Followers

Sunday, April 11, 2010

Mayat bayi lelaki ditemui dalam tong sampah

RAWANG: Mayat seorang bayi lelaki yang sempurna sifat ditemui mati dibuang dalam sebuah tong sampah di Kampung Tanjung, Sungai Choh, dekat sini pada jam 8 pagi tadi.

Mayat bayi malang yang dipercayai baru 24 jam dilahirkan itu hanya berbalut akhbar dan beg plastik.

Ia ditemui pekerja syarikat kutipan sampah, Mohd Kamil Enoh, 44, ketika memulakan tugasnya pagi tadi.
Beliau berkata, beliau menemui bungkusan berat ketika memilih sampah yang terdapat dalam dua tong yang disediakan kepada penduduk di kampung itu.

"Mulanya saya nampak kaki bayi pada bahagian hujung bungkusan sampah itu. Setelah dibuka keseluruhan pembalut itu sangkaan awal bayi dibuang memang benar sekali.

"Saya sebak dan mengigil bersendirian. Bayi itu masih bertali pusat dan dibuang bersama urinya yang masih berdarah," katanya ketika ditemui Berita Harian di sini pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata polis menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi balai polis berhampiran dengan segera.

"Mayat dihantar ke Rumah Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu, jam 9.15 pagi untuk bedah siasat. Sehingga kini, tidak ada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kejadian itu," katanya

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 7.3 peratus

HSBC Bank menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang 7.3 peratus tahun ini, lebih tinggi daripada unjuran Bank Negara Malaysia antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus, dipacu oleh peningkatan permintaan eksport dan kenaikan harga komoditi.

Ahli Ekonomi Kanan HSBC bagi Asia, Robert Prior-Wanderforde, berkata pemulihan semula sektor perdagangan antarabangsa di Asia akan memberikan manfaat kepada ekonomi Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan utama di rantau ini.

“Sebagai sebuah ekonomi yang bergantung kepada sektor perdagangan, Malaysia akan mendapat manfaat daripada pemulihan eksport dan perdagangan antarabangsa di Asia,” katanya pada seminar pelaburan HSBC mengenai peluang pelaburan di India di Kuala Lumpur, semalam.

Prior-Wandesforde berkata, selain faktor luaran, ekonomi Malaysia juga mendapat rangsangan daripada permintaan domestik hasil daripada peningkatan perbelanjaan pengguna yang kini lebih yakin dengan prospek ekonomi secara keseluruhannya.

“Sentimen keyakinan pengguna membentuk lapan peratus daripada pertumbuhan perbelanjaan pengguna di Malaysia. Justeru, kita akan dapat melihat pemulihan yang besar tahun ini berdasarkan faktor ini,” katanya.

Prior-Wandesforde bagaimanapun berkata, Malaysia mungkin tidak berupaya mengekalkan pertumbuhan sekitar tujuh peratus setiap tahun berdasarkan kepada momentum pertumbuhan semasanya.

“Apa yang saya mahu tekankan di sini ialah Malaysia dan Asia keseluruhannya mempunyai momentum pertumbuhan mereka yang tersendiri bergantung kepada dasar yang dilaksanakan negara terbabit,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting bagi Malaysia meningkatkan keupayaan pertumbuhannya mengikut perspektif jangka panjang.

“Malaysia mungkin berkembang pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus dalam tahun-tahun berikutnya pada asas pertumbuhan yang kukuh dan berpotensi untuk meningkat menerusi langkah pembaharuan ekonomi yang diambil kerajaan,” katanya.

Mengenai ringgit, Prior-Wandesforde berkata, mata wang tempatan itu dijangka terus mengukuh untuk tempoh 12 bulan akan datang dan dijangka berada pada RM3.18 berbanding AS$1 pada akhir tahun ini kerana sudah ada momentum pengukuhannya ketika ini.

