Followers

Tuesday, February 2, 2010

Semakan program matrikulasi sesi 2010/2011 mulai 8 Februari

PUTRAJAYA: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah membuat permohonan program matrikulasi sama ada dengan mengisi borang OMR atau melalui internet, boleh mengemaskini permohonan mereka mulai 8 hingga 19 Februari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran di sini hari ini, peluang ini diberi bagi membolehkan pemohon membuat pilihan kolej dan pembetulan alamat, nombor telefon serta e-mel.

Semakan dan pindaan boleh dibuat dengan melayari laman web, www.moe.gov.my dan terus ke pautan Prauniversiti dan seterusnya ke Semakan Permohonan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran sesi 2010/2011.

Pelajar perlu memasukkan nombor kad pengenalan dan angka giliran untuk membuat pindaan.


Talian bantuan Bahagian Matrikulasi iaitu 03-88844100 boleh dihubungi mulai tarikh yang sama dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja sahaja. - Bernama

Isu Bukit Botak: Selangor cadang bina 1,442 rumah berkembar

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bercadang membina 1,442 unit rumah teres berkembar di atas tanah seluas 55.8 hektar di bawah pelan pembangunan Bukit Botak sebagai jalan penyelesaian kepada isu projek pemindahan setinggan Bukit Botak, di Selayang.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor, dalam satu kenyataan hari ini, berkata rumah itu akan dijual kepada peneroka dan pemilik tanah di kawasan itu pada harga RM90,000 walaupun nilai sebenar harga pasaran dianggarkan sekitar RM175,000.

Dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi yang dibina di atas kawasan seluas 2,200 kaki persegi serta reka bentuk moden yang mempunyai nilai komersil yang tinggi, projek yang dijangka siap sepenuhnya dalam masa 20 hingga 24 bulan itu dijangka memberi imej baru kepada kawasan Bukit Botak.

"Cadangan pembangunan ini hanya dapat dilakukan selepas terbatalnya perjanjian di antara penduduk dan pemaju sebelumnya berikutan pengambilalihan semula tanah Bukit Botak," menurut kenyataan itu.

Tambahnya, pengambilalihan tanah daripada pemaju yang diumumkan oleh kerajaan negeri sebelum ini adalah untuk mengembalikan hak penduduk.

Menurut kenyataan itu, peneroka dan pemilik tanah yang bersetuju dengan cadangan berkenaan perlu menandatangani borang yang disediakan oleh Pejabat Tanah Gombak sebelum dokumen lanjut untuk mengesahkan pemilikan rumah disediakan.

"Bagi mereka yang bersetuju dengan cadangan ini, tetapi tidak berminat untuk menetap di Bukit Botak atau mereka yang tidak layak menerima pinjaman bank pula, kerajaan negeri boleh menjual rumah bagi pihak mereka pada nilai komersil dan semua hasil jualan akan diserahkan pada mereka," menurut kenyataan itu.


"Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan pelan pembangunan Bukit Botak itu pula, mereka hanya layak menerima pampasan pengambilalihan semula tanah mereka oleh kerajaan negeri dan tidak berhak ke atas rumah yang bakal dibina," tambahnya. - Bernama

Monday, February 1, 2010

Kepala babi di perkarangan masjid mungkin diimport: Polis

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan kepala babi yang dijumpai di perkarangan masjid Taman Sentosa dekat sini, baru-baru ini, diimport dari luar negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman, berkata hasil siasatan forensik mendapati kepala babi hutan itu sudah disejuk bekukan sebelum diletakkan di masjid berkenaan.

Empat kilang musnah dalam kebakaran awal pagi

KUALA LUMPUR: Empat kilang termasuk dua kilang perabot musnah dalam kebakaran di Kampung Baru, Sungai Buloh, dekat sini, awal hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Mohd Nasir Abdul Ghani, berkata kebakaran pada kira-kira jam 1.40 pagi itu membabitkan deretan empat kilang mencapai sehingga 150x150 kaki persegi.

Beliau berkata, api dapat dipadam sepenuhnya pada jam 11.36 pagi.

"Enam jentera termasuk tiga dari Balai Bomba Sungai Buloh dan masing-masing satu dari Shah Alam, Jelutong dan Damansara dengan 31 anggota terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Mohd Nasir berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. - Bernama