Followers

Wednesday, January 6, 2010

Kalimah Allah: Mahkamah Tinggi benar penangguhan pelaksanaan keputusan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Menteri Dalam Negeri untuk penangguhan pelaksanaan keputusan benarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Hakim Datuk Lau Bee Lan membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan yang dikemukakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang mewakili Menteri Dalam Negeri.

Permohonan penangguhan dibuat bagi membolehkan keputusan mahkamah 31 Disember lalu berhubung penggunaan kalimah Allah itu ditangguhkan sehingga kes rayuan selesai didengar di Mahkamah Rayuan.

MB terkejut, simpati kematian empat beranak

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melahirkan rasa rasa simpati dan dukacita kepada keluarga yang kehilangan empat anggotanya akibat dibunuh di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Tampin, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan, berkata kejadian itu adalah suatu yang amat mengejutkan dan berharap siasatan dapat diselesaikan segera oleh pihak polis.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri amat bersimpati dan kita berdoa semua arwah berada di kalangan orang yang soleh," katanya kepada pemberita ketika meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama beberapa anggota keluarga berkenaan di bilik mayat Hospital Tuanku Jaafar di sini malam tadi.

Mayat keempat-empat mangsa pembunuhan ngeri itu dibawa dengan sebuah trak polis lewat malam tadi untuk dibedah siasat.

Turut berada di situ ialah Ketua Polis Negeri Datuk Osman Salleh dan Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin.

Dalam kejadian itu, empat orang yang terdiri daripada sepasang warga emas, Atan Daud, 90 dan isterinya Sutiah Katas, 80, menantu mereka, Ismail Awang, 76, dan cucu Siti Khadijah Ismail, 22, ditemui mati berlumuran darah di dua buah rumah yang terletak bersebelahan di kampung berkenaan.

Polis dilaporkan sedang mencari seorang anggota keluarga itu bagi membantu siasatan. - Bernama

MB mahu kes bunuh empat sekeluarga selesai segera

SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu kes pembunuhan kejam empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh semalam diselesaikan segera.

Menurut beliau, tragedi itu adalah yang terburuk berlaku pada awal tahun ini dan beliau mahu individu-individu yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan. – UTUSAN

Tuesday, January 5, 2010

Polis temui motosikal dinaiki cucu bekas imam yang mati dibunuh

TAMPIN: Polis menemui motosikal yang dinaiki cucu bekas imam yang mati dibunuh bersama tiga ahli keluarga lain, ditinggalkan berhampiran Perhentian Bas Tampin pada jam 3 pagi tadi.

Cucu bekas imam itu, Rashidi Ismail, 34, dicari polis bagi membantu siasatan pembunuhan datuk, nenek, bapa dan adiknya di dua rumah di Kampung Batang Rokan, Gemencheh dekat sini, semalam.

Mayat mangsa, Atan Daud, 90, yang juga bekas imam masjid kampung berkenaan serta isterinya, Sofiah Keatas, 80, menantu pasangan warga emas itu, Ismail Awang, 76, dan anak Ismail, Siti Khadijah Ismail, 22, ditemui mati dalam keadaan negeri.

Terdapat kesan tetakan dan tikaman pada semua mangsa dengan pisau tercacak pada dada Siti Khadijah, manakala Atan putus tangan kiri, Sofiah putus tangan kanan dan Ismail pula putus kepala.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata empat beranak itu dipercayai dibunuh kira-kira jam 10 pagi, tetapi kejadian berkenaan hanya disedari selepas seorang lagi anak Ismail, Siti Mariam, 18, pulang dari sekolah pada jam 3.30 petang.