Followers

Friday, February 19, 2010

Keputusan STPM 2009 Khamis depan

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 akan diumumkan pada 25 Februari ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM dan hantar ke 36363, atau menaip STPM Result dan hantar ke 15888.

Keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari pada tarikh itu.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan jam 11.30 pagi pada tarikh sama di pejabat MPM, Persiaran 1, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lalu, 52,348 calon menduduki peperiksaan STPM.

Daripada jumlah itu, 47,260 orang atau 90.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 1,747 (3.34 peratus) calon sekolah swasta dan 3,241 (6.38 peratus) calon persendirian. - Bernama

Thursday, February 18, 2010

Malaysia, Indonesia setuju tentukan sempadan perairan

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia akan menentukan perbatasan persempadanan perairan masing-masing berdasarkan "Rules Of Engagement" (ROE) bagi mengelak sebarang pertembungan dalam melakukan operasi rondaan oleh tentera laut masing-masing.

"Ini termasuk dalam menangani isu perairan Ambalat di perairan Laut Sulawesi yang menjadi tuntutan kedua-dua negara sejak 1960-an," kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Prof Dr Ir Purnomo Yusgiantoro, di akhir Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia kali ke-38 di sini hari ini, beliau berkata ROE menjadi satu elemen penting dalam mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan sebagai jalan penyelesaian terutama isu pertindihan perairan Ambalat.

"Perkara itu (ROE) telah dipersetujui dalam mesyuarat kali ini bagi mengelakkan pertembungan dalam melakukan operasi yang dilakukan oleh kedua-dua buah negara bagi menjamin keamanan kedua-dua pihak.

"Dengan kesepakatan bersama ini diharap akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul secepat mungkin," katanya.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Abdul Hadi Husin.

Antara wakil dari Indonesia yang hadir ialah dutanya ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar dan Panglima Tentera Nasional Indonesia, Djoko Santoso.

Isu Ambalat pernah menjadi bahan provokasi media Indonesia pada Jun tahun lalu apabila laporan berita dari Indonesia mendakwa kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencerobohi kawasan perairan yang menjadi pertikaian antara Malaysia-Indonesia.

Menyentuh perkara itu, Prof Purnomo berkata walaupun isu Ambalat tidak dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat kali ini kerana ia di bawah kuasa Kementerian Luar Negeri, namun ia turut disentuh terutama dalam membincangkan bidang kuasa ROE.

"Jadi untuk Malaysia dan Indonesia, kita ada komitmen ROE yang disepakati dan ROE ini akan dibuat oleh pihak masing-masing dan kemudian dari situlah nanti ianya akan dilaksanakan bersama-sama," katanya.

Mesyuarat itu juga membincangkan dan mempersetujui beberapa perkara antaranya bidang operasi dan bukan operasi.

Ahmad Zahid berkata, dalam bidang operasi, kedua-dua pihak merancang untuk menambah penempatan lima Pos Gabungan yang kini ditempatkan di Entikong, Kalimantan Barat dan Simanggaris di Kalimantan Timur manakala di Malaysia ia terletak di Biawak dan Lubuk Antu di Sarawak serta Seliku di Sabah.

Katanya, dalam kerjasama latihan, turut dipersetujui ialah latihan yang berkonsepkan operasi gabungan bersama dalam melawan keganasan, selain meluluskan rancangan pelaksanaan Eksesais Malaysia-Indonesia Latihan Gabungan Bersama Darat Samudera dan Angkasa.

"Eksesais dua hala itu akan diadakan setiap empat tahun sekali itu melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan angkatan tentera bermula 25 Mac hingga 10 April di sekitar Melaka," katanya.

Dalam bidang kepolisan terutamanya dalam mengekang jenayah yang melangkaui sempadan, kedua-dua negara bersetuju bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Indonesia untuk terus menjalankan operasi bersama dan berkongsi maklumat dalam membenteras kegiatan haram.

