Followers

Tuesday, December 15, 2009

Tiga politeknik akan dinaik taraf

PUTRAJAYA: Tiga politeknik akan dinaik taraf mulai tahun depan bagi membolehkan politeknik berkenaan menyediakan kursus diploma lanjutan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ia juga adalah satu pendekatan awal sebelum politeknik itu dinaik taraf menjadi universiti.

"Kalau kita lihat di luar negara sudah ada politeknik diikhtiraf dan menyediakan kursus di peringkat lebih tinggi daripada diploma.

"Ini memandangkan sistem politeknik penting untuk meningkatkan sektor teknikal dan vokasional di negara ini.

"Kementerian juga tidak mahu pendidikan di politeknik hanya tersekat sehingga di tahap diploma sahaja malah politeknik juga akan dijadikan sebagai pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan kementerian di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata senarai tiga politeknik yang terpilih daripada 27 politeknik yang sedia ada itu akan diumumkan awal tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu menyediakan insuran berkelompok sebagai langkah melindungi keselamatan para pelajar.

"Perkara itu dianggap wajar walaupun setakat ini kementerian tidak berhasrat untuk menjadikan ia satu perkara wajib. Tetapi dengan adanya insuran ia serba sedikit dapat membantu keluarga pelajar yang dilanda musibah," katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan sumbangan wang insuran daripada Kolej Universiti Kesihatan Materskill kepada keluarga dua pelajar kolej itu, Siti Nuramira Shamsudin dan Siti Nurdiana Azman yang terkorban dalam tragedi di Kompleks beli-belah Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Turut menerima sumbangan seorang lagi pelajar Mazlizatul Akmar Muhammad, 23, yang terbunuh dalam satu kemalangan di Kilometer 39 Jalan Kuantan-Kemaman, Pahang pada November lalu.

Pada majlis sama beliau turut menyampaikan sumbangan kementerian berjumlah RM184,000 kepada pelajar yang terbabit dalam kejadian gempa bumi di Padang, Indonesia. - Bernama

Bangunan Sultan Suleiman diisytihar warisan kebangsaan

KLANG: Bangunan Sultan Suleiman di sini mencatat sejarahnya tersendiri apabila menjadi bangunan warisan sejarah pertama di Selangor diisytihar sebagai warisan kebangsaan.

Majlis pengisytiharan itu disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di pekarangan bangunan itu di sini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie, berkata bangunan yang diberi pengiktirafan berprestij itu, adalah sebuah bangunan tersohor di samping mempunyai identiti dan sejarahnya tersendiri.

Beliau berkata Bangunan Sultan Suleiman mempunyai gaya seni bina yang memaparkan sentuhan neo klasik lampau yang menggambarkan fungsinya yang praktikal untuk pentadbiran, di samping mempunyai nilai estatik yang dipadankan melalui strukturnya.

"Kriteria warisan tersebut menjadi semakin penting apabila digandingkan dengan memori sejarah kegunaan bangunan ini. Kepentingannya sebagai bangunan pentadbiran telah dapat dibuktikan, maka sewajarlah bangunan ini merupakan kebanggaan yang harus dilindungi, dipelihara dan dipulihara," katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Datin Paduka Prof Emeritus Zuraina Majid.

Bangunan Sultan Suleiman yang kini menempatkan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dibina pada 1909 semasa pemerintahan Sultan Selangor ketika itu, Almarhum Sultan Sir Ala''eddin Suleiman Shah.

Nama bangunan itu kemudian diisytihar oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 22 Febuari 1989.

Ikon bersejarah ini telah melalui banyak perubahan besar yang bersesuaian dengan zamannya, antara yang terawal ialah, bangunan ini dijadikan sebagai sebuah Istana Hinggap bagi Sultan Suleiman.

Ia juga berfungsi sebagai Bangunan Pejabat Lembaga Bandaran Klang, Pejabat Agama Islam Daerah, Mahkamah Rendah/Tinggi Syariah Daerah Klang, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor dan cawangan Majlis Perbandaran Klang.

Bangunan itu juga pernah dijadikan Markas Pemerintah Tentera Jepun bermula 1941.

Prof Zuraina pula berkata sehingga ini, sebanyak 21 warisan sejarah di Selangor sedang dalam proses diisytihar sebagai warisan.

Kini terdapat 26 bangunan dan monumen warisan kebangsaan di negara ini. - Bernama

Monday, December 14, 2009

Malaysia jumpa Vietnam final bola sepak Sukan Sea

KUALA LUMPUR: Malaysia mara ke perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea apabila menewaskan Laos di Vientiane, sebentar tadi.

Skuad negara akan bertemu Vietnam yang terdahulu membelasah Singapura 4-1 untuk penentuan pingat emas.

Mun Yee-Yan Yee raih emas terakhir terjun

VIENTIANE: Pasangan Leong Mun Yen dan Ng Yan Yee meraih pingat emas terakhir Malaysia di Kolam Renang, Kompleks Sukan Nasional melalui acara 3m papan anjal seirama di sini, hari ini.

Ia adalah penampilan kedua gandingan mereka dalam mana-mana kejohanan terjun selepas meraih pingat gangsa di Kejohanan Asia di Foshan, China, bulan lalu.

Bagi Yan Yee, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Sukan Bukit Jalil, kejayaan meraih pingat emas sulungnya pada penampilan pertama di Sukan SEA memberi semangat kepadanya untuk terus berjaya dalam sukan ini.

"Pada asalnya saya seorang atlet gimrama dan bakat saya telah dikesan oleh jurulatih (Yang Zhuliang) untuk menyertai acara terjun. Menurutnya saya mempunyai fizikal yang sesuai untuk acara terjun.

"Masa mula-mula sertai acara terjun ini, saya langsung tidak tahu berenang tapi lama-kelamaan saya sudah dapat memahirkan diri. Selepas tiga tahun bersama skuad terjun elit negara, saya sudah dapat lihat potensi saya dalam sukan ini," katanya. - Bernama