Followers

Saturday, March 13, 2010

Hukum Memutuskan Hubungan (Muqatha’ah) Sesama Muslim

Soalan:
Apakah hukumnya mereka yang memutuskan hubungan atau memboikot (muqatha’ah) sesama Muslim? Adakah dengan muqata’ah tersebut bererti dalam masa yang sama mengkafirkan seseorang? Jika tindakan tersebut dikaitkan dengan tindakan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terhadap Ka’ab dan beberapa orang sahabat, adakah tindakan tersebut hanya boleh dilakukan di peringkat negara atau ia merupakan hak semua orang?


Jawapan:
Pertama, perlu diketahui bahawa memutuskan hubungan ataupun memboikot (muqatha’ah) sesama Muslim merupakan hukum syarak yang dilaksanakan dalam menyelesaikan masalah tertentu yang terjadi dalam hubungan sesama Muslim. Hukum ini tiada kaitannya dengan persoalan takfir (mengkafirkan) seseorang Muslim. Dalam erti kata lain, orang yang diboikot tidak jatuh kafir. Sebaliknya dia kekal Muslim, cuma disebabkan oleh tindakan tertentu yang dilakukannya, maka hukum muqatha’ah itu dikenakan terhadapnya.

Dalam konteks inilah Ibn Bathtal menyatakan bahawa Allah telah mengatur hukum-hukum yang mengandungi kemaslahatan bagi hamba-hambaNya. Dia Maha Mengetahui tentang urusanNya, maka manusia harus tunduk kepada perintahNya dalam urusan tersebut.

Kedua, terdapat hadis yang melarang perbuatan memutuskan hubungan (muqata’ah) dengan sesama Muslim, antara lain sabda baginda sallallahu ‘alaihi wassalam:

لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلاَثِ لَياَلٍ (رواه البخاري)

“Tidaklah halal bagi seorang Muslim untuk meninggalkan saudaranya lebih dari tiga malam.” (HR Bukhari)

Maksud ‘an yahjura’ atau ‘masdar-nya hajr’ adalah lawan kepada perkataan ‘wasl’, atau memutuskan hubungan. Secara harfiah (mantuq), hadis ini melarang seseorang Muslim daripada memutuskan hubungan sesama Muslim lebih daripada tiga hari. Daripada hadis ini juga diketahui bahawa berdasarkan mafhum mukhalafah, bahawa memutus hubungan sesama Muslim dibolehkan kurang daripada tiga hari.

Sungguhpun demikian, larangan tersebut dikecualikan terhadap orang yang melakukan maksiat. Dalam kitab Fath al-Bari: Syarh Sahih al-Bukhari, Ibnu Hajar al-Asqalani dalam bab: Ma Yajuzu min al-Hijran liman ‘Asa (Memutus Hubungan yang Diperbolehkan terhadap Orang yang Bermaksiat) menyatakan: Dengan penjelasan ini, beliau (al-Bukhari) ingin menjelaskan hukum memutuskan hubungan yang diperbolehkan. Kerana umumnya, larangan tersebut sebenarnya hanya berlaku untuk orang yang diputuskan hubungannya tanpa alasan yang dibenarkan syariat. Oleh itu, jelaslah bahawa dibenarkan memutuskan hubungan terhadap orang yang melakukan maksiat.

Ibnu al-Mulhib menyatakan bahawa memutuskan hubungan yang dibenarkan itu mempunyai kepelbagaian, sesuai dengan kadar kesalahannya. Bagi orang yang melakukan maksiat, maka dibolehkan untuk memutuskan hubungan dengan cara tidak bercakap dengannya, sebagaimana dalam kisah Ka’ab bin Malik dan dua orang temannya (Murarah dan Hilal). Sekiranya marah terhadap keluarga atau kawan, boleh memutuskan hubungan dengan tidak menyebut nama atau bermasam muka, tetapi masih bercakap, memberi dan menjawab salam kepadanya.