“Terdapat banyak minat terhadap Asia secara keseluruhannya dari segi kemasukan pelaburan portfolio dan Malaysia tidak terkecuali yang boleh membawa kepada pengukuhan ringgit,” katanya.

Mengenai kadar faedah, Prior-Wandesforde menjangkakan Bank Negara Malaysia akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekurang-kurangnya kepada tiga peratus menjelang akhir tahun ini.

“Kadar 3.0 peratus hingga 3.5 peratus adalah paras terbaik bagi OPR yang mula bergerak kepada parasnya yang normal,” katanya.

Saturday, April 10, 2010

RMK-10 beri keutamaan projek ‘cangkul ready’

TASEK GELUGOR: Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang akan dibentang pada Jun ini mengutamakan projek yang disifatkan sebagai “cangkul ready”, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau menjelaskan projek “cangkul ready” ialah sebarang cadangan projek pembangunan yang telah melengkapi semua syarat ditetapkan termasuk mempunyai tanah.

"Dalam RMK-10 ini kita kenalkan kaedah baru supaya perkara yang sama tidak terus berlaku seperti sebelum ini iaitu banyak projek pembangunan gagal dilaksanakan kerana masalah tanah," katanya selepas majlis pecah tanah surau Permatang Sireh di Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Surau itu yang dibina dengan harga RM400,000 bagi menggantikan surau lama yang terbakar pada penghujung 2008, dijangka siap pada September ini.

Katanya, satu ketika dulu setiap kementerian diberi hanya satu peluang untuk menjalankan projek pembangunan dalam tempoh lima tahun, sekiranya gagal melengkapkan syarat ditetapkan, ia perlu menunggu lima tahun lagi.

"Tetapi dalam RMK10 kita ubah kaedah dan beri peluang cadangan sentiasa dibuka sekiranya gagal dapatkan tanah memang akan ditolak tetapi dalam tempoh setahun jika boleh selesaikan masalah tanah maka projek itu boleh diluluskan," katanya.

Selain itu, Nor Mohamed berkata, RMK10 juga memberi fokus utama kepada Wawasan 2020 untuk melahirkan sebuah negara maju tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan tradisi, nilai murni dan ciri ketamadunan yang disegani semua bangsa.
"Mahu mewujudkan sebuah negara maju dengan pendapatan tinggi tetapi dengan acuan dan pola kita sendiri tanpa meniru negara barat, boleh hidup selesa, selamat dan aman," katanya.

Katanya, keadaan hari ini juga sudah menunjukkan tanda-tanda positif dan trend pemulihan, tiada cabaran yang terlalu getir untuk dilalui dan Malaysia mempunyai laluan mudah untuk bersedia menjadi sebuah negara maju.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, masjid dan surau perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menghadapi cabaran pelbagai bentuk dari negara barat.

"Masjid dan surau boleh dijadikan tempat bagi generasi muda menjalankan pelbagai aktiviti berfaedah selain boleh diadakan motivasi," katanya. - Bernama

Ghana mahu tingkat hubungan ekonomi, dua hala dengan Malaysia

KUALA LUMPUR: Ghana menyatakan hasrat untuk meningkat kerjasama dua hala dengan Malaysia terutama dalam bidang ekonomi, kata Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay.

Beliau berkata, perkara itu dinyatakan Pesuruhjaya Tinggi Ghana ke Malaysia Daniel Kwasi Abodakpi yang mengunjungi beliau di pejabatnya di Putrajaya, semalam.



"Abodakpi yang juga bekas Menteri Perdagangan dan Industri Ghana melahirkan hasrat untuk meningkatkan kerjasama ekonomi antara Ghana dan Malaysia bagi manfaat bersama," kata Kohilan dalam satu kenyataan hari ini.


Kohilan berkata, dalam pertemuan itu mereka telah mengambil maklum mengenai hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Ghana dan menyatakan hasrat untuk menyemarakkan kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara bagi manfaat bersama. - Bernama