Followers

Saturday, March 13, 2010

4 syarikat terpilih pulihkan Sungai Klang

KLANG: Kerajaan negeri Selangor sudah memilih empat syarikat untuk memulakan kerja-kerja memulihkan dan projek pembangunan Sungai Klang, yang juga adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi negeri itu yang dilancarkan pada tahun lalu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata tiga syarikat yang terpilih untuk memulihkan sungai itu dan membangunkan kawasan sekitarnya ialah TSS-Mako Engineering Sdn Bhd, GJA Engineering Sdn Bhd, Wessex Water I-Bhd Consortium manakala DPZ Asia Sdn Bhd akan bertanggungjawab bagi perancangan dan reka bentuk projek itu. Beliau berkata demikian pada sidang media di Karnival Sungai Klang di Taman Pengkalan Batu di sini, hari ini yang turut membabitkan Larian Bandar DiRaja yang dilepaskan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pagi tadi. Katanya, 37 syarikat mengemukakan cadangan pada Oktober lalu dan ketiga-tiga syarikat itu dipilih kerana pengalaman masing-masing membersihkan sungai dan melakukan pembangunan yang termasuk keupayaan kewangan.

“DPZ Asia terpilih bagi melakukan reka bentuk kerana pengalamannya mereka bentuk dan merancang projek pembangunan di Malaysia, Vietnam, China, New Zealand dan di Amerika Syarikat,” katanya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri berkeyakinan bahawa keempat-empat syarikat itu akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kesemua agensi berkaitannya bagi memastikan kejayaan projek itu.

Pada peringkat awal, katanya, projek itu akan bermula di Klang dan kos pembangunannya ialah RM1 bilion dan RM1 bilion lagi diperlukan untuk membersihkan dan memulihkan sungai itu. Sejauh 80km daripada 120km panjang Sungai Klang berada di dalam negeri Selangor manakala selebihnya berada di dalam Kuala Lumpur.

Katanya, kerja-kerja peringkat pertama akan memakan masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan tetapi keseluruhan projek itu akan memakan masa 15 tahun untuk disiapkan. - Bernama

Masidi harap lebih ramai pelancong Brunei lawat Sabah tahun ini

KOTA KINABALU: Sabah berharap untuk menarik lebih ramai pelancong dari Brunei, melalui kemudahan pusat beli belah bertaraf dunia di ibu negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata dengan penerbangan harian yang disediakan Royal Brunei Airlines dan AirAsia dari Brunei ke Kota Kinabalu, lebih ramai rakyat Brunei dijangka berkunjung ke Sabah tahun ini.
"Rakyat Brunei sudah menunjukkan minat mendalam untuk membeli belah di Sabah, terutama sekarang kita ada 1Borneo dan Suria Sabah yang akan beroperasi tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada majlis sambutan bagi ketua-ketua perwakilan dan diplomat asing di Brunei Darussalam ke Sabah di sini, malam tadi.

Teks ucapannya disampaikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Ismail. Masidi berkata, sejumlah 34,252 rakyat Brunei melawat Sabah tahun lalu. "Rakyat Brunei boleh memasuki Sabah menggunakan feri melalui jeti Menumbok dan jalan darat, yang mana saya lihat adalah cara paling popular untuk datang ke Sabah di kalangan rakyat Brunei," katanya. Beliau berkata, Sabah adalah negeri yang benar-benar indah dengan pelbagai destinasi, dan Borneo dengan imej ekologinya dapat menambat hati pelancong.
"Kekuatan utama kita terletak pada hutan hujan dara yang berusia ratusan tahun, pulau-pulAu yang mempesona, pemuliharaan sanktuari hidupan liar bertaraf dunia dan warisan budaya pelbagai warna," katanya. - Bernama

Gempa bumi sederhana melanda Myanmar

BANGKOK: Gempa bumi sederhana pada magnitud 5.4 menggegarkan Myanmar awal pagi tadi, menurut ahli seismologi, hari ini.

Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gegaran jam 5.49 pagi itu (7.19 waktu Malaysia) dicatatkan pada pusat gempa 115 kilometer barat laut Monywa dan pada ke dalaman 105 kilometer.
Bagaimanapun, tiada laporan kerosakan dilaporkan sehingga kini. - AFP

GST tidak dibentangkan pada sesi Parlimen ini: Husni Hanadzlah

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuat keputusan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) tidak akan dibentang pada sesi Parlimen Mac-April ini bagi memberi lebih banyak masa untuk mendapatkan pandangan daripada rakyat.
“Kami mahu pandangan umum (rakyat). Bila ia dibentangkan ia bergantung kepada langkah kami mendekati rakyat dan penerimaan daripada rakyat,” kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di sini, pagi tadi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMM Kuala Lumpur), hari ini.