Followers

Wednesday, February 10, 2010

Kerja mencari mangsa pasar raya Haiti runtuh dihentikan

PORT-AU-PRINCE: Kerja menyelamat mangsa runtuhan bangunan pasar raya di Haiti pagi tadi, dihentikan apabila tiada tanda-tanda mangsa yang masih hidup.

Selepas hampir enam jam mencari menggunakan kelengkapan mendengar dan kamera khusus, pasukan penyelamat berkata mereka tidak nampak tanda-tanda mangsa masih hidup.

Runtuhan terbaru berlaku ketika kontraktor swasta menjalankan kerja mencari mayat mangsa gempa bumi 12 Januari lalu.

Bangunan Pasar Caribbean setinggi lima tingkat yang popular di kalangan golongan berada itu, rosak berikutan gempa bumi bulan lalu, sebelum runtuh hari ini.

Difahamkan, pasukan menyelamat mencuba pelbagai kaedah bagi mencari kira-kira lima hingga lapan mangsa yang tertimbus di bawah bangunan berkenaan. - AFP

Pasar raya terbesar Haiti runtuh

PORT-AU-PRINCE: Sebuah pasar raya Haiti yang rosak dalam kejadian gempa di negara itu baru-baru ini, runtuh hari ini bersama-sama beberapa mangsa di dalamnya, menurut penyelia tapak dan petugas penyelamat.

"Beberapa pencuri berada di dalam bangunan yang rosak itu. Saya cuba menghalau mereka ketika bangunan ini runtuh, mereka masih berada di dalam," kata penyelia tapak itu, Meir Vaknin.

Pasar Raya Caribbean runtuh ketika lima hingga lapan pencuri terbabit berada dalamnya.

Beliau berkata, satu ruang simpanan runtuh ketika beliau sedang bertugas di tapak itu menggunakan pengorek bagi mengeluarkan mayat yang masih ada di dalamnya.

Katanya, sekurang-kurangnya seorang mangsa dikesan masih hidup.

Kejadian itu mengakibatkan terbentuk satu kawah besar dan jenkaut boleh dilihat di dalamnya.

Sementara itu, petugas penyelamat Mexico, Carlos Mendez, berkata mereka menemui dua mangsa setakat ini.

Ketika diajukan soalan sama ada yang lain masih hidup, beliau berkata: "Itu yang kami sedang cuba dapatkan kepastian."

Bangunan pasar raya lima tingkat itu terkenal di kalangan warga Haiti bagi golongan berada dan adalah pasar raya terbesar di ibu kota negara berkenaan. - AFP

Haiti tingkat angka korban gempa kepada 230,000

PORT-AU-PRINCE, Haiti: Kerajaan Haiti meningkatkan angka korban gempa bumi pada 12 Januari lalu kepada 230,000 daripada 212,000 dan berkata banyak mayat tidak diambil kira.

Kerajaan pada awalnya menganggarkan 150,000 mati pada 24 Januari berdasarkan mayat yang dikeluarkan dari runtuhan bangunan di Port-au-Prince.

Menteri Komunikasi, Marie-Laurence Jocelyn Lassegue, berkata kerajaan kini mendapati 230,000 kematian.

Namun, katanya, perangkaan terbaru itu tidak muktamad kerana banyak mayat ditanam di perkuburan persendirian atau oleh anggota keluarga.

Perangkaan terbaru itu menjadikan angka korban gempa bumi itu menyamai kematian akibat tsunami pada 2004. - AP

Tuesday, February 9, 2010

Malaysia perlu transformasi ekonomi utama

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melaksanakan transformasi utama dalam ekonomi, walaupun ia membabitkan kos jangka pendek atau menghadapi gangguan awal, bagi mencapai status negara maju pada 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata Malaysia memerlukan transformasi itu kerana negara tidak mampu tersekat di tengah-tengah, sebagai negara berpendapatan sederhana, sekalipun negara berpendapatan pertengahan tinggi.

"Bagi memperoleh status negara maju, model ekonomi kita perlu beralih ke arah menjadi negara berintensifkan pengetahuan dan dipacu inovasi," katanya pada hari kedua Persidangan Ekonomi 1Malaysia di sini hari ini

Persidangan itu dianjurkan oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM).

Nor Mohamed menjelaskan transformasi ekonomi membabitkan perubahan yang ketara.

Beliau berkata, usaha untuk menyesuaikan model ekonomi negara memerlukan pelaburan, yang mungkin tidak mendapat hasil serta-merta, namun memberi pulangan yang baik dalam jangka panjang.

"Dalam melaksanakan transformasi ekonomi, kita memerlukan komitmen untuk menjayakannya di peringkat awal dan terus kekal untuk kemajuan jangka panjang," katanya. - Bernama