Followers

Thursday, February 18, 2010

"Hukuman sebat beri kami keinsafan"

KAJANG: Tanpa mengetahui bentuk sebatan yang akan dilaksanakan ke atas mereka, tiga wanita yang menjadi kumpulan pertama menjalani hukuman mengikut undang-undang syariah di negara ini tetap reda kerana insaf dan bertaubat atas kesalahan lalu.

Walaupun akhirnya mendapati hukuman itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan kerana kaedah yang berbeza dengan sebatan sivil, wanita terbabit menganggap hukuman itu memberi kesedaran mendalam.

Seorang daripada mereka yang juga ibu kepada bayi berusia kira-kira setahun, menganggap hukuman itu sebagai peluang yang diberikan Allah untuk beliau kembali ke jalan yang diredai.

Ayu (bukan nama sebenar) yang berusia pertengahan 20-an berkata, hukuman sebatan yang diterimanya tidak mencederakan atau menyakitkan, sebaliknya memberi keinsafan dan mengurangkan tekanan jiwa yang ditanggung mereka.

Menceritakan detik disebat pada 9 Februari lalu, Ayu berkata selepas menerima sebatan pertama, beliau memperbanyakkan istighfar dan apa yang terlintas dalam fikirannya ketika itu hanya mengharapkan keampunan daripada Allah.

Beliau yang menyerah diri di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebelum didakwa mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, kini menjalani hukuman penjara dua bulan, denda RM1,000 dan empat sebatan.

“Saya tidak mengemukakan rayuan kerana saya reda dengan apa juga hukuman diputuskan mahkamah, malah saya wajar menerima hukuman itu, jika tidak saya tak akan sedar sampai bila-bila.

“Hukuman itu memberi kesedaran mendalam dalam jiwa saya. Allah memberi peluang untuk saya bertaubat dan kembali ke jalan-Nya,” katanya kepada pemberita di Penjara Wanita Kajang, di sini petang tadi.

Wakil media yang hadir ke Penjara Kajang juga menyaksikan demonstrasi hukuman sebat ke atas pesalah syariah wanita. Mengikut peruntukan undang-undang syariah, hukuman itu hanya dijalankan ke atas pesalah yang disahkan sihat oleh pegawai perubatan hospital kerajaan.

Selain itu hukuman dilaksanakan dalam keadaan pesalah menutup aurat oleh pegawai sebat wanita.

Malah rotan yang digunakan ditetapkan pada ukuran maksimum iaitu 1.22 meter panjang, manakala 1.25 sentimeter dari segi ketebalan bergantung keputusan mahkamah.

Seorang lagi wanita yang disebat, Aishah (bukan nama sebenar), 18, mengakui hukuman yang dikenakan itu masih tidak setimpal dengan dosa yang dilakukannya.

Katanya, walaupun terkejut ketika keputusan dibacakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Disember lalu, beliau yakin hukuman sebatan mampu mendatangkan keinsafan.

“Walaupun saya berdebar, saya reda dan saya patut terima hukuman itu kerana hukuman di akhirat lebih hebat tetapi sekurang-kurangnya saya insaf.

“Saya tidak buat rayuan kerana tidak mahu menyusahkan lagi ibu bapa saya yang mengharapkan saya menjadi manusia berguna,” katanya yang kematian bayi pramatang berusia tujuh bulan pada November lalu.

Seorang lagi wanita yang mahu dikenali sebagai Nur dan berusia pertengahan 20-an berkata, hukuman enam sebatan yang dilaluinya dapat mengurangkan tekanan jiwa yang ditanggung selepas melahirkan anak luar nikah hampir tiga tahun lalu.

Nur yang menganggap diri sebagai insan terpilih kerana diberi peluang menjalani hukuman itu, berkata perasaan reda dengan hukuman itu menyebabkan dia tidak merasai kesakitan akibat disebat.

Katanya, dia tidak dapat berkahwin dengan pasangannya yang juga menerima hukuman di Penjara Kajang kerana berdepan dengan masalah wali apabila bapanya meninggalkan keluarga sejak enam tahun lalu.

“Selepas menjalani hukuman ini, saya berserah pada Allah semoga diampunkan segala dosa kami,” katanya.

Gempa gegar tiga negara - China, Russia, Korea Utara

BEIJING: Gempa kuat berukuran 6.8 magnitud menggegarkan tiga negara - China, Russia dan sempadan Korea Utara, awal hari ini.

Pusat Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa jam 9.15 pagi waktu tempatan itu menggegarkan banyak bangunan pejabat di Beijing dalam tempoh melebihi satu minit.

USGS berkata, gempa berpusat di pesisir pantai Russian dan Jepan di 98 kilometer (km) di barat Vladivostok, Russia dan 110km di timur bandar Yanji di utara Wilayah Jilin di China.

Seorang pegawai bencana/gempa di Wilayah Jilin berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat terkini mengenai kejadian itu, termasuk mangsa dan kerosakan yang berlaku. - AP

KPT laksana Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT

KOTA BHARU: Kementerian Pengajian Tinggi akan melaksanakan Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bertujuan menggalakkan pembangunan keusahawanan yang holistik di kalangan IPT tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata dasar itu mengandungi enam teras strategik bagi menjayakan matlamat itu.

Enam teras itu ialah:

* penubuhan pusat keusahawanan di semua IPT

* penyediaan pendidikan dan program keusahawanan terancang dan holistik

* pemantapan program pembangunan dan pengukuhan keusahawanan

* pengwujudan mekanisme pengukuran yang berkesan

* penyediaan persekitaran dan ekosistem yang kondusif

* peningkatan kompetensi tenaga pengajar keusahawanan.

Gempa bumi gegar Pulau Kermadec Selatan Pasifik

WELLINGTON: Gempa bumi pada magnitud 5.8 menggegarkan kepulauan Kermadec, berhampiran New Zealand di selatan Pasifik, awal pagi tadi, tetapi tiada tanda-tanda tsunami ditunjukkan, kata pengkaji gempa bumi.

Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa yang melanda jam 2.38 pagi (waktu Malaysia) itu tidak berapa dalam dengan kedalaman pusat gempa 35 kilometer (km) dan terletak 56 km di selatan utama kepulauan Kermadec, Raoul.

Lengkuk pulau di timur laut New Zealand itu tidak mempunyai penghuni.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik tidak mengeluarkan sebarang amaran susulan kejadian gempa itu. - AFP