Followers

Wednesday, May 5, 2010

35 Senator diberi vaksin H1N1

KUALA LUMPUR: Seramai 35 Ahli Dewan Negara hari ini mendapatkan vaksin virus Influenza A(H1N1) di klinik bangunan Parlimen di sini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, jumlah itu adalah separuh daripada keseluruhan dos yang dibekalkan kepada ahli Dewan hari ini.
Dos yang selebihnya akan digunakan bagi ahli Dewan yang ingin mendapatkannya esok.
"Setakat hari ini sebanyak 35 vaksin telah diberi kepada ahli Dewan Negara dan saya puas hati sebab ia (vaksin) mendapat sambutan daripada ahli Dewan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, ketika sesi soal jawab di Dewan Negara pagi ini memaklumkan bahawa ahli Dewan boleh mendapatkan vaksin itu di klinik Parlimen hari ini. - Bernama

PM akan rasmi Konvensyen Usahawan Melayu 2010

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan merasmikan Konvensyen Usahawan Melayu 2010 yang bertujuan mencari idea dan rangka kerja baru pembangunan usahawan Melayu di dalam Model Ekonomi Baru (MEB).
Konvensyen yang dijangka menarik lebih 600 orang peserta terdiri daripada ahli profesional, ekonomi dan usahawan, akan berlangsung selama dua hari dari 14 hingga 15 Mei di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan tema, "NGO Force Ke 3, Penjana Ekonomi Bangsa".
Presidennya, Syed Ali Alattas, berkata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, juga dijangka turut hadir dan akan memberi ucaptama di konvensyen anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) itu.
"Kebiasaanya, NGO menyeru kerajaan supaya menyediakan dan melakukan sesuatu tetapi sekarang NGO akan sama-sama berganding bahu untuk memacu ekonomi negara," katanya.

Syed Ali Alattas berkata, NGO atau badan bukan kerajaan akan sedaya upaya untuk memberi kerjasama serta sokongan kepada penggerak ekonomi negara iaitu kerajaan dan sektor swasta.

Katanya, NGO akan bekerja sama bagi mempastikan MEB berjaya melonjakkan ekonomi negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.

"Kita akan cuba untuk mewujudkan Pensyarikatan NGO yang akan menyumbangkan kepakaran dan idea bagi menjayakan MEB," katanya.
Syed Ali berkata, cabaran yang sedang dihadapi oleh negara sekarang sangat jauh berbeza dengan cabaran yang dilalui sewaktu berlangsungnya kongres-kongres yang diadakan sebelum ini.

Konvensyen pada kali ini adalah kesinambungan dari Kongres Melayu yang ke-empat yang telah diadakan buat kali terakhir pada 1999.

Kewujudan Majlis Amanah Rakyat, Bank Bumiputra, Bank Pembangunan, Pernas, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Yayasan Hartanah adalah idea yang dicetuskan melalui kongres sebelum ini.

Syed Ali Alattas berkata, konvensyen diadakan untuk mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman terhadap kemajuan pembangunan usahawan Melayu.

Selain itu juga, Konvensyen akan membincangkan mengenai peranan yang mesti dimainkan oleh usahawan Melayu dalam model ekonomi baru, melihat semula kemudahan pinjaman.

Syed Ali berkata, konvensyen itu akan menggarap idea baru untuk dijadikan dasar utama pembangunan usahawan Melayu dalam MEB dengan matlamat meningkat ekonomi Melayu setanding dengan kaum lain menjelang 2020.

Beliau berkata, konvensyen akan menggubal rangka kerja pelaksanaan dasar pembangunan ekonomi Melayu dan menetapkan matlamat kuantitatif dan kualitatif pembangunan usahawan Melayu hingga 2020. - Bernama

