HANOI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Nguyen Tan Dung di sebuah hotel di sini hari ini.
Kedua-dua pemimpin itu membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa selama kira-kira sejam sehingga 12 tengah hari sebelum mereka menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara sebuah syarikat dari Malaysia, Jaks Resources Berhad dan empat entiti Vietnam di hotel yang sama.
Perjanjian itu bagi pembangunan projek loji tenaga thermal yang dijana arang batu berkapasiti 1200 megawatt (MW)berharga AS$2 bilion (RM6.4 bilion) di Wilayah Hai Duong.
Vietnam diwakili oleh empat pihak terdiri daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pejabat Wilayah Hai Duong, Electricity of Vietnam dan Vinacomin.
Terdahulu, Najib merasmikan hotel lima bintang dengan 359 bilik, InterContinental Hanoi Westlake Hotel, di sini yang dimiliki oleh Berjaya Corporation Berhad, sebuah syarikat dari Malaysia.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan, berkata hotel itu yang dibuka pada 2008, telah beberapa kali mendapat anugerah antarabangsa termasuk dipilih sebagai Hotel Bandaraya Terbaik Vietnam.
Beliau berkata, pelaburan syarikat berkenaan di negara ini termasuk pelaburan dan pembangunan hartanah, khidmat pembrokeran stok serta pendidikan.
"Ini telah membantu menjalin hubungan dua hala antara kedua-dua negara Asean ini, dan merintis laluan bagi mewujudkan pelaburan seterusnya di masa depan," katanya.
Selain itu, Najib menyaksikan majlis memeterai perjanjian antara Gamuda Berhad dari Malaysia, Gamuda Land Vietnam dan Jawatankuasa Penduduk Bandaraya Hanoi bagi pembangunan projek rawatan kumbahan bernilai AS$500 juta (RM1.6 bilion) di daerah Hoang Mai dan projek Pembangunan Perbandaran di sini.
Perdana Menteri turut menyaksikan perjanjian yang dimeterai antara AirAsia Berhad dan VietJet Aviation Joint Stock Company bagi perkhidmatan berkaitan pengangkutan udara bernilai US$3.5 juta (RM11.3 juta) kepada VietJet Aviation Joint Stock Company di negara ini.
Najib ketika ini menghadiri upacara perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-16 di Pusat Konvensyen Nasional di sini. - Bernama
KOTA BHARU: Seorang pelatih jururawat yang dirogol di asrama kolej kejururawatan dekat Tanjung Mas di sini, Februari lalu, memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada kolej itu, semalam atas dakwaan cuai.
Dalam saman difailkan peguamnya, Mohd Zubairi Salleh, pelajar berusia 24 tahun itu menamakan pemilik kolej berkenaan, Masterskill (M) Sdn Bhd, sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, mangsa mendakwa kejadian rogol berlaku jam 8.15 pagi, 9 Februari lalu ketika plaintif yang juga pelajar Tahun Pertama Diploma Kejururawatan berada di sebuah bilik asrama kolej bersama lima rakannya, sebelum seorang lelaki tidak dikenali menceroboh asrama dan memasuki biliknya.
Penceroboh itu mencari pelajar bernama Serena namun apabila dimaklumkan tiada pelatih bernama demikian, lelaki terbabit keluar dari bilik itu. Mangsa kemudian menuju ke bilik air untuk mandi apabila tiba-tiba lelaki itu menolak pintu bilik air dan masuk ke dalam serta mengacukan pisau sebelum merogolnya.
Plaintif mendakwa kejadian itu berlaku disebabkan kecuaian defendan dalam menjaga keselamatannya sehingga seorang penceroboh boleh memasuki asrama itu.
Akibat kejadian itu, masa depan dan maruah diri plaintif musnah, sedangkan sebelum itu, keluarga plaintif meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap defendan untuk menjaga keselamatan plaintif di asrama dengan andaian ia selamat.
Ketika saman difailkan kira-kira jam 2.30 petang di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, ibu bapa pelajar terbabit turut hadir.
Dalam pernyataannya, plaintif dan rakannya mendakwa tidak mengenali penceroboh itu dan menolak dakwaan defendan yang mengatakan plaintif mengenali perogolnya.
Plaintif berkata, defendan cuba secara sengaja dan dengan niat jahat serta tanpa sebarang asas melepaskan tanggungjawab dengan mendakwa plaintif menyumbang kecuaian dalam kejadian rogol itu.
Tindakan defendan yang cuba melepaskan tanggungjawab dan dakwaan jahat itu meletakkan plaintif dalam keadaan terhina sehingga terpaksa mengambil keputusan drastik menangguhkan pengajiannya di kolej berkenaan.
