Followers

Sunday, January 3, 2010

Gunung berapi paling aktif di Colombia meletus

BOGOTA: Pihak berkuasa Colombia berkata, gunung berapi Galeras di tenggara Colombia meletus,tetapi tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan sehingga kini.

Pengarah Bantuan Kebangsaan Palang Merah, Carlos IVan Marquez, berkata pihak berkuasa mungkin sudah mengeluarkan 8,000 mangsa sebagai langkah berjaga-jaga selepas gunung berapi berkenaan meletus pada jam 7.43 petang Sabtu (waktu Colombia).

Gunung Galeras setinggi 14,110 kaki adalah paling aktif di negara itu dan terletak 10 kilometer dari Pasto, iaitu ibu kota yang diduduki 500,000 penduduk.

Ia juga terletak berdekatan sempadan Ecuador. - AP

Ahli Parlimen Afghanistan tolak calon kabinet Hamid Karzai

KABUL: Ahli Parlimen Afghanistan menolak hampir kesemua calon bagi kabinet baru yang dicadangkan presiden negara itu, Hamid Karzai, termasuk seorang wanita dan ketua puak.

Hanya tujuh daripada 24 calon diluluskan oleh lebih 200 penggubal undang-undang dalam pembuangan undi secara rahsia yang diadakan semalam.

Ia menyebabkan Afghanistan berdepan dengan ketidakstabilan politik baru, iaitu hanya beberapa minggu berlangsungnya persidangan antarabangsa.

"Daripada 24 calon yang diketengahkan di parlimen, hanya tujuh berjaya mendapatkan undi," kata Speaker parlimen, Mohammad Yunus Qanoni, selepas pengiraan berakhir.

Senarai kabinet Karzai dilihat barat sebagai ujian terhadap komitmennya dalam membina negara yang bersih dan boleh dipercayai dalam memerangi rasuah yang menyelubungi negara itu serta membanteras penentangan daripada Taliban. - AFP

2010 ada signifikan pelaksanaan FTA: Mukhriz

KUALA LUMPUR: Bagi 2010 ia mempunyai satu signifikan besar kepada pelbagai pihak dengan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan diharapkan pengeksport Malaysia akan mengambil kesempatan penuh peluang yang ditawarkan oleh pelbagai perjanjian berkenaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Muhkriz Mahathir.

Katanya, Malaysia mendapat manfaat daripada liberalisasi perdagangan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dan banyak peraturan dua hala.

Pada 2008, jumlah dagangan keseluruhan Malaysia adalah 160.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Sambil kita mencatatkan eksport yang lebih rendah pada 2009," Mukhriz berkata, Malaysia sudah mencatatkan peningkatan dari segi prestasi eksport sejak beberapa bulan lalu.

"Bagi meningkatkan lagi eksport walau pun berdepan keadaan luar yang mencabar, pengeksport Malaysia digalakkan menggunakan sepenuhnya pelbagai FTA yang telah ditandatangani kerajaan," katanya.

"Ini termasuk AFTA, FTA serantau seperti Asean-China, Asean-Korea, Asean-Jepun, yang dikuatkuasakan dan Asean-India serta Asean-Australia/New Zealand, yang berkuat kuasa 1 Januari tahun ini," katanya.

Mukhriz mendedahkan bahawa Malaysia telah juga memuktamadkan FTA dua hala dengan Jepun, Pakistan dan New Zealand.

Katanya, banyak pengeksport Malaysia mendapat manfaat daripada FTA dengan Jepun dan Pakistan.

"Perjanjian dengan New Zealand akan berkuat kuasa pada 2010. Perundingan sedang dilakukan dengan aktif untuk memuktamadkan perjanjian dua hala dengan India, Chile dan Australia," katanya.

Menurut Muhkriz, FTA berkenaan bukan saja membuka peluang pasaran baru bagi produk Malaysia, "malah, ia menjadikan harga produk kita kompetitif berikutan layanan duti keutamaan yang ditawarkan oleh rakan perdagangan kita."

Secara bersama, FTA yang dimuktamadkan meliputi 60 peratus daripada perdagangan global Malaysia dan akhirnya menyediakan pasaran bebas duti kepada lebih 3.2 bilion penduduk.

Perjanjian Afta, sebagai contoh, katanya menawarkan layanan bagi hampir keseluruhan produk.

"China dan enam anggota awal Asean akan memberikan layanan bebas duti ke atas 90 peratus produk.

"Bilangan persijilan tempasal (COO) yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada pengeksport kita di bawah skim keutamaan FTA telah meningkat 13.0 peratus kepada 222,476 pada 2008 daripada 196,856 pada 2007.

"Ketika separuh pertama 2009, sambil eksport keseluruhan ke pasaran rakan FTA telah merosot berbanding dengan tempoh yang sama 2008, berlaku peningkatan di dalam agihan eksport yang menggunakan skim keutamaan di bawah FTA," kata Mukhriz.

Mulai Januari hingga Jun 2009, beliau mendedahkan bahawa eksport yang menggunakan kadar keutamaan di bawah AFTA berjumlah RM10.61 bilion berbanding dengan tempoh yang sama 2008 manakala eksport ke Korea dicatatkan RM9.98 bilion berbanding dengan RM6.6 bilion.

Mukhriz turut menyatakan bahawa Miti akan meningkatkan program capaiannya kepada syarikat Malaysia untuk mewujudkan kesedaran lebih tinggi peluang yang besar yang dihasilkan oleh FTA berkenaan.

Katanya, banyak perbincangan dan program bersama dengan pelbagai Dewan Perniagaan dan persatuan perdagangan yang lain dijangka membantu pengeksport Malaysia kekal berdaya saing di tengah-tengah persekitaran pasaran asing yang mencabar. - Bernama

JPM akan kemuka rayuan berhubung kalimah Allah

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan perkataan "Allah" di Mahkamah Rayuan bagi tindakan dan pembelaan sewajarnya demi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara.

Justeru itu, Menteri di JPM, Datuk Jamil Khir Baharom meminta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam di negara ini supaya bertenang dan menghormati keputusan mahkamah serta memberi peluang perkara itu diselesaikan melalui proses perundangan.

"Dalam hal ini, saya akan mengambil langkah untuk mengadakan pertemuan dengan pihak NGO dalam masa terdekat bagi mendengar pandangan mereka dan membincangkan perkara ini selanjutnya, " katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lalu yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly menggunakan perkataan "Allah".

Pada 16 Febuari tahun lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Jamil Khir juga berkata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 mencapai keputusan bersetuju bahawa lafaz "Allah" adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

Kandungan itu berbunyi: "Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

"Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya. - Bernama