Followers

Thursday, January 7, 2010

Doktor swasta tidak perlu bimbang dengan Klinik 1Malaysia: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata doktor swasta tidak perlu bimbang bahawa pendapatan mereka akan terjejas dengan kewujudan klinik 1Malaysia.

Beliau berkata, ia kerana 50 klinik 1Malaysia yang diwujudkan di seluruh negara hanya akan menumpukan kepada pemeriksaan kesihatan yang biasa seperti memeriksa tekanan darah dan kandungan gula.

"Sebenarnya mereka tidak terjejas sebab kes-kes daripada sini akan kita rujuk kepada mereka... umpamanya jika pesakit ada hubungan dengan mana-mana doktor swasta, kita akan rujuk kepada mereka.

"Tetapi ini memudahkan rakyat jelata untuk membuat pemeriksaan biasa seperti paras gula dalam darah, periksa tekanan darah kalau mereka hipertensi... untuk pemeriksaan lebih lanjut, mereka akan pergi ke klinik swasta atau hospital kerajaan.

"Jadi saya tak anggap ini sebagai win-lose situation (keadaan yang memenangkan satu pihak namun merugikan pihak lain) tetapi sebenarnya ia adalah win-win situation (keadaan yang memberi manfaat kepada semua)... rakyat mudah, dan klinik swasta pun akan dapat pelanggan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik 1Malaysia Kerinchi, Lembah Pantai di sini. - Bernama

Kadar penyertaan murid prasekolah akan ditingkatkan: TPM

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran mensasarkan untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak lima peratus kepada 72 peratus tahun ini dengan membabitkan kanak-kanak seawal umur empat tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata langkah itu merupakan tumpuan Kementerian Pelajaran kepada usaha untuk mencapai sasaran awal bagi satu daripada empat sub-Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan, tahun ini.

"Penyertaan kanak-kanak seawal umur empat tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dari awal lagi.

"Perluasan pendidikan prasekolah ke dalam aliran perdana pendidikan akan membolehkan negara kita menepati standard antarabangsa dalam menyediakan pendidikan bagi tempoh 12 tahun bagi setiap murid," katanya pada majlis Perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Tiga sub-NKRA pendidikan yang lain ialah penguasaan 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (LINUS); melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi; dan merangka suatu insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah. - Bernama

PM lancar Klinik 1Malaysia ke-44

KUALA LUMPUR: Sebanyak 44 Klinik 1Malaysia sudah beroperasi di seluruh negara sejak 1 januari lalu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan rancangan kerajaan membangunkan 50 klinik 1Malaysia di seluruh negara sepanjang Januari.

"Sasaran dalam Bajet 2010 dengan peruntukan RM10 juta bagi membangunkan Klinik 1Malaysia tercapai," katanya selepas melancarkan klinik ke-44 di Kerinchi di sini sebentar tadi.

Minyak mentah lonjak harga tertinggi AS$83 setong

NEW YORK: Minyak mentah buat pertama kali dalam masa 14 bulan melonjak harga tertinggi AS$83 setong di New York semalam, sekali gus memberi kekuatan berikutan kelemahan mata wang dollar Amerika Syarikat (AS).

Kontrak hadapan New York bagi minyak 'light sweet crude' bagi pembekalan Februari melonjak AS$1.41 untuk ditutup kepada AS$83.18 setong.

Kali terakhir paras harga minyak tertinggi di Amerika Syarikat pada 9 Oktober 2008 lalu di paras AS$83.52 setong.

Pasaran hadapan London Brent North Sea bagi Februari juga menunjukkan lonjakan semalam, iaitu menokok AS$1.30 untuk ditutup AS$81.89 setong. - AFP