratus, manakala bagi suku pertama 2010, ia meningkat 0.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengeluaran elektrik meningkat 24.9 peratus pada Mac 2010 berbanding dengan tempoh sama setahun lalu.

Berbanding dengan bulan sebelum itu, pengeluaran elektrik mencatatkan kenaikan 16.8 peratus.

Penjanaann elektrik bagi suku pertama 2010 meningkat 18.8 peratus berbanding dengan tempoh yang sama 2009. - Bernama