Menurut at-Thabari, peristiwa yang terjadi terhadap Ka’ab bin Malik adalah dasar untuk memutuskan hubungan dengan orang yang melakukan maksiat. Dalam huraiannya, Ibnu Hajar mengulas kenyataan Abdullah bin Zubair, ketika dikenakan muqatha’ah oleh ‘Aishah, “ fainnahu la yahillu laha qathi’athi (Maka, tidak halal baginya untuk memutus hubungan kekeluargaan denganku), dengan menyatakan bahawa: Jika memutuskan hubungan denganku sebagai hukuman atas dosaku, maka ia pasti akan berpanjangan. Jika tidak, maka memutuskan hubungan secara berkekalan itu akan menyebabkan terputusnya silaturrahim. Menurut Ibnu Hajar, alasan ‘Aisyah berbuat demikian adalah kerana Abdullah bin Zubair yang masih merupakan anak saudaranya itu telah melakukan kesalahan yang besar. Menurutnya lagi, ‘Aisyah melakukan demikian kerana tindakan memutuskan hubungan dengan cara tidak bercakap dengan Abdullah bin Zubair itu memang dibolehkan, sebagaimana yang dilakukan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terhadap Ka’ab dan dua orang temannya sebagai hukuman terhadap kemaksiatan mereka.

Oleh itu telah difahami oleh para sahabat radhiallahu ‘anhum, termasuk ‘Aisyah dan Abdullah bin Zubair bahawa tindakan Nabi terhadap Ka’ab bin Malik, Murarah dan Hilal itu bukanlah hanya hak ketua Negara semata-mata, sebaliknya tindakan muqatha’ah yang dilakukan oleh ‘Aisyah menunjukkan bahawa tindakan tersebut boleh dilakukan oleh sesiapapun.

Imam an-Nawawi juga menjelaskan bahawa hadis yang memerintahkan untuk memutuskan hubungan dengan ahli bidaah, orang fasik dan para musuh Sunnah itu begitu banyak sekali dicatatkan. Jadi menurut beliau, perbuatan memutuskan hubungan secara berkekalan turut dibenarkan. Oleh itu, larangan memutuskan hubungan dengan kaum Muslimin lebih daripada tiga hari itu tidak meliputi ahli bidaah, orang fasik dan yang seumpama dengannnya. Para sahabat, tabi’in dan generasi berikutnya sentiasa memutuskan hubungan dengan sesiapa sahaja yang melanggar sunnah atau orang yang rosak percakapannya (mafsadah).

Ibnu ‘Abd al-Barr juga menyatakan perkara yang sama bahawa para ulama’ telah bersepakat, barangsiapa yang khuatir berbicara dengan seseorang, di mana dengan berbicara dengannya itu boleh menyebabkan rosak agamanya atau memudaratkan urusan dunianya, maka dia dibenarkan untuk memutuskan hubungan dengan orang tersebut.

Ketiga, apabila menyentuh berkenaan perbuatan memberi dan menjawab salam dalam konteks muqatha’ah, maka hukumnya dikembalikan kepada alasan mengapa dikenakan muqatha’ah tersebut. Jika alasannya bukan atas sebab maksiat, sebaliknya disebabkan oleh kerana marah terhadap keluarga atau teman, maka tetap diperintahkan untuk memberi dan menjawab salam. Namun jika alasan muqatha’ah berpunca daripada perbuatan maksiat yang dilakukan, dan si pelaku itu jatuh sebagai seorang fasik, maka ketetapan memberi dan menjawab salam tidak diperintahkan. Dalam kitab Faidh al-‘Allam fi Syarh Arba’ina Haditsan fi as-Salam, Sayid Salih bin Ahmad al-Idrus menjelaskan: Salam kepada orang fasik, ahli bida’ah, dan pelaku dosa besar tidak disunahkan. Bahkan, tidak sepatutnya memberi dan menjawab salam mereka.Imam as-Suyuthi juga menyatakan pandangan yan hampir sama.

Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh at-Thabari, dasarnya hendaklah dikembalikan kepada tindakan Nabi sallallahi ‘alaihi wassalam dan para sahabat radhiallahu ‘anhum yang tidak memberi dan menjawab salam Ka’ab bin Malik, Murarah dan Hilal. Inilah dalil dalam memutuskan hubungan dengan orang yang melakukan maksiat. Wallahu’alam

Al-Baqarah, ayat 27-29: Sifat orang fasik

AYAT 27

Allah menyebut beberapa sifat orang-orang fasik sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah kepada mereka untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi.”

Antara sifat tersebut, iaitu “orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh”, yakni mereka yang melanggar apa yang dijanjikan kepada mereka oleh kitab-kitab samawi daripada beriman dengan Muhammad s.a.w atau memutuskan segala perjanjian yang kukuh daripada beriman dengan Allah, membenarkan dengan Rasul dan beramal dengan syariat. Ibn Jauzi berkata, “Ada tiga pendapat ulama mengenai maksud “perjanjian” itu, iaitu:

(i) apa yang dijanjikan kepada ahli kitab berhubung dengan sifat Muhammad s.a.w dan wasiat supaya mengikutinya. Ini adalah pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.

(ii) apa yang dijanjikan kepada mereka tentang al-Quran. Mereka mengakuinya, kemudian kufur dan melanggar perjanjian itu. Ini adalah pendapat al-Suddi.

(iii) iaitu perjanjian semenjak dikeluarkan zuriat Adam daripadanya lagi. Inilah pendapat al-Zajjaj.

Kemudian Allah menerangkan lagi “dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah kepada mereka untuk menghubungkannya”, iaitu daripada hubungan silaturrahim dan kerabat. Lafaz ini adalah umum pada setiap pemutusan yang Allah tidak reda-Nya seperti memutuskan hubungan di antara nabi-nabi, memutuskan hubungan kaum kerabat dan meninggalkan kasih sayang serta hormat terhadap orang-orang yang beriman. Al-Samarqandi menaqalkan di dalam tafsirnya Bahr Al-Ulum, riwayat al-Dahhak dan Ata’ daripada Ibn Abbas katanya, “Sesungguhnya mereka disuruh beriman dengan semua nabi. Malangnya mereka beriman dengan sebahagian dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain.” Inilah makna dan maksud firman itu.

Sebaliknya, mereka melakukan perbuatan yang keji sepertimana firman Allah “dan membuat kerosakan di muka bumi“. Antara kerosakan tersebut ialah melakukan banyak maksiat, membuat pelbagai fitnah, menegah orang daripada beriman kepada Allah dan menyebarluaskan segala syubhat tentang al-Quran. Ibn Jauzi berkata, “Ulama berselisih pendapat pada maksud ‘kerosakan’ yang mereka lakukan di bumi, kepada tiga”, iaitu:

(i) seruan mereka kepada manusia ke arah kekufuran. Ini adalah pendapat Ibn Abbas.

(ii) amalan maksiat yang mereka lakukan. Ini adalah pendapat al-Suddi dan Muqatil.

(iii) mereka menyekat orang yang berhijrah kepada Nabi bagi menghalang mereka memeluk Islam.

Sebenarnya merekalah golongan yang disifatkan Allah sebagai “mereka itulah orang-orang yang rugi” kerana mereka yang bersifat demikian termasuk dalam golongan yang benar-benar rugi disebabkan mereka menukar kesesatan dengan petunjuk dan azab dengan keampunan. Justeru, jadilah neraka tempat yang layak bagi mereka.

AYAT 28

Ibn Kathir berkata, ”Allah berfirman dengan berhujah kewujudan-Nya dan kekuasaan-Nya. Juga Allahlah yang Maha Pencipta lagi Pelaku kepada sekalian hamba-Nya.”

