Followers

Sunday, January 3, 2010

Kalimah Allah dikhuatiri pendakwah agama bagi tujuan tersirat: Ahmad Zahid

BAGAN DATOH: Penggunaan kalimah "Allah" dikhuatiri digunakan oleh pendakwah agama bukan Islam yang mahu mengelirukan umat Islam dengan tujuan tersirat mereka, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan gereja Katolik menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya telah menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

"Sebagai sebuah negara yang majmuk, mempunyai pelbagai agama, harus elakkan perkara sensitif ditimbulkan di mana-mana platform perundangan," katanya selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada pelajar miskin di kawasan Parlimen Bagan Datoh di sini, hari ini.

Dr Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lalu yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan "Allah".

Pada 16 Februari lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Dr Ahmad Zahid berkata, umat Islam di negara ini amat menghormati kedudukan agama lain dan tidak mahu ada pihak mencampuri urusan agama Islam.

Katanya, sebelum ini, Majlis Fatwa Kebangsaan sudah menetapkan dengan jelas bahawa perkataan "Allah" adalah khusus untuk orang Islam kerana ia adalah perkataan khas sementara "Tuhan" adalah nama Am.

"Kalau selama ini tidak ada penulisan yang menggunakan perkataan "Allah" (bagi agama bukan Islam) mengapa pula akhbar mingguan “Herald-The Catholic Weekly” terlalu ghairah hendak menggunakan perkataan "Allah".

"Dalam Perlembagaan Persekutuan menetapkan agama Islam adalah agama rasmi sementara agama lain boleh diamalkan di Malaysia tetapi tidak boleh disebarkan di kalangan orang Islam," katanya.

Beliau dengan itu menggesa semua tokoh ulama, pertubuhan bukan kerajaan dan seluruh umat Islam bersatu dalam hal membabitkan kesucian agama Islam.

Di KOTA BHARU, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Raja-Raja menyelesaikan segera isu pertikaian penggunaan kalimah Allah supaya tidak berlanjutan.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, jika tidak diselesaikan segera ia bakal mengundang masalah kepada negara yang dikhuatiri boleh menjejaskan keamanan.

"Dalam soal ini KDN perlu memfailkan segera rayuan bagi menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini manakala Majlis Raja-Raja boleh memutuskan siapa yang berhak menggunakan kalimah suci ini.

"Ini kerana Majlis Raja-Raja dianggotai semua ketua-ketua agama Islam di negeri masing-masing," katanya. - Bernama

Majlis Raja-Raja diminta campur tangan bagi pelihara kesucian kalimah Allah

CHANGLUN: Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum meminta Majlis Raja-Raja, Majlis Fatwa Kebangsaan serta Majlis Agama Islam Negeri campur tangan bagi memelihara kesucian kalimah Allah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan ia bukan hak eksklusif agama Islam.

Beliau yang pernah terbabit dalam pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam isu membabitkan permit akhbar Herald-The Catholic Weekly ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) pada 2007 berpendapat, isu itu tidak sepatutnya di bangkitkan semula kerana ia sensitif dan boleh mengundang kemarahan umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berharap campur tangan pihak berkenaan segera dilakukan kerana ia mampu meredakan situasi yang disifatkan boleh meletus pada bila-bila masa.

"Ketika saya membuat keputusan membatalkan permit akhbar itu sebelum ini saya mengambil kira keputusan Kabinet pada 1986 yang menetapkan empat istilah iaitu Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat diharamkan dalam penerbitan atau digunakan agama lain.

"Ia jelas dan keputusan itu dibuat berdasarkan kepentingan untuk menjaga keamanan serta perpaduan negara yang selama ini tidak pernah menghalang mana-mana agama di negara ini mengamalkan ajaran mereka.

"Kita hidup harmoni dan bebas mengamalkan ajaran masing-masing selama ini sambil menerima Islam sebagai agama rasmi negara ini, jadi mengapa perlu isu ini ditimbulkan lagi...cukuplah," katanya selepas melancarkan program kembali ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Kemara di sini, hari ini.

Selain SK Datuk Wan Kemara program itu turut membabitkan SK Malau dan SK Jitra Tiga yang terletak di Parlimen Kubang Pasu.

Dalam program anjuran bersama Biro Pendidikan Umno Kubang Pasu dan Persatuan Pendidikan Cemerlang Negeri Kedah (Cerdik) itu seramai 500 murid dari tiga SK terbabit menerima pelbagai kelengkapan untuk menempuh alam persekolahan.

Sementara itu, Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, keadaan yang berlaku ketika ini adalah berikutan sikap ambil ringan pihak berkaitan mengenai pentingnya tindakan awal diambil supaya ia tidak dibangkitkan lagi.

"Ketika KKDN membatalkan permit akhbar berikutan penggunaan kalimah Allah dulu sepatutnya badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkaitan bangkit menyatakan sokongan serta mengambil tindakan susulan bagi memastikan ia tidak berbangkit lagi.

