Followers

Wednesday, February 24, 2010

Warga Saudi dituduh biayai kegiatan pengeboman di Indonesia

JAKARTA: Seorang warga Arab Saudi dihadapkan ke mahkamah di sini, hari ini atas tuduhan membiayai pengeboman beberapa hotel mewah di kota raya Jakarta, tahun lalu yang mengorbankan tujuh orang.

Al Khelaiw Ali Abdullah, 54, dituduh memberi 'bantuan dan kemudahan' kepada anggota kumpulan pengganas dengan meminjamkan wang, barangan dan bantuan lain.

Pendakwaan yang diketuai Totok Bambang akan membentangkan bukti bahawa Al Khelaiw terbabit secara langsung dalam kejadian pengeboman itu.

Beliau diberkas sebaik sahaja kejadian pengeboman hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton pada 17 Julai tahun lalu.

Pengganas yang mengetuai kejadian itu, Noordin Mohammed Top, yang terbunuh dalam serangan hendap polis September lalu, memberitahu salah seorang pengebom berani mati itu supaya bersedia untuk mati sebaik menerima wang yang dihantar dari Asia Barat itu.

Al Khelaiw bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terhadapnya dengan mendakwa, beliau sebenarnya mahu terbabit dalam perniagaan internet di Indonesia dan tiada niat untuk membiayai aktiviti pengganas.

"Saya bukan pengganas dan saya tidak mengenali sesiapa yang terbabit dengan pengganas.

"Saya datang ke Indonesia untuk berehat dan berhasrat memulakan perniagaan komputer," katanya. - AFP

Tanah runtuh di ladang teh Indonesia ragut 5 nyawa, lebih 30 hilang

JAKARTA: Lima terbunuh manakala lebih 30 mangsa lain masih hilang selepas tanah runtuh menutupi sebahagian ladang teh di Indonesia, hari ini.

Pihak berkuasa negara itu, berkata tanah runtuh berlaku susulan hujan lebat yang melanda daerah Bandung.

"Lima mayat sudah dikeluarkan. 35 mangsa lain masih hilang. Kira-kira 35 rumah tertimbus dalam sehingga menyebabkan bumbung rumah tidak kelihatan," kata ketua pasukan mencari dan menyelamat Jakarta, Budiawan.

Lebih 300 petugas mencari dan menyelamat bersama kelengkapan berat dikerahkan ke kawasan itu, berdekatan kampung Ciwidey, iaitu kira-kira 35 kilometer barat daya bandar Bandung.

"Kami akan bekerja sepanjang malam untuk menyelamat seberapa ramai mangsa yang mungkin," katanya. - AFP

Hanya paras air loji Sembrong Timur kritikal

KUALA LUMPUR: Paras air di semua empangan dan takungan air di seluruh negara dilaporkan berada dalam keadaan baik kecuali di Loji Rawatan Air Sembrong Timur di Kluang, Johor, yang kini berada dalam keadaan yang kritikal.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata pihaknya memantau situasi di semua empangan dan takungan air ekoran cuaca panas sejak bulan lalu yang dikhuatiri boleh menyebabkan paras air merosot.

"Kita sedang memantau paras air, kalau dah sampai dalam tahap merbahaya, kita akan melakukan cara-cara untuk memastikan kita tidak membazirkan air," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Tahun Baru Cina Tenaga Nasional Berhad, di sini hari ini.

Chin berkata, Loji Rawatan Air Sembrong Timur di Kluang berada pada paras kritikal berikutan paras air di Sungai Sembrong yang menyalurkan air ke loji berkenaan merosot. - Bernama

Tuesday, February 23, 2010

Harga ikan dijangka melambung

IPOH: Penguatkuasaan peraturan mewajibkan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) mulai 1 Mac ini bakal menyebabkan kenaikan harga ikan dan makanan laut lain secara mendadak serta bekalan yang merosot di pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia, Datuk Yusoff Ismail, berkata senario itu tidak dapat dielak sekiranya penguatkuasaan peraturan berkenaan diteruskan.

"Apa yang kita takuti, nasib rakyat yang juga pengguna akan menjadi taruhan kerana dengan peningkatan kos operasi sudah tentu harga ikan melambung tinggi di pasaran, sekali gus membebankan mereka," katanya pada sidang akhbar di pejabat Persatuan Pengimport dan Pemborong Ikan Perak, di sini hari ini.

Yusoff berkata, kenaikan harga tidak dapat dielak kerana pengimport terpaksa menokok harga membeli peti KIBFG sehingga hampir RM100 sebuah berbanding sekarang.

"Sebagai perbandingan, harga kotak 30 kilogram yang digunakan sekarang adalah RM28 manakala KIBFG mencecah RM120.

"Begitu juga kotak KIBFG bagi 100 kg iaitu RM205 jauh lebih tinggi dengan harga biasa iaitu RM150," katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan peraturan pengimportan ikan basah itu secara langsung akan mengakibatkan harga ikan melambung tinggi di pasaran.

Penguatkuasaan peraturan berkenaan yang sepatutnya dilaksana tahun lalu, ditangguh berikutan bantahan pengimport dan pemborong ikan kerana harga kotak ikan berinsulasi tinggi yang dikatakan terlalu mahal.

Yusoff berkata, bagaimanapun jawatankuasa berkenaan tidak berhasrat menghentikan operasi membawa masuk bekalan ikan seperti yang pernah dilakukan Mac tahun lalu.

Mulai 1 Mac ini, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mewajibkan penggunaan KIBFG yang bertujuan memastikan kualiti ikan yang dibawa masuk ke negara ini lebih selamat, bersih dan segar sejajar dengan pembaharuan dalam industri perikanan pada masa sekarang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar, pada Oktober lalu berkata penguatkuasaan penggunaan KIBFG itu mengambil kira pewartaannya pada 2006 yang tertangguh disebabkan pelbagai alasan daripada pihak terlibat khususnya pemborong dan pengimport ikan. - Bernama