Followers

Friday, April 2, 2010

Kenaikan tarif elektrik tidak beri untung tambahan: TNB

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) tidak mendapat keuntungan tambahan jika kerajaan membenarkannya menaikkan tarif elektrik bagi menampung peningkatan harga bahan api, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh hari ini.

"Apabila harga bahan api naik, kami perlu melepaskan (kos tambahan) kepada pengguna, kerana jika tidak, kami tidak boleh bertahan," katanya kepada pemberita semasa Pemungkiman Media TNB 2010 di Port Dickson baru-baru ini.

Pada masa ini, bahan api sektor tenaga membabitkan 65 peratus gas, 28 peratus arang batu, hampir tujuh peratus hidro dan kurang 0.1 peratus diesel.

Gas ialah komoditi yang mendapat subsidi dan ditetapkan pada harga RM10.70 setiap juta metrik unit termal British (MMBtu) pada pelarasan tarif berkuat kuasa Mac 2009.

Che Khalib berkata, pada harga RM10.70 setiap MMBtu, harga gas untuk sektor tenaga Malaysia adalah di bawah harga pasaran dan pengekalan harga subsidi untuk tempoh jangka panjang dijangka tidak berlaku kerana kerajaan perlu menyalurkan lebih banyak dana untuk pemulihan ekonomi.

Tarik elektrik domestik kini dikaji semula setiap enam bulan. Pada pelarasan terakhir tarif yang dibuat pada Mac 2009, tarif elektrik dikurangkan pada puratanya sebanyak 3.7 peratus, selari dengan pengurangan 25 peratus harga minyak kepada RM10.70 berbanding RM14.31 setiap MMBtu.

Che Khalib berkata, sebarang peningkatan harga bahan api bermakna kos yang lebih tinggi untuk menjana elektrik dan perlu diperoleh semua dengan melepaskan kos yang sama kepada pengguna.
Katanya, langkah itu bukan perkara baru di Malaysia kerana formula itu sudah diperkenalkan pada 1996 namun digantung dua tahun kemudian akibat krisis ekonomi Asia.

"Kerajaan boleh melaksanakan semula formula itu pada bila-bila masa bagi menampung sebarang pelarasan harga bahan api," katanya.

Mengenai pengguna industri TNB, Che Khalib berkata kumpulan itu mampu membayar lebih dan tidak wajar menikmati perdapatan yang besar hasil daripada subsidi kerajaan.

"Kami faham mengapa kami perlu memberi subsidi kepada kumpulan berpendapatan rendah. Sebaliknya, majoriti pengguna elektrik di negara ini membabitkan industri dan mereka mampu membayar lebih. Adakah adil kerajaan menerusikan subsidi kepada industri?" katanya.

Che Khalib berkata, kumpulan berpendapatan rendah juga menikmat subsidi dalam bentuk rebat bagi mereka yang menggunakan bil elektrik RM200 dan ke bawah setiap bulan dan jaluran penggunaan asas pada kadar subsidi 21.8 sen/kWh dan kadar itu tidak dikaji semula sejak 1997. - Bernama

3 maut, 9 cedera dalam serangan di Bachok

NARATHIWAT: Dua lelaki melepaskan tembakan rambang ke arah sebuah kedai kopi di Kampung Berangan, Bachok, di sini malam tadi, mengakibatkan tiga orang termasuk dua beradik maut, manakala sembilan lagi tercedera.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada serangan balas terhadap serangan yang membunuh enam orang pemburu di kampung berhampiran pada sebelah petangnya.



Ketua Polis Bachok, Kol PolJamlong Ngamnet berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10.30 malam apabila dua lelaki masing-masing bersenjatakan M16 dan AK47 dikatakan turun dari sebuah trak dan melepaskan tembakan rambang ke arah beberapa penduduk kampung di kedai kopi itu.


Awae Pakir Ali, 60, serta adiknya Arun Pakir Ali, 45, bersama seorang lagi lelaki Nikyeh Tuanwak, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala sembilan lagi yang tercedera termasuk empat yang parah, kini dirawat di Hospital Narathiwat Rajchanakarin Hospital, di sini.

Jamlong berkata, beliau percaya insiden itu mempunyai kaitan dengan pembunuhan enam orang pemburu di Kampung Badung, Bachok, di sini, kira-kira 4 petang semalam.

Mereka ditembak dengan senjata M16 dan AK47 oleh antara lima dan enam penyerang, dan sepucuk pistol serta selaras senapang patah dilarikan dalam kejadian itu.

Sepuluh anggota polis yang yang berkejar ke tempat kejadian diserang dengan bom semasa melalui kawasan ladang getah, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian, dan mengalami kecederaan tingan. - Bernama

H1N1: 26 kes positif dilaporkan di Perak

IPOH: Sebanyak 26 kes positif jangkitan Influenza A (H1N1) dilaporkan di Perak bagi tempoh 13 minggu iaitu sejak 3 Januari sehingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata jangkitan membabitkan 17 wanita dan sembilan lelaki.

Beliau berkata, tiada kematian akibat jangkitan itu dilaporkan dalam tempoh itu.
"Empat orang guru dijangkiti wabak itu semasa menghadiri kursus Induksi Jabatan Pelajaran Perak di Purnama Beach Resort, Pulau Pangkor pada 27 Mac lalu. Tujuh pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula dikesan dijangkiti wabak itu di UiTM pada 9 Februari.

"Semua mereka telah dikuarantin dan keadaan wabak H1N1 di negeri ini masih terkawal," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya, sepanjang tahun lalu sebanyak 801 kes H1N1 dengan lapan kematian dilaporkan di negeri itu.

Sambil mengingatkan orang ramai agar terus mengamalkan langkah berjaga-jaga, Dr Mah berkata sebanyak 7,000 dos bekalan vaksin untuk jangkitan itu diterima Jabatan Kesihatan negeri pada akhir Mac lepas.
"Dos percuma ini boleh diperolehi di klinik kesihatan di sembilan daerah di negeri ini," katanya. - Bernama

Kelantan didesak segera sedia kemudahan air

BACHOK: Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin mendesak kerajaan negeri Kelantan supaya segera membekalkan kemudahan air kepada penduduk kampung dan pedalaman di negeri itu.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana masih terdapat rakyat Kelantan yang terpaksa mengorek perigi, menggunakan air parit dan sungai untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan mengulas kejadian yang mana seorang pemuda Amirul Abdul Razak, 21, mati tertimbus dalam perigi yang sedang digalinya di Kampung Batu Berendang, Pasir Puteh semalam.

Mangsa ketika itu sedang menolong dua rakannya Mohd Firdaus Che Ishak, 17, dan Mat Husain Sultan, 25, menggali telaga itu untuk mendapatkan air di musim kemarau sekarang.

Awang Adek berkata, Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan RM600 juta kepada Kelantan sejak 10 tahun dahulu bagi menyediakan kemudahan air yang dirawat kepada rakyat.

Namun, katanya, sehingga sekarang ramai rakyat Kelantan terutama di luar bandar tidak dapat menikmati bekalan air bersih.

"Sebahagian daripada penduduk Bachok masih menggunakan air parit yang tercemar, manakala yang tinggal di kawasan yang lebih tinggi seperti Kuala Krai dan Machang sudah lama terputus bekalan air kerana tekanan air yang rendah dan mereka pula terpaksa menggunakan air sungai," katanya. - Bernama