Followers

Thursday, April 8, 2010

Sabah & Sarawak: Anjing liar mengganas

ANJING  berkeliaran di sekitar premis perniagaan di Bandar Labuk 
Jaya, Sandakan mengganggu keselesaan penduduk.
ANJING berkeliaran di sekitar premis perniagaan di Bandar Labuk Jaya, Sandakan mengganggu keselesaan penduduk.
Haiwan berkeliaran semakin agresif ganggu penduduk Bandar Labuk Jaya

SANDAKAN: Sejak sebulan lalu, persekitaran masjid dan kedai makan sekitar Bandar Labuk Jaya di sini, kerap menjadi tumpuan anjing liar menyelongkar tong sampah bagi mencari sisa makanan.

Keadaan itu jelas merimaskan lebih 20 pemilik premis perniagaan dan orang ramai yang kerap berulang ke masjid bagi menunaikan solat jemaah kerana berasa tidak selesa termasuk memikirkan kemungkinan digigit haiwan itu.

Mereka berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah terbabit, termasuk menangkap kumpulan anjing itu supaya tidak lagi mengganggu ketenteraman awam.

Selain tong sampah bertaburan diselongkar, penduduk mendakwa ternakan seperti kambing dan kucing turut digigit sehingga mati oleh kumpulan anjing berkenaan.

Seorang kakitangan masjid berhampiran, Mohd Riduan Ibrahim, 20, berkata keadaan itu sudah lama berlaku tetapi kumpulan anjing liar itu semakin agresif dan menjadi-jadi sejak sebulan lalu.

“Kalau tidak silap, lebih lima ekor kambing yang diternak di sekitar masjid menjadi mangsa anjing liar yang dikesan mengambil peluang menyerang ternakan berkenaan ketika dilepaskan ke padang berhampiran.
“Saya pernah nampak sekumpulan anjing dalam lapan hingga 10 ekor menyerang kambing yang diternak jawatankuasa masjid.

“Pihak masjid memelihara kambing sejak lima tahun lalu untuk disedekah kepada umat Islam, terutama pada musim perayaan.

“Selepas kejadian itu, pihak pengurusan masjid mengambil keputusan memagari kawasan keliling tetapi langkah itu juga kurang berkesan kerana ada anjing liar yang lolos memasuki pagar dan merayau, malah ada yang sampai ke kawasan rumah pengurusan masjid,” katanya kepada Berita Harian.

Bandar Labuk Jaya terletak kira-kira 11 kilometer (km) dari pusat bandar dan menempatkan lebih 10 bangunan merangkumi 15 lot premis perniagaan seperti restoran dan pejabat.

Tinjauan Berita Harian ke kawasan itu mendapati, kebanyakan ternakan dikurung seharian dalam kandang oleh pemilik bagi mengelak daripada menjadi mangsa anjing liar.

Selain membongkar tong sampah, anjing berkenaan turut mengotori persekitaran kerana mengheret sampah ke merata tempat dan keadaan menjijikkan itu boleh mengundang cemuhan di kalangan pengunjung, terutama pelancong.

Seorang penduduk, Mohd Samit Mukhsin, 30, berkata kumpulan anjing berkenaan kerap dilihat merayau di sekitar kawasan perumahan pada waktu siang dan ada kalanya menakutkan kanak-kanak yang menunggu bas untuk ke sekolah.

“Pada sebelah malam pula mereka berada di sekitar reban ternakan. Macam-macam sudah kami lakukan, termasuk berjaga malam untuk menghalau anjing tetapi tidak berkesan.

“Ibu bapa juga cuak melepaskan anak keluar bermain di sebelah petang kerana bimbangkan keselamatan mereka. Anjing liar dan kotor mesti membawa pelbagai penyakit,” katanya.

Beliau mengakui ancaman anjing liar itu turut menjejaskan perniagaan terutama restoran dan berharap MPS segera mencari jalan penyelesaian terbaik sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

Katanya, kejadian pekerja restoran dikejar anjing ketika cuba menghalau haiwan itu daripada menyelongkar tong sampah kerap berlaku dan bimbang ia berlarutan hingga membawa kecederaan jika tidak ditangani segera.

Saya tidak berniat singgung perasaan kaum lain: Noh

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata beliau tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana kaum ketika menyentuh mengenai pemberian kerakyatan dalam ucap utamanya pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor semalam dan memohon maaf jika ada pihak yang tersinggung.

Katanya, beliau sekadar memetik ucapan bekas Presiden MCA, mendiang Tun Tan Siew Sin, dan bekas Presiden MIC, mendiang Tun VT Sambanthan, dengan hasrat mengukuhkan lagi semangat kerjasama dan setiakawan anggota dan pemimpin parti komponen BN.

"Saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana kaum. Bagi saya ianya adalah bahan sejarah yang amat penting demi memastikan negara ini terus berada dalam keadaan aman dan rakyat berbilang kaum dapat hidup harmoni sesuai dengan konsep 1Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata jika petikan ucapan itu tidak sesuai dibaca pada zaman sekarang dan boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak, maka beliau memohon maaf.

Semalam, Noh dalam ucapannya itu memetik ucapan bekas presiden dua parti komponen BN itu pada era 1960-an yang memuji Umno kerana memberi kerakyatan kepada kaum bukan Melayu.