Selangor tidak sokong bina loji jana kuasa nuklear

SHAH ALAM: Selangor tidak menyokong dan tidak akan membenarkan pembinaan loji janakuasa nuklear di negeri ini kerana berpendapat wujud sumber tenaga lain seperti tenaga solar yang boleh dibangunkan, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, Selangor juga bersedia mengurangkan penggunaan tenaga daripada segi lampu dan mengkaji teknologi baru yang menggunakan tenaga paling minimum daripada bergantung kepada loji janakuasa nuklear seperti yang dicadangkan.
"Saya rasa kita tidak perlu membuat lanjutan usaha untuk mempertingkatkan pengeluaran tenaga melalui loji janakuasa nuklear ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.
Isu pembinaan loji janakuasa nuklear ini serius dan perlu dibincangkan di Parlimen, kata Abdul Khalid, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, sebagai mengulas pengumuman kerajaan yang memberi lampu hijau kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk meneruskan rancangan bagi membina sebuah loji janakuasa nuklear negara pertama yang dijangka beroperasi menjelang tahun 2021.

"Kita sudah mempunyai satu loji janakuasa termahal yang dibina iaitu empangan Bakun... saya tidak melihat keperluan untuk membina loji janakuasa nuklear sebagai alternatif kepadanya," kata Menteri Besar Selangor itu. - Bernama

PM minta pandangan ramai mengenai tenaga nuklear

KUALA LUMPUR 5 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahukan pandangan orang ramai mengenai masa depan penjanaan tenaga elektrik di Malaysia khususnya penggunaan nuklear.
"Adakah sebarang alternatif yang belum dipertimbangkan, yang benar-benar boleh meletakkan Malaysia sebagai pelopor revolusi bumi hijau?,” katanya dalam blog www.1malaysia.com.my hari ini.
Najib berkata ini kerana kerajaan sedang melakukan satu kajian kebolehlaksanaan terhadap penggunaan tenaga nuklear untuk menjana tenaga elektrik.
"Saya sangat berminat untuk lebih memahami dan mengetahui hasil kajian tersebut, jika kita memutuskan untuk meneruskan dengan penggunaan tenaga nuklear, 12 ke 15 tahun akan berlalu sebelum tenaga dapat dihasilkan dengan menggunakan reaktor-reaktor kecil,” katanya.
Beliau berkata tidak dipertikaikan bahawa tenaga nuklear adalah efisien dan kos efektif, bagaimanapun, kerajaan perlu mengkaji sama ada ia pilihan yang tepat sebagai satu sumber baru tenaga di negara ini.
"Kita tidak akan bersendirian jika memilih untuk menggunakan tenaga nuklear, sebab itulah kita meninjau di seluruh dunia untuk belajar dari negara-negara lain dan mengambil perhatian daripada kemajuan teknologi dalam industri/sektor ini,” katanya.
Semalam, kerajaan telah memberi lampu hijau kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk meneruskan rancangan bagi membina sebuah loji janakuasa nuklear negara yang pertama yang dijangka beroperasi menjelang tahun 2021.
Najib berkata adalah penting untuk negara menyimpan dan menguruskan sumber semula jadi khususnya sumber semula jadi tidak boleh diperbaharui yang amat terbatas dan akhirnya bekalannya akan kehabisan.
"Dalam hal ini, penggunaan bahan bakar semasa untuk menjana tenaga terlalu menjurus kepada penggunaan gas asli dan arang batu - bahan bakar bagi kebanyakan penjanaan tenaga elektrik kita.
"Ketidakseimbangan sedemikian perlu diperbetulkan dalam usaha kita untuk menjadi sebuah ekonomi yang menghasilkan kadar karbon yang rendah. Ketepikan pertimbangan alam sekitar, penggunaan arang batu dan gas asli secara berterusan selepas 2020 amat mahal dan merugikan,” katanya.
Beliau berkata perkembangan ini menuntut penggunaan bahan bakar fosil secara bijaksana dalam jangka masa sederhana dan panjang serta berpindah kepada sumber tenaga alternatif yang lebih bersih dan cekap.
"Ini sebabnya kenapa inovasi menjadi sangat penting bagi kita menemukan kaedah baru supaya menjadi lebih efisien dalam usaha untuk menjadi sebuah negara maju.
"Selagi kita berkesempatan mempergunakan limpahan cahaya matahari yang terdapat di negara kita, jangan pula kita lupa akan peluang-peluang yang mungkin terdapat daripada biojisim,” katanya. - Bernama