Followers

Saturday, February 13, 2010

Bali dilanda gempa bumi 6.6 pada skala Richter

JAKARTA: Penduduk dan pelancong di pulau peranginan Bali merasakan goncangan gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Richter awal pagi ini.

Gempa yang berlaku pada 2.43 pagi waktu tempatan itu turut dirasai sebahagian penduduk di Jawa Timur dan Pulau Lombok yang berhampiran dengan Bali, namun ia tidak mengakibatkan sebarang kerosakan pada bangunan atau kemalangan jiwa.

Berdasarkan data daripada Badan Meteorologi dan Geofisika Indonesia, gempa bumi berkedalaman 10 kilometer itu berpusat di Launtan Hindi pada kedudukan 210 km ke Barat Daya Nusa Dua, Bali atau 212 km ke Barat Daya Kuta, Bali dan ia tidak berpotensi mengakibatkan ancaman tsunami.

Semasa kejadian, kebanyakan penduduk sedang nyenyak tidur.

Ketua Pusat Data dan Perhubungan Awam Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Priyadi Kardono berkata, secara relatif gempa itu adalah kecil.

"Meskipun ia dalam, penduduk hanya merasakan impaknya pada sekitar 2 hingga 3 MMI (Modified Mercalli Intensity) dan ia berlaku hanya beberapa saat," katanya.

Priyadi berkata, sungguhpun gempa itu cukup kuat untuk membangunkan penduduk daripada tidur, ia tidak mengganggu aktiviti harian mereka.

Katanya, badan itu akan terus memantau kejadian berkenaan daripada pelbagai sumber termasuk dari pihak polis tempatan.

Penduduk Bali tidak diberikan sebarang nasihat khusus berikutan kejadian itu kecuali diminta terus berwaspada terhadap gempa bumi tidak diduga. - Bernama

7 maut pada hari kelima Ops Sikap 21

KUALA LUMPUR: Tujuh lagi kematian dicatat pada hari kelima Ops Sikap 21 semalam dengan empat daripadanya membabitkan pengguna motosikal.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supt Rasdi Ramli, berkata tiga lagi kematian akibat kemalangan jalan raya semalam membabitkan dua kes basikal dan satu kes kereta

"Dua kemalangan maut itu berlaku di lebuh raya, dua di jalan negeri dan masing-masing satu di jalan persekutuan, jalan bandaran dan jalan-jalan lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 1,066 kemalangan dicatat pada hari kelima Ops Sikap itu yang dilancar sempena sambutan Tahun Baru Cina dan daripada jumlah itu 95 kemalangan berlaku di lebuh raya, jalan persekutuan (211), jalan negeri (151), jalan bandaran (573) dan jalan-jalan lain (36).

"Sebanyak 13,171 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya," katanya. - Bernama

PM mahu UiTM sedia tempat untuk pelajar miskin, anak yatim

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyediakan 5,000 tempat untuk pelajar miskin dan anak yatim setiap tahun bagi memberi mereka peluang mendapat pendidikan tinggi.

Perdana Menteri juga mahu UiTM memperbetulkan ketidakadilan sejarah dengan melahirkan siswazah Melayu dan Bumiputera supaya seimbang dgn kedudukan kaum lain.

Beliau menegaskan orang Melayu kini terbukti bangsa yang mampu bangkit jika diberi peluang.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kampus UiTM Puncak Alam di sini petang ini.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan sedia menimbang untuk membina Hospital UiTM di Kampus Puncak Alam bagi melahirkan 2,000 doktor Melayu dalam masa 5 tahun.

Thursday, February 11, 2010

Gempa Haiti: Angka kematian meningkat 217,000 orang

PORT-AU-PRINCE: Angka kematian akibat gempa kuat di Haiti meningkat kepada 217,000 orang sehingga semalam dengan tumpuan ketika ini menambah tempat perlindungan kepada mangsa yang hilang tempat tinggal.

Ini berikutan Haiti akan dilanda musim tengkujuh serta ribut kuat dalam masa beberapa hari ini.

“Ada pihak yang meletakkan angka korban kepada 230,000 orang tetapi kami sudah mengiranya dan ia sehingga 217,000 saja setakat ini," kata Menteri Dalam Negeri, Paul Bien-Aime.

Kerajaan juga mengumumkan hari berkabung esok sebagai genap sebulan gempa kuat 7.0 magnitud itu melanda negara miskin di

Caribbean itu.

“Kini ada sekitar 1.2 juta penduduk tanpa tempat perlindungan," kata pegawai Palang Merah Britain, David Pappiat pada Sidang Kemuncak Palang Merah di Montreal, Kanada, semalam.

"Kami sedang berusaha untuk mendirikan lebih banyak khemah sementara yang kukuh bagi memastikan mangsa tidak terjejas teruk ketika musin tengkujuh tidak lama lagi," katanya.