Mesyuarat kali ini juga menerima kemasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sebagai anggota GBC yang baru. Mesyuarat GBC ke-39 akan diadakan di Indonesia pada awal tahun 2012. - Bernama

12 cedera dalam serangan bom di Pattani

PATTANI: Dua belas orang cedera dalam satu kejadian letupan bom berhampiran sebuah penjara di daerah Mueng di sini, pagi ini.

Ketua Polis Mueng, Pol Col Manus Siksamat, berkata pemberontak menyembunyikan bom seberat lima kilogram (kg) di sebuah motosikal yang diletakkan di luar penjara dan meletupkannya dengan alat kawalan jauh apabila 12 orang awam terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita melintasi kawasan berkenaan pada pukul 7.45 pagi.

"Polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui sebuah lagi bom seberat 10kg disembunyikan dalam semak kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian," katanya.

Lebih 3,800 orang terkorban dalam tempoh enam tahun lalu selepas puak pemisah melancarkan semula konflik bersenjata untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di Selatan Thailand iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat. - Bernama

100 penduduk Jakarta dipindah akibat banjir

JAKARTA: Seramai 100 warga Jakarta mula ditempatkan di pusat pemindahan banjir apabila tempat tinggal mereka ditenggelami air sehingga paras leher orang dewasa sejak awal hari ini.

Banjir melanda beberapa daerah di sini, termasuk yang paling buruk di Kampung Melayu, Jakarta Timur, yang terletak di bahagian tengah Sungai Ciliwung.

Setiap kali tiba musim hujan, wilayah ini sering dinaiki air.

Banjir di Jakarta bukan hanya disebabkan hujan lebat di sini tetapi juga akibat hujan berterusan di kawasan tanah tinggi sekitarnya seperti Bogor di Jawa Barat.


Kedudukan Jakarta di kawasan tanah rendah telah mengakibatkan air hujan yang berlebihan di kawasan tinggi mengalir ke sungai-sungai utama yang letaknya di tengah-tengah kawasan penempatan penduduk.

Hari ini, 100 penduduk Kampung Melayu, termasuk kanak-kanak, dipindahkan dari rumah masing-masing ke pusat pemindahan banjir di kawasan itu.

Sebelum dipindahkan kebanyakan penduduk terbabit telah menempatkan barang-barang di tingkat atas atau tempat yang lebih tinggi di rumah mereka untuk mengelak kerosakan.

Pasukan pemindahan banjir yang dilengkapi bot penyelamat telah pun diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir ini.

Penduduk tempatan di kawasan rendah juga telah bersiap sedia dengan pelbagai cara, seperti menggunakan almari pakaian yang boleh berfungsi sebagai bot penyelamat atau membina rumah yang tinggi bagi menyimpan barang-barang bila berlaku banjir.

Naib Presiden, Boediono turut melawat kawasan banjir di Kampung Pulo dalam kawasan Kampung Melayu setelah selesai meninjau keadaan di Pasar Jatinegara, Jakarta Timur, yang terletak tidak jauh dari kawasan banjir.

Beliau diberi taklimat oleh Gabenor Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta, Fauzi Bowo mengenai status banjir yang melanda Sungai Ciliwung itu dan menyaksikan bagaimana aliran sungai yang naiki hampir menyentuh tepi jalan.

"Esok kita akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan masalah banjir bersama pihak yang berbabit. Ini adalah langkah jangka panjang untuk mengatasi banjir," kata Boediono.

Pihak berkuasa DKI Jakarta telah menyediakan pelan induk bagi mengatasi masalah banjir dengan projek sungai buatan untuk mengalirkan air ke laut.

DKI Jakarta sedang menyelesaikan salah satu kawasan banjir di kawasan Jakarta Timur, melalui projek dikenali sebagai "Banjir Kanal Timur", yang membabitkan pembinaan sungai buatan sepanjang 23.5 kilometer bagi mengurangkankan paras air beberapa batang sungai sepanjang 207km di sekitar ibukota ini.

Projek banjir kanal timur dan banjir kanal barat disasarkan dapat mengurangkan masalah banjir di Jakarta hingga 40 peratus. - Bernama