"Sekarang ini ia dibangkitkan kembali walaupun ia tidak sepatutnya dilakukan. Jadi saya rasa campur tangan pihak berkenaan adalah penting bagi menjamin kesucian Islam terus terpelihara," katanya.

Kem latihan PLKN baru perlu keluasan 12 hektar

KOTA BHARU: Setiap kem latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dibina selepas 2007 perlu mempunyai keluasan minima 12 hektar bagi membolehkan pelatih mengikuti program dengan selesa dan selamat.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata peraturan itu bagi menyediakan ruang selesa untuk pelatih mengikuti pelbagai modul dan aktiviti sepanjang program itu.

“Bagaimanapun, kem latihan yang dibina sebelum 2007 perlu mempunyai keluasan minima lapan hektar,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelepasan Kumpulan Pertama siri 7/2010 peserta PLKN di sini hari ini.

Pada majlis itu, 712 peserta dihantar ke beberapa kem di Kelantan dan Pahang dengan menaiki 17 bas bagi mengikuti latihan selama tiga bulan itu.

Ketika berucap pada majlis itu, Abdul Hadi berkata, kira-kira 80 peratus daripada 38,000 pelajar yang dipilih untuk mengikuti PLKN telah mendaftar diri semalam.

"Selebihnya mungkin mendapat penangguhan seperti mengikuti pengajian atau akan mengikuti latihan itu pada musim akan datang," katanya. - Bernama

Golongan berpendapatan rendah rayu kerajaan kaji semula harga gula

KEMAMAN: Kerajaan diminta mengkaji semula harga gula yang dinaikkan sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Pengumuman yang dibuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu, disambut dengan perasaan terkejut pengguna dan peniaga yang rata-ratanya menganggap langkah itu akan menimbulkan banyak kesan negatif.

Kebanyakan pengguna dan peniaga di negeri ini yang ditemui menganggap kadar kenaikan 20 sen itu adalah terlalu tinggi terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

Bagi Zahari Awang, 39, seorang nelayan di Pantai Kemasik, di sini, kenaikan harga gula akan menambah lagi beban sedia ada dalam menyediakan keperluan harian kepada keluarga.

"Mungkin bagi sesetengah orang, jumlah 20 sen itu tak beri kesan apa-apa, tetapi dengan hanya bekerja sebagai nelayan, pendapatan saya tidak seberapa.

"Sebelum ini kalau kami anak beranak nak makan kuih, isteri saya terpaksa buat sendiri untuk jimatkan kos, kalau beli kuih di kedai, sekarang ini empat keping RM1, memang tak cukup untuk anak-anak yang seramai enam orang. Lepas ini tentu harga kuih pun naik lagi sebab harga gula sudah naik," katanya.

Justeru, beliau meminta kerajaan mengkaji semula keputusan berkenaan atau sekurang-kurangnya tidak menaikkan harga bahan asas itu sehingga 20 sen sekilogram.

Seorang peniaga kedai runcit di pekan Paka, Mohd Hanafi Yusof 45, pula menjangkakan harga barangan lain terutama makanan dan minuman yang berkait secara langsung dengan gula, akan turut naik.

"Kalau harga gula naik, semua barang lain juga akan naik. Kedai-kedai makan, warung juga akan naikkan harga pada bila-bila masa kerana kuih dan air naik kerana gula keperluan asas, itu yang berlaku sebelum ini," katanya.

Pengusaha restoran, Zuraidah Abdullah, 30, berkata beliau terkejut dengan kenaikan harga yang disifatkan mendadak dan terlalu tinggi.

"Biasanya harga untuk 24 kampit gula satu kilogram setiap sekampit hanya RM34 namun kini harganya sudah naik kepada RM39. Bagi saya harganya naik tinggi sangat," katanya.

Katanya, setakat ini, beliau tidak berhasrat untuk menaikkan harga makanan di restorannya namun langkah itu mungkin terpaksa diambil berikutan peningkatan kos yang terpaksa ditanggungnya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Pengguna Terengganu, Othman Abdullah, berkata kenaikan harga 20 sen sekilogram itu disifatkan agak tinggi.

"Kita tidak nafikan keperluan kerajaan untuk menaikkan harga bahan itu. Tetapi kalau boleh, kurangkan sedikit, jangan sampai 20 sen kerana dalam keadaan sekarang ia begitu tinggi," katanya dan menurutnya keadaan itu akan memberi kesan kepada orang ramai terutama penduduk miskin yang tinggal di kampung-kampung.

Kenaikan harga sebanyak 20 sen itu menjadikan harga bahan berkenaan naik kepada RM1.65 sekilogram di Semenanjung dan RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak.

KPDNKK bagaimanapun menegaskan kerajaan masih menanggung kos subsidi gula yang besar sebanyak RM1.008 bilion walaupun selepas harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Mohd Zain Mohd Dom, ketika mengumumkan perkara itu berkata, kenaikan harga gula tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga gula mentah dunia terutama sejak Ogos lalu. - Bernama