Followers

Thursday, December 10, 2009

MOL ambil alih Friendster

KUALA LUMPUR: Penyedia rumusan pembayaran secara online Malaysia, MOL AccessPortal Bhd, menerusi syarikat bersekutunya dengan Friendster Inc, MOL Global Pte Ltd, akan mengambil alih 100 peratus Frienster.

Ketua Eksekutif MOL AccessPortal, Ganesh Kumar Bangah, berkata pengambilalihan itu dijangka berakhir menjelang akhir tahun ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai nilai pelaburan yang terbabit untuk pengambilalihan itu.

Berikutan itu, Ketua Eksekutif Friendster, Richard Kimber, akan dilantik menjadi pengerusi bukan eksekutif, sementara Ganesh akan menjadi Ketua Eksekutif Kumpulan.

Kementerian kaji aktiviti elak pelajar ponteng

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang mengkaji aktiviti yang sesuai dijalankan di sekolah untuk murid dan pelajar selepas tamat menduduki peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi mengelak mereka ponteng sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata langkah ini perlu dilaksanakan untuk mengatasi gejala ponteng sekolah khususnya di kalangan mereka yang selesai menduduki peperiksaan itu.

"Antara faktor ponteng ialah apabila selesai peperiksaan (mereka) kena ada di sekolah, ini menyebabkan para pelajar bosan kerana tiada apa nak belajar... jadi mereka ponteng," katanya menjawab soalan tambahan Senator Zamri Yusof pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian juga melaksanakan Program Piawaian Keselamatan Sekolah yang memberi tumpuan kepada lima aspek termasuk pengurusan aktiviti murid, pengurusan keselamatan dalam menangani gejala sosial dan pengurusan keselamatan dalam menghadapi krisis dan bencana.

"Dengan adanya program ini, kita harap dapat mengenali apakah aktiviti sesuai kepada pelajar yang sedang tunggu keputusan peperiksaan tetapi diwajibkan berada di sekolah.

"Mungkin akan diadakan program motivasi, perkhemahan atau yang melibatkan aktiviti berkumpulan dan pertandingan. Ini akan mengelak murid bosan dan guru pun tidak bosan kerana tiada apa yang perlu diajar," katanya.

Ketika menjawab soalan asal Senator Wan Ramlah Wan Ahmad mengenai kajian terperinci untuk mengetahui punca kegiatan ponteng sekolah yang masih berlaku walaupun pelbagai program diperkenalkan, Mohd Puad berkata kementerian bersetuju agar pendekatan secara holistik digunakan dengan membabitkan pelbagai pihak termasuk ibu bapa.

"Ini disebabkan faktor yang mempengaruhi salah laku itu adalah pelbagai dan tidak hanya berpunca daripada sekolah sahaja," katanya. - Bernama

RM30.2 juta untuk hantar pulang Pati

KUALA LUMPUR: Kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM30.2 juta untuk menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara asal mereka bagi tempoh 2007 hingga 2009, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata jumlah itu digunakan untuk menampung kos pengusiran seramai 154,729 orang Pati.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga terpaksa membelanjakan kos sebanyak RM30 sehari bagi seorang Pati yang ditahan di Depot Imigresen.

"Kos-kos yang terpaksa ditanggung kerajaan adalah meliputi kos harian dan kos rawatan sahaja. Kos ini tidak termasuk kos perubatan.

"Manakala, kos bagi urusan pengusiran Pati ke negara asing iaitu udara, laut dan darat pula adalah di bawah tanggungjawab kerajaan," katanya ketika menjawab soalan Mohsin Fadzli Samsuri (PKR-Bagan Serai) di Parlimen di sini mengenai kos pengendalian Pati yang ditahan dan siapa yang menanggung kos pengembalian ke negara asal mereka.

Mohsin Fadzli juga mahu tahu bilangan Pati yang telah ditahan untuk tahun 2006-2008 mengikut pusat-pusat tahanan dan tempoh seseorang itu ditahan.

Abu Seman berkata, jumlah keseluruhan bilangan Pati yang ditahan di Depot Imigresen seluruh negara bagi tempoh tersebut ialah seramai 248,939 orang.

Beliau berkata, sebelum seseorang Pati itu dihukum dan kemudian diusir ke negara asal, mereka akan ditahan di Depot Tahanan Sementara.

Katanya, Pati yang ditahan adalah tertakluk kepada urusan pemeriksaan, identifikasi, siasatan dan dakwaan oleh pegawai-pegawai imigresen.

"Setelah Pati tersebut disiasat dan dikenakan hukuman (dipenjarakan atau dikompaun atau kedua-duanya sekali), Pati berkaitan kemudiannya akan diusir ke negara asal mereka," katanya.

Selain itu, beliau berkata tempoh penahanan seseorang Pati ditahan turut bergantung kepada beberapa faktor lain seperti dokumen perjalanan Pati, tiket kapal terbang dan pengesahan oleh pihak kedutaan. - Bernama

Gempa sederhana landa Medan, Indonesia

JAKARTA: Gempa sederhana berukuran 5.9 Richter melanda Pulau Simeulue, dekat Medan, Sumatera awal pagi tadi tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa berlaku jam 4.29 pagi waktu tempatan (2129 GMT ), di 310 kilometer (km) di barat daya Medan.

Sehingga ini, tiada kerosakan atau kehilangan nyawa dilaporkan akibat gempa itu. - AFP