Akibat kecuaian defendan itu, plaintif mendakwa sehingga hari ini masih terkejut dan malu serta mendapati dirinya sentiasa mengalami keaiban, kesusahan dan tekanan hidup.
Walaupun notis tuntutan bertarikh 10 Mac 2010 sudah dikemukakan plaintif terhadap defendan melalui peguamnya, namun sehingga sekarang defendan masih enggan, gagal serta cuai untuk menjelaskan tuntutan plaintif.
Plaintif menuntut ganti rugi teladan RM3 juta, ganti rugi kecederaan perasaan, trauma dan tekanan mental sebanyak RM2 juta; ganti rugi am, faedah ke atas jumlah penghakiman pada kadar lapan peratus setahun dari tarikh 10 Mac 2010, sehingga penyelesaian sepenuhnya, kos dan sebarang ganti rugi yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Bapa pelajar itu berkata, beliau mengambil tindakan undang-undang sebagai pengajaran kepada pengurusan kolej akibat cuai dalam menyediakan aspek keselamatan kepada pelajarnya
SEORANG wanita menenangkan anaknya yang baru lahir selepas mereka dipindah ke tempat letak kereta hospital Sinabang akibat gempa, semalam.
22 cedera, bangunan termasuk masjid rosak gegaran 7.7 skala Richter
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 22 orang cedera dan lebih 200 bangunan serta masjid mengalami kerosakan selepas gempa bumi 7.7 skala Richter semalam menggegarkan wilayah Aceh dan turut dirasai di Thailand dan Malaysia.
Gempa itu melanda pada 5.15 pagi waktu tempatan berpusat kira-kira 75 kilometer ke tenggara di Sinabang pada kedalaman 34 kilometer di bawah dasar laut menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan sebelum dibatalkan beberapa jam kemudian.
Seramai 17 yang cedera adalah penduduk pulau Simeuleu, kawasan terdekat dengan pusat gempa. Mereka parah dan sedang dirawat dengan kebanyakan mangsa lain luka terkena objek jatuh termasuk batu bata.
Sebanyak tiga gegaran susulan lebih kecil kekuatannya melanda selepas itu.
Pegawai Indonesia berkata, tsunami setinggi 40 sentimeter dikesan di beberapa tempat termasuk Pulau Banyak yang menyaksikan beberapa kediaman ditenggelami air.
Ada juga laporan kerosakan bangunan kerajaan dan rumah serta sejumlah tiang elektrik tumbang.
Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf memberitahu Metro TV bahawa tiada kematian dilaporkan berlaku dan ini disahkan jurucakap Agensi Pengurusan Bencana (BNPB) Priyadi Kardono.
“Laporan dari Kementerian Kesihatan berkata tiada kematian, hanya kecederaan kecil,” kata Priyadi, sambil menambah bahawa BNPB menghantar pasukan kecemasan ke kawasan terjejas gempa.
Gempa kuat dirasai di seluruh Sumatera Utara, termasuk ibu kota wilayah Medan di bahagian bertentangan kepulauan itu serta Sumatera Barat dan sejauh Malaysia.
Di Hospital Pringadi Medan, kakitangan perubatan dan malah pesakit melarikan diri dari hospital selepas merasai gegaran yang digambarkan mereka agak kuat.
Sesetengah jururawat cuba menenangkan pesakit, sementara yang lain cuba menyelamatkan bekalan ubatan.
“Kami perlu membawa bekalan ubatan keluar untuk pesakit kerana kami tidak tahu apa yang berlaku,” kata seorang jururawat kepada Metro TV.
Suasana panik juga dirasai tetamu Hotel Asean International di Medan. Mereka berkejar keluar dari bangunan dan menunggu di jalan raya. Selepas sejam mereka kembali ke hotel namun ada terus menunggu di lobi.
Seorang pakar gempa dari Universiti Andalas, Padang, Sumatera Barat, menjelaskan gempa terbaru dipercayai berpunca daripada keretakan plat sekitar Kepulauan Mentawai, di barat Sumatera.
“Gempa kali ini adalah jenis baru. Kejadian ini menunjukkan gempa bumi tidak dapat diramalkan,” kata Badrul Kamal yang dipetik agensi berita Antara.
Badrul berkata, kebanyakan pakar berpendapat Sumatera akan bebas daripada dilanda gempa selepas gegaran 8.7 skala Richter melanda Nias pada 2005 dan 9.2 skala Richter melanda Aceh, tahun sebelumnya.
“Kita belum lagi selamat daripada ancaman gempa. Kemungkinan tetap wujud bencana akan melanda Sumatera Barat meskipun ia kecil,” katanya lagi. – Agensi