Followers

Wednesday, March 10, 2010

Surat untuk PM terus dapat sambutan

IPOH: Menjelang tarikh tutup Pertandingan Menulis Surat kepada Perdana Menteri pada 19 Mac ini, Pos Malaysia Berhad menerima lebih 3,500 pucuk warkah daripada pelajar di 30 sekolah di negeri ini, hari ini.

Ketua Operasi Pos Perak, Muhyddin Jaffar, berkata surat-surat itu diterima dari sekolah-sekolah di dua daerah iaitu Ulu Perak dan Kinta.

"Kutipan dari sekolah di daerah-daerah lain di negeri itu akan dibuat minggu depan," katanya pada majlis ringkas penyerahan surat kepada Pos Malaysia di Sek Men Keb Tarcisian Convent, di sini.

Pertandingan itu yang dianjurkan bersama Pos Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Kebudayaan, dan Kementerian Pelajaran dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 29 Disember lalu.

Setakat ini pertandingan yang terbuka kepada pelajar berusia dari tujuh tahun hingga 17 tahun itu telah menerima lebih 60,000 surat, dan Pos Malaysia mensasarkan jumlah itu meningkat kepada 100,000 apabila pertandingan berakhir.

Enam surat terbaik akan memenangi hadiah-hadiah menarik dalam bentuk wang tunai, kamera digital, baucer pembelian buku dan koleksi setem dengan pemenang utama akan menerima komputer riba.

Sementara itu, Ketua Sektor Pembangunan dan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Perak Zulkurnaini Hussin yang turut hadir pada majlis itu berkata kerjasama dan inisiatif dari pihak sekolah memainkan peranan penting dalam menggalakkan pelajar menyertai pertandingan berkenaan.

Seorang pelajar, Nur Ain Azuri, 17, yang menyertai pertandingan itu berkata dia berasa bangga dapat menyumbangkan idea dalam aspek pembangunan, sosial dan perpaduan kaum. - Bernama

Tuesday, March 9, 2010

120 ahli PKR Papar sertai Umno kerana Gagasan 1Malaysia

KOTA KINABALU: Seramai 120 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di mukim Limbahau dalam daerah Papar bertindak keluar parti untuk menyertai Umno kerana tertarik dengan gagasan 1Malaysia.

Jurucakap mereka, Camillus Ginibun, yang juga ahli jawatankuasa PKR Papar, berkata tindakan mereka keluar parti itu bukan kerana didesak atau dijanjikan sesuatu tetapi dengan kesedaran bahawa konsep 1Malaysia memberi perhatian terhadap kebajikan dan pembangunan semua kaum.

"Konsep 1Malaysia membuatkan kami merasa bangga kerana tidak ada kaum, termasuk Kadazan, Dusun dan Murut, yang akan dipinggirkan daripada arus pembangunan. Kami sebelum ini terperdaya dengan janji manis pemimpin PKR di peringkat negeri dan pusat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ginibun berkata, keputusan mereka untuk menyertai Umno adalah kerana Umno adalah tunjang Barisan Nasional manakala wakil rakyat mereka, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail, walaupun adalah ahli Umno, beliau sentiasa mengambil berat terhadap nasib semua kaum tanpa mengira agama dan bangsa.

Bekas Pengarah Logistik PKR kawasan Pantai Manis, Robert Apin, pula berkata penyertaan beramai-ramai ahli PKR dalam Umno bukan kerana mahu mendapatkan kedudukan tetapi untuk mencari "rumah yang teguh untuk berlindung". - Bernama

Operasi mencari mayat mangsa runtuhan gempa bumi Turki ditamatkan

ANKARA: Operasi Mencari dan Menyelamat mangsa gempa yang terselamat di kawasan pedalaman timur Turki di tamatkan hari ini, selepas lapan jam gempa kuat itu menggegarkan rantau ini dan meragut sekurang-kurangnya 57 nyawa.

Pegawai pejabat gabenor daripada meja krisis di wilayah Elazig, berkata menurut maklumat yang diterima, tidak ada mangsa yang masih berada di bawah runtuhan dan kerja-kerja mencari dan menyelamat sudah ditamatkan.

Mangsa yang masih cedera difahamkan mencecah lebih 50 orang. - AFP

Gempa kuat di Turki korbankan 39 nyawa

ELAZIG (Turki): Kejadian gempa bumi di timur Turki awal hari ini sudah meragut 39 nyawa dan mencederakan ramai mangsa ketika pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang tertimbus, menurut pihak berkuasa negara itu.

Gempa berukuran 6.0 skala Richter itu dicatatkan pada kedalaman lima kilometer, di mana pusat gempanya berdekatan bandar Karakocan di wilayah Elazig.

Gabenor Muammer Erol, berkata mangsa yang terbunuh membabitkan dari kawasan yang menempatkan lima perkampungan, di mana pasukan penyelamat cuba menyelamatkan sekurang-kurangnya empat individu yang terperangkap dibawah runtuhan untuk satu kawasan perkampungan.

Laporan Agensi Berita Anatolia yang meninjau Pusat Pengurusan Krisis di ibu kota Ankara, berkata sekurang-kurangnya 60 mangsa tercedera. Angka kematian bagi kampung Okcular, Yukari Kanatli ve Kayali yang mencecah 17 orang masih kekal.

Sekurang-kurangnya lapan maut di Okcular, iaitu perkampungan terbesar di wilayah yang mempunyai jumlah penduduk kira-kira 800 orang, di mana mereka menetap di rumah yang dibina di lereng bukit yang diperbuat daripada lumpur dan batu bata. - AFP