Followers

Friday, April 2, 2010

H1N1 kembali ganas

 MURID  Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kuala Kubu Bharu  
memakai topeng mulut sebagai langkah berjaga-jaga selepas  murid sekolah
 terbabit   disyaki menghidap wabak   H1N1.
MURID Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kuala Kubu Bharu memakai topeng mulut sebagai langkah berjaga-jaga selepas murid sekolah terbabit disyaki menghidap wabak H1N1.
83 kes di Selangor, Melaka, Terengganu sah dijangkiti virus tempoh seminggu

KUALA LUMPUR: Wabak Influenza A (H1N1) yang pernah mengorbankan 77 orang di negara ini, kembali mencemaskan apabila 83 kes di Selangor, Melaka dan Terengganu disahkan dijangkiti virus itu dalam tempoh seminggu sehingga Sabtu lalu.

Pada Sabtu lalu saja, 371 pesakit dimasukkan ke 38 hospital kerajaan dan tujuh pusat perubatan swasta di seluruh negara dengan simptom jangkitan penyakit seperti influenza (ILI). Daripada jumlah itu, 25 disahkan positif H1N1 dan lapan dirawat di unit kecemasan.
Berikutan itu, Kementerian Kesihatan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan meningkatkan pemantauan serta pencegahan bagi mengelak virus itu merebak.

Daripada 83 kes itu, 15 membabitkan kakitangan Hospital Serdang, Selangor, 16 pekerja Ladang Sime Darby Merlimau, Melaka; 31 pelajar Madrasah Tahfiz Raudatul Muslihin Masjid Tanah, Melaka; tujuh pelajar Institut Kemahiran Mara Jasin Melaka, sembilan penghuni Rumah Anak Yatim Vidyalaya Kuala Kubu Bharu, Selangor dan lima pelajar Sekolah Menengah Agama Rantau Abang Dungun, Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kes secara berkumpulan itu menunjukkan penularan H1N1 di negara ini masih aktif, tetapi terkawal.

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya masih belum ada tanda berlaku gelombang kedua H1N1.
“Risiko atau kemungkinan berlakunya gelombang kedua masih tetap ada kerana masyarakat Malaysia secara amnya masih rentan terhadap jangkitan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di laman web kementerian.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya terus berwaspada dengan sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan kebersihan diri, mendapatkan rawatan awal dan tidak mengabaikan langkah pencegahan H1N1 yang diumumkan sebelum ini.

Di ALOR SETAR, sumber memberitahu Sekolah Menengah (SM) Teknik Langkawi ditutup semalam, menjadikan tiga sekolah di pulau itu ditutup setakat ini berikutan jangkitan ILI.

Arahan menutup sekolah itu dikeluarkan selepas 86 daripada 616 murid dan kakitangannya mengalami demam, batuk dan selesema.

Kelmarin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba dan Sekolah Kebangsaan Bagan Selat Nyiur diarah tutup berikutan lebih 50 peratus pelajarnya terkena jangkitan sama.

Din Beramboi dikebumikan sebelum solat Jumaat

KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio terkenal, Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri yang meninggal dunia awal pagi ini akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ehsan sebelum solat Jumaat.

Din Beramboi, 43, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang jam 12.30 pagi akibat demam denggi berdarah sehingga mengakibatkan hati dan buah pinggangnya gagal berfungsi. Adik perempuannya, Rozana Mior Badri, 39, berkata hampir semua ahli keluarga terdekat berada disisinya sebelum Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir.

"Hampir semua ahli keluarga berada disampingnya, kecuali bapa kami yang tak sempat berada di sisi Allahyarham kerana perlu berehat atas sebab sakit jantung."

Bagaimanapun Alhamdulillah arwah pergi dengan aman, tenang dan dengan raut wajah yang tersenyum," katanya di Hospital Selayang di sini hari ini.

Din Beramboi meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang masing-masing berumur antara 18, 16 dan enam tahun.

Beliau dimasukkan ke ICU Hospital Selayang sejak Selasa lepas setelah kritikal akibat mengalami demam denggi berdarah.
Allahyarham adalah anak ketiga daripada empat beradik dan merupakan anak lelaki tunggal.

Din Beramboi terkenal kerana gandingannya bersama Aznil Nawawi dalam slot Riuh Pagi Era di stesen radio Era.

Rozana berkata jenazah akan dibawa ke rumah ibu mertua pelawak itu di Taman Ehsan, Kepong, untuk dimandikan sebelum disembahyangkan di Masjid Taman Ehsan dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ehsan.

"Beliau adalah insan pertama yang ''pergi'' dahulu dalam keluarga kami dan kami sedih atas pemergian beliau.

"Dia suka melawak dan ramai orang yang menyenangi dan menyayanginya," kata Rozana. - Bernama

Prof Ismail Hussein terima anugerah akhbar Jepun

KUALA LUMPUR: Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Tan Sri Prof Emeritus Dr Ismail Hussein, telah menerima Anugerah Budaya Seikyo dari Seikyo Shimbun, akhbar harian terkemuka Jepun.

Anugerah itu diberikan kepada tokoh yang berjasa dalam pengembangan kebudayaan, pendidikan dan pendamaian dunia.



Menurut kenyataan Gapena di sini hari ini, anugerah telah disampaikan kepada Ismail oleh Timbalan Presiden Soka Gakkai Internasional (SGI), Hiromasa Ikeda, yang mewakili Dr Daisaku Ikeda, Presiden Kehormat Seikyo Shimbun, di ibu pejabat akhbar itu di Tokyo semalam

.
Turut hadir pada majlis itu Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Md Som Shaharuddin.

Pada majlis yang sama, Ismail turut menyampaikan Anugerah Tokoh Penyair Antarabangsa Gapena kepada Dr Daisaku Ikeda, Presiden SGI, kerana sumbangan berterusannya melalui puisi dalam usaha melestarikan alam sekitar dan pendamaian dunia sejagat.

Ikeda adalah tokoh antarabangsa yang pertama menerima anugerah itu, yang diterima bagi pihaknya oleh Hiromasa Ikeda. - Bernama

Tiga langkah tambahan bendung rasuah, tingkah integriti mulai hari ini: PM

PUTRAJAYA: Mulai hari ini, tiga langkah tambahan dilaksanakan bagi meningkatkan integriti dan membendung gejala rasuah dalam urusan perolehan kerajaan, demikian diumumkan Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika melancarkan portal MyProcurement Kementerian Kewangan di sini.

Tiga langkah tambahan itu adalah:
# Semua pembida dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembina

# Pembida berjaya dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembida Berjaya

# Pembida berjaya seterusnya dikehendaki menandatangani teks perjanjian yang mengandungi klausa pencegahan rasuah dalam perolehan kerajaan.