Followers

Saturday, December 26, 2009

Insiden pesawat AS 'cubaan tindakan keganasan'

WASHINGTON: Insiden di atas pesawat Amerika Syarikat semalam membabitkan seorang penumpang cuba menyalakan bahan letupan adalah "cubaan tindakan keganasan".

Ahli Dewan Perwakilan AS, Peter King, berkata penumpang warga Nigeria berusia 23 tahun itu mempunyai kaitan dengan kegiatan keganasan.

Beliau berkata, lelaki berkenaan cuba menyalakan "peranti yang agak canggih" di atas Penerbangan 253 Northwest Airlines yang membawa 278 penumpang dari Amsterdam.

"Ia boleh menjadi satu bencana," kata King, iaitu ahli perwakilan paling kanan dalam Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Dewan Perwakilan AS.

Rumah Putih menyatakan Presiden Barack Obama dimaklumkan mengenai insiden berkenaan dan mengadakan persidangan menerusi telefon dengan pasukan keselamatan.

"Beliau mengarahkan semua langkah sesuai diambil bagi meningkatkan keselamatan perjalanan udara," kata Rumah Putih dalam satu kenyataan. - AFP

Penyelidik Malaysia laksanakan kajian pertama pembiakan penyu

SANDAKAN: Unit Penyelidikan Penyu Laut (Seatru), Universiti Malaysia Terengganu, melaksanakan kajiselidik yang pertama di negara ini bagi menentukan bilangan penyu di kawasan pembiakan di Taman Marin Tun Sakaran dan Pulau Sipadan, Semporna.

Penyelidikan yang diketuai Dr Juanita Joseph membabitkan sekumpulan penyelidik bermula 29 Septembr hingga 12 Oktober lalu.

Dr Juanita berkata, sampel 69 penyu Hijau dan sembilan penyu Hawksbill dibawa bagi tujuan itu, di mana kesemuanya ditandakan sebelum dilepaskan.

"Penandaan itu dilakukan di tapak pembiakan bagi tujuan pemerhatian dan pemantauan jangka panjang," katanya.

Beliau berkata, penyelidikan sama pernah dilakukan di Australia dan Amerika Syarikat.

Katanya, ia penting bagi tujuan pemuliharaan spesis penyu, di samping mengenal pasti tapak pembiakan yang diancam kegiatan perikanan.

Dr Juanita berkata, keputusan kajiselidik itu akan dibentangkan dalam kertas kerja sebagai strategi mengetengahkan penangkapan penyu secara haram di perairan Malaysia dan rantau Indo-Pasifik. - Bernama

Pengacara program realiti antara ditahan di kelab malam pagi tadi

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon lelaki berusia 28 tahun yang juga pengacara bersama program realiti tarian popular adalah antara 21 individu yang ditahan dalam operasi polis di sebuah kelab malam di Bukit Bintang, di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pelakon itu dibebaskan selepas ujian air kencing mendapati beliau bebas daripada dadah.

3 maut dalam nahas di Tawau

TAWAU: Tiga termasuk dua pejalan kaki warga Indonesia, maut dalam kemalangan jalan raya berasingan di daerah ini semalam.

Dalam kejadian pertama, seorang kanak-kanak berumur lima tahun terbunuh selepas tercampak keluar apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapanya terbabas di KM16, Jalan Kalabakan-Keningau kira-kira 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin, berkata kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Ahmad Fauzi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

"Lima lagi anggota keluarga itu termasuk ibu kanak-kanak itu dan bapanya yang juga seorang guru selamat dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian kedua, seorang lelaki warga Indonesia maut selepas dilanggar sebuah lori ketika lelaki itu melintas jalan di simpang Kampung Ranggu, Batu 8, Jalan Apas.

"Nahas berlaku kira-kira 6.30 petang apabila lelaki itu yang dikenali sebagai Ali Muhamad, 40, dikatakan melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan lori itu gagal mengelak kerana jaraknya terlalu dekat," katanya.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, seorang lagi warga Indonesia turut maut akibat dilanggar sebuah kereta di simpang Kampung Muhibbah, Jalan Kuhara kira-kira pukul 7.30 malam.

Katanya, lelaki itu yang dikenali sebagai Abdul Aziz Semmah, 59, dikatakan tiba-tiba berlari melintas jalan dan dilanggar kereta itu yang tidak sempat berhenti. - Bernama