Followers

Sunday, February 14, 2010

Obama jemput Najib hadiri sidang nuklear dunia

ROMPIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan menghadiri Persidangan Nuklear Dunia di Washington, Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 13 April depan.

Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata Presiden AS, Barack Obama, telah secara rasminya menjemput Perdana Menteri menghadiri persidangan itu menerusi surat yang disampaikan melalui Kedutaan Malaysia di Washington.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Umno Bahagian Rompin di Universiti Tenaga Nasional di Muadzam Shah dekat sini hari ini, Jamaludin berkata beliau dimaklumkan sendiri oleh Najib mengenai pengesahan kehadiran beliau pada persidangan yang akan dihadiri oleh pemimpin kanan dari lebih 40 buah negara itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rompin berkata, jemputan daripada Obama itu adalah penghormatan besar kepada Malaysia kerana negara ini bukanlah sebuah negara pengeluar nuklear namun suara dan pandangannya turut mahu dikongsi bersama dengan negara lain.

"Saya rasa rakyat Malaysia patut rasa bangga sebab kita bukan negara kuasa nuklear dunia tetapi Presiden Obama beri penghormatan kepada Perdana Menteri kita menghadirinya dan pada masa yang sama menghormati Malaysia sebagai negara Islam dan mahukan suara Islam dalam membincangkan isu ini," katanya.

Jamaludin berkata, lawatan Najib itu juga memberi peluang kepada beliau menemui pelabur berpotensi dari AS untuk datang melabur di Malaysia bagi mengukuhkan lagi hubungan perdagangan antara Kuala Lumpur-Washington.

Katanya, antara cadangan program beliau kepada Najib adalah mengadakan pertemuan bersama pengerusi dan ketua pegawai eksekutif syarikat besar AS yang bermastautin di Malaysia bagi mendengar sendiri daripada Najib mengenai dasarnya untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

Pertemuan juga, katanya, akan turut diadakan bersama tokoh kerajaan peringkat menteri untuk melihat bagaimana produk dari Malaysia khususnya pertanian dapat menembusi pasaran AS. - Bernama

Mayat rentung bayi lelaki ditemui dalam tong sampah

KUALA KRAI: Mayat rentung seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui dalam tong sampah besar milik Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) di Jalan Tengku Zainal Abidin di sini pagi tadi.

Tidak dapat dipastikan sama ada bayi yang masih bertali pusat dan uri itu telah dibakar hidup-hidup.

Ketika ditemui tiga petugas MDKK yang sedang melakukan tugas memungut sampah di situ kira-kira 11 pagi, bayi yang berkulit cerah tersebut ditemui rentung pada sebahagian badan sementara kakinya juga terputus daripada badannya.

Seorang petugas berkenaan, Mohd Zain Pa'Su, 57, berkata pada mulanya beliau dan rakanya terkejut apabila mendapati tong sampah tersebut telah terbakar.

"Tong sampah ini turut dipenuhi dengan rumput, kayu dan zink yang didapati disusun dengan rapi seolah-olah bagi menyembunyikan sesuatu.

"Amat jarang tong sampah ini terbakar. Disebabkan sukar untuk mengangkat sampah kerana tongnya terbakar, kami terpaksa memunggahnya.

"Tetapi alangkah terkejutnya kami apabila menemui mayat bayi lelaki di dalamnya. Ketika itu separuh badan bayi itu masih putih tetapi masih ada bara api pada keseluruhan badannya," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Abdul Rahim Che Ghani, berkata berdasarkan siasatan, tong sampah itu dipercayai terbakar sejak pagi semalam.

"Tetapi disebabkan semalam bukan waktu untuk memungut sampah, tidak ada sesiapa yang menemui bayi itu sehinggalah kakitangan MDKK menjalankan tugas mereka pagi ini," katanya.

Beliau berkata, petugas MDKK berkenaan membuat laporan kepada dua anggota polis bermotosikal yang melakukan rondaan di kawasan tersebut kira-kira 11.25 pagi tadi.

"Kita turut mengesyaki suspek sengaja membakar tong sampah itu untuk menghapuskan bahan bukti kerana bimbang ia akan diketahui umum," katanya.

Beliau berkata, pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Kuala Krai untuk mengetahui punca kematian bayi itu.

Katanya, pihaknya juga percaya perbuatan itu dilakukan oleh remaja yang tinggal di sekitar bandar ini kerana beranggapan tidak mungkin orang luar akan berkereta bagitu jauh untuk membuang bayi berkenaan.

Beliau meminta orang ramai agar memberi maklumat mengenai kejadian tersebut dan juga meminta hospital dan klinik memaklumkan kes pesakit yang baru bersalin.

Abdul Rahim berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Pada Rabu lalu, kes buang bayi turut dilaporkan di Kampung Permatang Duyong, Melaka, manakala sehari sebelum itu, satu kes turut berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Satu lagi kes dilaporkan berlaku di Kedah, Isnin lalu. - Bernama

10 maut hari keenam Ops Sikap 21

KUALA LUMPUR: Sepuluh lagi kematian dicatat pada hari keenam Ops Sikap ke-21 semalam menjadikan jumlah mangsa yang terkorban sejak Ops sikap itu dilancarkan pada 7 Februari lalu sehingga semalam adalah 52 orang.

Daripada sepuluh kematian yang dicatatkan semalam tujuh membabitkan pengguna motosikal.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supt Rasdi Ramli, berkata tiga lagi kematian masing-masing membabitkan pengguna kereta, kenderaan pacuan empat roda dan pejalan kaki.

Tiga kemalangan maut berlaku di Jalan Persekutuan, masing-masing dua di lebuh raya, jalan negeri dan jalan-jalan lain serta satu di jalan bandaran, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 1,127 kemalangan yang dicatat pada hari keenam Ops Sikap itu yang dilancarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina, 478 kemalangan berlaku di jalan bandaran, jalan persekutuan (291), jalan negeri (193), lebuh raya (113) dan jalan-jalan lain (52).

Sebanyak 10,444 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya. - Bernama

GST: IKS boleh tuntut balik cukai bahan mentah

BACHOK: Pengilang dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dijangka dikenakan cukai empat peratus untuk membeli bahan mentah, boleh menuntut semula wang itu selepas menghasilkan produk, apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata kadar cukai GST adalah lebih rendah berbanding antara 5 dan 10 peratus mengikut kaedah percukaian semasa.

"GST menguntungkan dan tidak membebankan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pesta futsal anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bachok di Kampung Melawi, di sini, hari ini.

Sebanyak 60 pasukan menyertai pesta itu yang turut dihadiri oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Bachok, Datuk Zaidi Mohd Said.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, GST juga tidak membebankan golongan berpendapatan rendah, khususnya golongan petani dan nelayan, kerana keperluan asas seperti gula dikecualikan.

Beliau berkata, GST lebih menekankan kepada golongan berpendapatan tinggi dan sederhana yang membeli barangan mewah seperti kereta, peti sejuk, televisyen dan motosikal.

Oleh itu rakyat tidak seharusnya mudah dipengaruhi parti pembangkang yang menakut-nakutkan mereka kononnya GST akan membeban setiap individu kerana terpaksa membayar cukai yang tinggi.

Beliau berkata, lebih 150 negara sudah menggunakan sistem itu yang dikenali sebagai Cukai Tambah Nilai (VAT). - Bernama