Bagaimanapun, 15 anggota perwakilan MCA Kapar bertindak meninggalkan majlis itu kerana menganggap ucapan Noh itu satu penghinaan kepada masyarakat Cina dan India di negara ini.

Isu ucapan Noh itu turut dibangkitkan di Dewan Rakyat pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (2009) 2010 hari ini oleh beberapa anggota pembangkang termasuk Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang menggesa kerajaan meminta maaf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang menggulung perbahasan, menolak desakan pembangkang itu dan meminta Lim menyelesaikannya dengan Noh.

Mohamed Nazri, bagaimanapun, bersetuju dengan kenyataan Lim bahawa semua kaum di negara ini adalah penyumbang kepada kejayaan negara selama ini. - Bernama

Jangan politikkan isu keselamatan negara: Musa

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mengingatkan semua ahli politik supaya tidak mempolitikkan isu keselamatan negara untuk menarik perhatian rakyat.

Beliau berkata, isu berkaitan keselamatan negara bukan satu isu yang boleh dipolitikkan untuk meraih sokongan rakyat kerana ia adalah satu isu sensitif yang boleh mengancam kesejahteraan negara.

"Sebagai ahli politik sepatutnya mereka boleh bezakan yang mana isu boleh cakap dan yang mana tak boleh kerana ini membabitkan soal keselamatan negara.

"Sudah banyak kali kita ingatkan mereka dan sepatutnya mereka faham," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya terdapat perisik Israel di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

Anwar dalam perbahasannya di Dewan Rakyat, Selasa lalu berkata, beliau mempunyai dokumen bahawa perisik Israel itu mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui sebuah syarikat pengkomputeran yang juga adalah subkontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi maklumat PDRM yang didaftarkan di Singapura.

Sehubungan itu, Musa berkata, siasatan berhubung dakwaan itu sudah dijalankan dan pihaknya tidak lagi membenarkan syarikat tersebut memasuki PDRM bagi menjalankan kerja-kerja pengkomputeran.

"Dah lama kita siasat... bila isu ini timbul balik dan didedahkan di Parlimen kita siasat lagi, malah kita juga sudah menyekat kemasukan syarikat tersebut," katanya.

Difahamkan siasatan berhubung isu tersebut pernah dijalankan polis selepas menerima laporan polis yang dibuat pada 14 Julai 2008 oleh seorang wartawan bebas, Johari Ismail. - Bernama

Petronas cadang senarai dua unit di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan bahawa ia sedang membuat persiapan untuk menyenaraikan dua entiti di Bursa Malaysia tahun ini.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam ucaptamanya pada Invest Malaysia 2010 30 Mac lalu, bahawa Petronas telah mengenal pasti dua penyenaraian bagi tahun ini.



Entiti pertama terbabit dalam perniagaan petrokimia manakala yang kedua adalah cabang kejuruteraan beratnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) yang terletak di bawah MISC Bhd sebagai anak syarikat milik penuhnya.


Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif dan Pemangku Pengerusi Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas, berkata syarikat itu berharap penyenaraian tersebut akan memperkukuh lagi Bursa Malaysia.

"Seperti unit-unit tersenarai kami yang lain, penyenaraian baru ini akan membolehkan orang ramai mengambil bahagian secara langsung dalam beberapa perniagaan kami - dalam kes ini, petrokimia dan kejuruteraan berat," katanya.

Syarikat Petronas yang disenaraikan di Bursa Malaysia ialah Petronas Dagangan Bhd, Petronas Gas Bhd, KLCC Property Holdings Bhd dan MISC Bhd.

MMHE mencatatkan pendapatan sebanyak lebih RM4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2009. Prestasinya dipacu oleh tiga perniagaan teras iaitu perkhidmatan pembinaan dan kejuruteraan serta penukaran fungsi dan baik pulih kenderaan marin.

Ia berkembang menjadi sebuah kontraktor bersepadu kejuruteraan, pemerolehandan pembinaan serta pakar baik pulih kapal tangki gas asli cecair.

MMHE mengendalikan sebuah limbungan di Pasir Gudang, Johor, yang juga antara yang terbesar di rantau ini, serta satu-satunya yang berupaya melakukan penukaran fungsi penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung dan pemunggahan penyimpanan terapung serta pembuatan struktur tinggi minyak dan gas di luar pantai di Malaysia.

Perniagaan petrokimia mencatatkan pendapatan sebanyak RM13 bilion bagi tahun berakhir 31 Mac, 2009.

Portfolio produknya yang pelbagai, termasuklah olefin dan poliolifin, baja, kimia industri dan kimia khusus.

Perniagaan itu bermula dengan kapasiti 600,000 tan metrik setahun dan sejak itu berkembang kepada lebih 10 juta tan metrik pengeluaran petrokimia dengan penguasaan pasaran serantau yang besar.

Permulaan operasi komersial loji metanol mega di Labuan pada Mei 2009,dengan kapasiti berskala dunia 1.7 juta tan metrik setahun, memperkukuh lagi kedudukannya sebagai pengeluar metanol terbesar di Asia Pasifik dan keempat terbesar di dunia. - Bernama