Followers

Monday, January 11, 2010

Jangan sertai demonstrasi depan gereja: Polis

KUALA LUMPUR: Polis hari ini memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang demonstrasi di Gereja Assumption, Petaling Jaya yang dikatakan akan dijalankan pada 13 Januari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata tindakan berhimpun secara haram itu tidak akan membantu meredakan suasana tetapi hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Saya dimaklumkan ada SMS yang kini tersebar mengajak orang ramai berhimpun di gereja tersebut minggu hadapan, justeru saya merayu orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan yang dikatakan itu.

"Serahkan siasatan kepada kami, biar kami yang uruskan...jangan membuat tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan dan menimbulkan suasana tegang," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke gereja tersebut hari ini.

Beliau berkata, polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang melakukan perkara yang melanggar peruntukan undang-undang, termasuk berhimpun secara haram.

Ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat sebuah masjid di Klang Jaya diserang, beliau berkata: "Perkara seperti itu tidak berlaku. Tolong jangan dengar khabar angin dan tolong jangan buat spekulasi."

Beliau, bagaimanapun, berkata polis menerima satu laporan mengenai sebuah surau di Klang dibaling batu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, setakat ini hanya tiga buah gereja di sekitar Selangor dijadikan sasaran.

"Tiada kes baru dilaporkan. Namun ada sebuah gereja dilaporkan mengalami kecurian," katanya.

Khalid berkata, polis sedang mengenal pasti suspek yang terbabit dalam cubaan membakar ketiga-tiga buah gereja di Selangor.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan bahawa enam orang yang dipercayai anggota kumpulan "Penjahat Empat Jahanam" ditahan di Pasir Putih, Kelantan semalam yang mana empat daripada mereka adalah suspek utama dan dua lagi rakan kepada semua suspek.

"Dengan tangkapan itu, tujuh kes samun di sekitar Lembah Klang dan Pahang berjaya diselesaikan," katanya. - Bernama

Sunday, January 10, 2010

130 NGO Islam, Rela tawar kawal gereja

KUALA LUMPUR: Sebanyak 130 badan bukan kerajaan (NGO) bersama Ikatan Relawan Rakyat (Rela) hari ini menyatakan komitmen untuk menjadi "mata dan telinga" kerajaan dalam menangani sebarang ancaman ke atas rumah ibadat penganut agama Kristian.

Antara NGO yang terbabit dalam inisiatif sukarela itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Badan Tarbiah Sejagat (Batas), Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Pertubuhan Peribumi Semenanjung (Perkasa), Darussyifa, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Islamic Information and Services Foundation (IIS).

Setakat ini, inisiatif itu berjaya mengumpulkan seramai 60 sukarelawan bagi menjalankan pengawasan dan pemantauan di kawasan gereja sekitar Lembah Klang mulai hari ini.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, yang mewakili NGO terbabit berkata inisiatif itu diambil bagi membantu usaha kerajaan untuk memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara.

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata sukarelawan terbabit akan menghubungi Rela jika didapati ada sesuatu yang mencurigakan berlaku di kawasan gereja, yang kemudian akan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Katanya, jumlah anggota sukarelawan akan ditambah tidak lama lagi bagi membolehkan keselamatan gereja di setiap negeri dan daerah diawasi.

Nadzim berkata, satu perbincangan secara menyeluruh akan diadakan bersama beberapa NGO bukan Islam esok bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam memastikan keselamatan gereja.

Mengenai pengawasan di masjid, beliau berkata perkara itu akan turut diberi pertimbangan kerana ancaman bukan saja membabitkan gereja malah masjid.

Sementara itu, Pengarah Rela Selangor, Kol Khairi Mohd Alwee, berkata Rela bersedia memberi komitmen untuk mengawasi setiap gereja di sekitar Lembah Klang.

"Bagaimanapun kami turut meminta orang ramai agar sama-sama membantu menghubungi pihak kami jika didapati ada individu yang mencurigakan dan boleh memberi ancaman kepada gereja," katanya.

Orang ramai yang ingin melaporkan sebarang kejadian ancaman boleh menghubungi nombor 019-2333086 atau 019-3591000. - Bernama

Tun Fatimah tokoh pejuang berjasa: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyifatkan Tun Dr Fatimah Hashim, wanita pertama dilantik menganggotai jemaah menteri Malaysia yang meninggal dunia semalam, sebagai seorang tokoh pejuang yang banyak berjasa kepada negara, kerajaan dan Umno.

Perdana Menteri berkata, sebagai seorang Menteri yang menganggotai Kabinet awal negara selepas kemerdekaan, Allahyarhamah telah memberi sumbangan amat besar nilainya kepada kerajaan dan negara.

Katanya, Fatimah, 85, adalah seorang tokoh wanita unggul yang meletakkan asas dalam perjuangan wanita pada peringkat awal kemerdekaan negara ini.

"Oleh itu saya menganggap Allahyarhamah sebagai seorang tokoh pejuang, tokoh wanita dan tokoh dalam kerajaan yang begitu besar jasanya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri istiadat pengebumian Allahyarham di sini hari ini.

Allahyarhamah yang meninggal dunia di rumahnya pada 11.35 malam tadi kerana sakit tua, disemadikan dalam satu istiadat pengebumian negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, di sini pada jam 2.10 petang.

Allahyarhamah Fatimah yang meninggalkan enam orang anak, dikebumikan selepas solat Zuhur bersebelahan pusara suaminya - Tan Sri Abdul Kadir Yusoff iaitu bekas Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang dan Pembangunan Negara yang meninggal dunia pada April 1992.

Fatimah dilantik sebagai Menteri Kebajikan pada 20 Mei 1969 hingga 1 Mac 1973. Allahyarhamah menceburi arena politik pada 1947 dan memegang jawatan Ketua Pergerakan Kaum Ibu Umno, yang kini dikenali sebagai Pergerakan Wanita Umno, pada 11 September 1956 hingga Jun 1972.

Allahyarhamah juga pernah menyandang jawatan Naib Presiden Umno sebanyak tiga penggal mulai 1963 hingga 1967.

Sebelum itu, jenazah Allahyarhamah disembahyangkan di Masjid Negara di sini dengan diimamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Seramai lebih 200 sanak saudara dan kenalan hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, dan beberapa menteri Kabinet. - Bernama

Keadaan terkawal, jangan terpengaruh laporan internet: Hishammuddin

RAWANG: Beberapa lagi gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak, menjadi sasaran bom api tetapi keadaan adalah terkawal, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Keadaan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu khuatir dan diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan laporan di internet serta melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program motivasi pendidikan di bawah program Juara Rakyat di tapak ekspo Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dekat sini, hari ini.

Ditanya sama ada rentetan kejadian itu ada kaitan dengan pihak ketiga, beliau berkata memang ada pihak tertentu yang cuba melakukannya, tetapi "sama ada ia berkisar kepada masyarakat setempat, itu akan saya maklumkan kemudian."

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima secara total laporan media asing dan internet mengenai insiden membakar gereja kerana berita yang dilaporkan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Hishammuddin berkata, terdapat segelintir media asing yang bukan saja memberi gambaran kurang tepat, tetapi menggembar-gemburkan kejadian itu seolah-olah keadaan di negara ini tidak terkawal.

Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan taklimat kepada perwakilan asing di negara ini bagi menerangkan kedudukan sebenar isu itu.

"Kita kena beri penjelasan kepada masyarakat luar negara kerana ada warga kita di luar sana yang mahu tahu perkembangan sebenar kerana isu ini sering digembar-gemburkan pihak-pihak tertentu, termasuklah apa yang diambil dari internet.

"Saya bimbang gambaran yang diberikan itu tidak tepat. Jadi KDN telah memanggil wakil daripada kedutaan dan saya sendiri akan berjumpa dengan duta-duta untuk menerangkan apa yang sebenarnya berlaku.

"Disebabkan mereka perlu memberi gambaran sebenar kejadian itu kepada kerajaan masing-masing, mereka perlu mendapat maklumat yang sahih daripada kerajaan," katanya.

Hishammuddin juga memberi ingatan kepada pihak yang cuba membabitkan Umno dan kerajaan dalam isu itu supaya menghentikan perbuatan itu dan memikirkan sebaik-baiknya kerana mereka akan dipertanggungjawabkan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.

"Tuduhan mengatakan Umno sebenarnya di belakang semua kejadian ini adalah satu fitnah yang amat dahsyat dan akhirnya orang akan tahu kerana kita telah mempunyai maklumat tertentu berhubung siapa yang terbabit," katanya. - Bernama