Allah mengemukakan persoalan sebagaimana firman-Nya:

“Mengapa kamu kafir kepada Allah padahal kamu tadinya mati, lalu Allah hidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan dan dihidupkan-Nya kembali, kemudian kepada-Nyalah kamu dikembalikan?”

Persoalan ini dimulakan dengan “mengapa kamu kafir kepada Allah” yang menunjukkan kehinaan dan ingkarnya. Ibn Jauzi menyatakan bahawa ada dua pandangan ulama berhubung dengan persoalan tersebut, iaitu:

(i) persoalan dengan makna takjub dan hairan bagi orang yang beriman dengan maksud hairan daripada kalangan mereka bagaimana mereka boleh kufur sedangkan telah sabit hujah Allah atas mereka. Ini adalah pendapat Ibn Qutaibah dan al-Zajjaj.

(ii) persoalan keluar daripada bentuk pengakuan kepada celaan dengan maksud celaka kamu. Mengapa kamu kufur dengan Allah? Ini adalah pendapat al-Ajjaj.

Seterusnya, mengapa kamu menentang dan derhaka kepada pencipta dan kamu ingkarinya sedangkan “padahal kamu tadinya mati, yakni daripada tiada hinggalah dibentuk air mani pada sulbi ayah dan rahim ibumu kemudian melalui proses “lalu Allah hidupkan kamu”, iaitu dengan dikeluarkan kamu daripada kandungan ibu lahir ke dunia. Tetapi ingatlah akan kesudahannya dengan kemudian kamu dimatikan”. Apabila sampai ajal, kamu akan dimatikan dengan apa jua keadaan sekalipun sebagai hukum dan sunnah alam ini.

Seterusnya, “dan dihidupkan-Nya kembali”, iaitu dibangkitkan daripada kubur selepas berada di alam kubur atau barzakh beberapa ketika dan berlakunya kiamat. Akhirnya, “kemudian kepada-Nyalah kamu dikembalikan” yang tujuannya adalah untuk memberi pembalasan yang setimpal. Bagi orang yang baik, diberi balasan baik dan sebaliknya orang yang derhaka, diberi balasan azab. Al-Samarqandi berkata, “Iaitu di akhirat, kamu akan diberi pahala dengan amalan kamu.”

AYAT 29

Al-Maghari berkata, “Selepas Allah menyebut beberapa tanda kekuasaan-Nya pada diri manusia dengan menyatakan permulaan dan kesudahan hidup, Dia menyebut juga beberapa tanda kekuasaan-Nya pada ufuk yang menunjuk tanda kekuasaan-Nya dengan segala sesuatu dan nikmat-Nya yang melimpah ruah kepada hamba-hamba-Nya dengan menjadikan segala apa yang di bumi sebagai tempat persediaan hidup untuk mendapat manfaat.”

Al-Samarqandi menaqalkan daripada al-Kalbi, “Tatkala dinyatakan masalah bangkit selepas mati, orang Yahudi hanya diam kerana memahaminya sedangkan orang musyrikin pula berterusan mengingkarinya seraya bertanya, “Siapa yang mampu menghidupkan kami selepas berlakunya kematian?” Lantas Allah menurunkan firman-Nya:

“Dialah Allah yang menjadikan segala apa yang di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak menuju langit lalu dijadikan-Nya tujuh langit dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Kemudian Allah menambahkan lagi keterangan bukti kebangkitan “Dialah Allah yang menjadikan segala apa yang di bumi untuk kamu” yang bermaksud Allah menciptakan bumi dan segala apa yang ada supaya manusia dapat mengambil manfaat dengannya serta iktibar bahawa Allah bersifat Maha Pencipta lagi Pemberi Rezeki.

