Followers

Thursday, March 4, 2010

Gempa bumi kuat gegarkan Taiwan, kecederaan dilaporkan

TAIPEI: Gempa bumi kuat pada magnitud 6.4 menggegarkan selatan Taiwan hari ini, menyebabkan kerosakan teruk dan mengganggu sistem komunikasi di pulau itu, menurut laporan berita yang turut mengesahkan beberapa mangsa cedera susulan kejadian terbabit.

Gempa yang berpusat di daerah Kaohsiung, berlaku pada kedalaman 5 kilometer.

Kaohsiung terletak kira-kira 400 kilometer selatan ibu kota Taipei.

Gempa susulan 6.1 gegar tengah Chile

WASHINGTON: Gempa bumi susulan dengan kekuatan 6.1 pada skala Richter mengegarkan tengah Chile, empat hari selepas gempa bumi kuat berukuran 8.8 membunuh lebih 800 orang.

Pusat Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gempa bumi pada kedalaman 34 kilometer (km) berpusat di dasar lautan kira-kira 39km ke barat Valparaiso pada jam 10.59 malam (8.59 pagi waktu Malaysia).

Chile dilanda kira-kira 150 gempa susulan sejak Sabtu lalu. - Reuters

Gempa kuat 6.4 magnitud landa selatan Taiwan

TAIPEI: Gempa berukuran 6.4 magnitud melanda selatan Taiwan awal hari ini sehingga mencetuskan panik sebahagian penduduk di pulau itu yang keluar ke kawasan lapang bagi menyelamatkan diri.

Gempa berpusat di 70 kilometer (km) dari Bandaraya Kaohsiung, lapor Pusat Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Setakat ini tiada amaran tsunami dikeluarkan manakala belum ada laporan mengenai kerosakan serta mereka yang cedera.

Penduduk Kaohsiung bergegas keluar ke jalan raya apabila bangunan bergegar dan enggan memasuki semula bangunan kerana ketakutan. - AFP

Bicara pelajar guna Facebook ancam keselamatan 1 November

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 1 November ini bagi perbicaraan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), Mohamad Tasyrif Tajudin, yang didakwa menggunakan aplikasi dalam Internet untuk membuat komen yang boleh mengancam keselamatan orang lain di laman Facebook pada Januari lalu.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan selama dua hari untuk mendengar kes tersebut selepas pihak pembelaan yang diwakili Mohd Radzlan Jalaludin menerima semua dokumen yang diperlukan daripada pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad.

Pada 18 Januari, Mohamad Tasyrif mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mohamad Tasyrif, 25, didakwa secara sedar telah memberi komen di laman Facebook dengan niat untuk mengganggu orang lain dengan menggunakan akaun pengguna, Shahrul Maizam dengan menulis "ke nak aku baling bom petrol di sana plak?...harga boleh runding..."

Pelajar tahun pertama jurusan perfileman itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Desa Mentari 2, Petaling Jaya pada 10 Januari lalu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama