Followers

Saturday, January 9, 2010

Muhyiddin lakukan lawatan rasmi ke London

LONDON: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan melakukan lawatan rasmi pertama beliau ke United Kingdom mulai hari ini hingga 14 Januari ini, kata Kementerian Pendidikan Malaysia dalam kenyataan di sini.

Lawatan itu adalah susulan undangan Menteri Kanak-kanak, Sekolah dan Keluarga Ed Balls dan Menteri Perniagaan, Inovasi dan Skil United Kingdom Lord Peter Mandelson untuk menyertai dan menyampaikan ucaptama di Forum Teknologi dan Pembelajaran Dunia, yang akan diadakan di sini dari 11 hingga 13 Januari ini.

Kenyataan itu berkata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran akan menyampaikan ucaptama di Forum Teknologi dan Pembelajaran Dunia itu dari 11 hingga 13 Jan di Queen Elizabeth II Conference Centre (QEIICC) di sini.

Selain Muhyiddin, forum berkenaan dijangka turut disertai kira-kira 50 Menteri Pendidikan dan warga pendidik dari 70 negara seluruh dunia.

Forum itu bermatlamat membantu pemimpin pendidikan dunia membincangkan dan mengkaji bagaimana teknologi yang mampu menambah baik kualiti serta akses kepada pendidikan.

Perbincangan dan pembentangan di forum itu akan berkisar kepada tema utama forum iaitu "Re-imagining Education" yang merangkumi tiga tema kecil iaitu "enabling regeneration and economic recovery" (membolehkan regenerasi dan pemulihan ekonomi); "striving for excellence" (berusaha untuk kecemerlangan); dan "preparing for the future" (persediaan untuk masa depan).

Semasa berada di United Kingdom, Muhyiddin akan mengambil peluang meningkatkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan United Kingdom dalam bidang pendidikan.

ni termasuk mengkaji peluang pendidikan yang terdapat di United Kingdom bagi membolehkan guru dan pegawai pendidikan meningkatkan kelayakan, kemahiran dan pengalaman mereka melalui pemberian latihan di institusi pengajian tinggi yang sesuai di United Kingdom.

Muhyiddin juga akan meninjau usaha transformasi dan inovasi dalam pendidikan di institusi pendidikan United Kingdom, termasuk melawat sebuah sekolah, iaitu Sunbury Manor School di sini.

Sekolah itu adalah sekolah menengah komuniti dan juga sekolah pakar yang mengaplikasikan persekitaran pembelajaran dengan menggunakan teknologi virtual.

Lawatan juga bertujuan menambah baik secara berterusan sistem pendidikan di Malaysia, termasuk memperkukuh aspek kepimpinan pendidikan serta penggunaan teknologi terkini bagi menambah baik kualiti pendidikan dan kemahiran, kata kenyataan itu.

Timbalan Perdana Menteri akan turut mengadakan perjumpaan dengan penuntut serta komuniti Malaysia di London serta memberi penjelasan dan berdialog dengan mereka mengenai perkembangan dan isu-isu semasa negara.

Selain itu, Muhyiddin akan mengadakan sesi pertemuan bersama pelabur berpotensi tinggi dari United Kingdom bersama Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (Mida).

Beliau juga akan melawat Pusat Pengajian Islam Oxford (OXCIS) dan berjumpa dengan penuntut Malaysia di University Oxford, melawat Auditorium Malaysia di OXCIS-Oxford Centre for Islamic Studies dan memberi ceramah bertajuk "Islam dan isu-isu kritikal di Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang agama".

Lawatannya pada kali ini dijangka dapat membawa keuntungan kepada sektor pendidikan dan ekonomi negara.

Bukan sahaja kerjasama dua-hala dalam bidang pendidikan sedia ada di antara Malaysia dan United Kingdom dapat dimantapkan, malah bidang kerjasama baru dalam pendidikan dan ekonomi dapat diterokai dan dipertingkatkan, kata kenyataan itu.

Yang paling utama, menurut kenyataan itu, hubungan diplomatik yang erat antara kedua-dua negara akan bertambah kukuh dengan rangka lawatan Timbalan Perdana Menteri ke United Kingdom pada kali ini. - Bernama

Agong titah semua pihak bertenang, hormati tempat ibadah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya saling menghormati tempat ibadah tanpa mengira kaum.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, Seri Paduka amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Tuanku Mizan menitahkan semua pihak terutamanya umat Islam agar bertenang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Seri Paduka menzahirkan harapan itu kerana kerajaan sedang mengambil langkah perlu berikutan keputusan mahkamah itu dan semua pihak sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

"Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia," titah Tuanku Mizan.

Menurut kenyataan itu, Tuanku Mizan memandang serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Katolik, Herald, berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katholik Malaysia berdasarkan kepada kepentingan negara. - Bernama

H1N1: 12,799 maut sejak Mac 2009

GENEVA: Wabak Influenza A (H1N1) sudah meragut sekurang-kurangnya 12,799 nyawa seluruh dunia, sejak ia pertama kali dikesan di Mexico pada Mac 2009.

Pertubuhan Kesihatan Dunia, berkata data terkini yang disiarkan oleh agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan peningkatan 579 kematian daripada data sebelumnya yang disiarkan sembilan hari lalu.

Negara sekitar Amerika terus mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu, sekurang-kurangnya 6,880 mangsa, manakala eropah mencatatkan 2,554 kematian disebabkan virus itu. - AFP

Friday, January 8, 2010

Pemulihan ekonomi dunia pada 2010 tidak dapat dijamin: WTO

PARIS: Ekonomi dunia dijangka kekal berdepan dengan krisis pada tahun ini, susulan kewujudan “gelembung” yang dibentuk hasil daripada suntikan wang yang besar di mana ia digunakan bagi memastikan sistem kewangan terus beroperasi.

Ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Pascal Lamy, ketika ditemuramah menerusi radio Perancis berhubung kemungkinan ekonomi dunia pulih tahun ini berkata, semua pihak perlu lebih realistik dan unjuran pemulihan tidak dapat dijamin.

“Tidak dapat dinafikan kita sudah berada di peringkat bawah, tetapi kelajuan yang perlu dihadapi tidak jelas.

“Selain kebanjiran wang awam terhadap ekonomi dan sistem kewangan, kita juga turut menghasilkan gelembung yang perlu diserap,” katanya.

Kerajaan di seluruh dunia sudah membelanjakan trilion dolar bagi tempoh 18 bulan lalu, iaitu bagi mengelakkan keruntuhan sistem kewangan dan seterusnya mencari jalan menangani kegawatan.

Pascal turut memberi penekanan terhadap kedinamikan kuasa ekonomi sedang meningkat seperti China, Brazil, India dan Afrika Selatan; dalam mengelakkan daripada terjerumus ke dalam krisis ekonomi lebih buruk.

“Ia adalah lebih dinamik, mudah dilaksanakan, negara kurang berhutang. Ia adalah negara yang dilihat beroperasi lebih baik berbanding ekonomi barat,” katanya. - AFP