Kemudian, “dan Dia berkehendak menuju langit”, iaitu Allah berkehendak dengan iradah-Nya menuju ke langit. Al-Nasafi berkata, “Istiwa’ di sini ialah dengan maksud iktidal dan istiqamah, iaitu qasad atau menuju juga hadap.” Syeikh Abdul Rahman as-Sa’di berkata, “Terdapat tiga makna istiwa’, iaitu:

(i) kesempurnaan dan lengkap

(ii) tinggi dan atas

(iii) menuju

Seterusnya, “lalu dijadikan-Nya tujuh langit” yang bermaksud Allah mencipta langit sebanyak tujuh lapis dengan penuh kehebatan dan kekuatan. Yang demikian, menjadi dalil kekuasaan yang amat nyata bagi Allah.

Justeru, Allah bersifat “dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu” yakni dengan kata lain, jika segala yang besarpun mampu Allah cipta, apakah untuk menghidupkan manusia kembali, perkara yang payah? Sudah tentu tidak kerana Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

Friday, March 12, 2010

Gempa bumi sederhana landa Laut Banda, Indonesia


2010/03/12

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.4 pada skala Richter berlaku di Laut Banda, Indonesia jam 5.09 pagi ini.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataannya berkata, pusat gempa bumi itu berlaku pada latitud
7.8 darjah selatan dan longitud 128.3 darjah timur iaitu kira-kira 1,757 kilometer (km) tenggara Tawau, Sabah.

Tiada ancaman tsunami akibat gegaran itu.

Laut Banda ialah laut di Selatan Kepulauan Maluku yang mempunyai kira-kira 150 pulau. - Bernama

Isu sekolah menumpang diberi keutamaan dalam RMK-10

KOTA KINABALU: Pembinaan sekolah baru bagi mengatasi masalah sekolah menumpang di bangunan sekolah lain, yang dikatakan menganggu proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) akibat kesesakan, akan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sepatutnya tidak harus ada sekolah yang menumpang dan ketika ini di Sabah sahaja sebanyak 27 sekolah menengah dikenal pasti sedang menumpang di sekolah rendah.

"Sepatutnya tidak harus ada sekolah menumpang, Saya malu jadi Menteri Pelajaran waktu mana anak-anak kita terpaksa menumpang...bukan menumpang di Sekolah Menengah, tapi yang menengah menumpang di sekolah rendah," katanya kepada pemberita selepas majlis bersama warga pendidikan di Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu, di sini hari ini. Beliau berkata masalah itu turut berlaku di Semenanjung dengan sebahagian besarnya di kawasan-kawasan maju disebabkan oleh proses urbanisasi yang mengakibatkan jumlah penduduk tumbuh dengan pesat.

"Kadang-kadang agak susah nak ramalkan berapa jumlah penduduk tinggal di situ...tapi bila dah timbul hal begitu kita (kerajaan) tak boleh biarkan berlarutan," katanya.

Muhyiddin berkata bagi Sabah, kerajaan akan mengenal pasti yang mana yang paling akut untuk diatasi segera dan antara langkah sementara adalah menyediakan kabin atau bilik darjah sementara.

Beliau berkata ini kerana pembinaan sebuah sekolah baru memerlukan kos kira-kira RM50 juta yang tentunya akan menelan kos bilion ringgit untuk mengatasi sepenuhnya masalah itu yang memerlukan kajian terperinci.

"Jadi kita akan beri keutamaan yang menganggu proses P&P...laporan dari peringkat (Jabatan) Pelajaran negeri kita akan ambil perhatian," katanya.Isu sekolah menumpang itu diketengahkan semasa sesi dialog oleh Pegawai Pelajaran Daerah Pitas Halim Bidin yang meminta kerajaan memberi perhatian bagi pembinaan bangunan sekolah baru bagi mengatasi masalah sekolah yang terpaksa menumpang di bangunan sekolah lain yang menurutnya menjejaskan proses P&P.

Beliau memberikan contoh dua sekolah sedemikian di kawasan Pitas iaitu SMK Kanibongan dan SMK Bongkol serta SMK Bandau SMK Langkon dan SMK Simpang di Beluran. - Bernama