Followers

Sunday, December 6, 2009

MTUC mohon kerajaan isytihar pengampunan bagi pekerja asing

PELABUHAN KLANG: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini memohon kerajaan untuk mengisytiharkan pengampunan bagi membolehkan sejumlah 2.1 pekerja asing tanpa izin meninggalkan negara ini.

Naib Presidennya, A Balasubramaniam, berkata langkah itu kaedah terbaik bagi mengurangkan bilangan pekerja asing di negara ini.

Beliau berkata program pengampunan terakhir pada 1 Julai 2004 hingga Februari 2005 amat berjaya dengan 230,000 pekerja tanpa izin pulang ke negara masing-masing secara sukarela.

Beliau berkata, MTUC menerima ratusan permohonan daripada pekerja seumpamanya terutama mereka yang tempoh visa telah tamat dan berhasrat pulang ke negara asal mereka.

Katanya, kos untuk mendapatkan dokumen berkenaan agak tinggi dan pekerja berkenaan tidak mampu.

"Pekerja perlu membayar sejumlah RM2,000 untuk mendapat dokumen berkenaan, meliputi denda RM300 kerana tinggal melebihi tempoh, RM600 untuk tiket penerbangan dan RM1,100 bagi pemprosesan permohonan menerusi agen khusus.

"Di bawah program pengampunan, pekerja tidak perlu membayar apa-apa kerana kos penghantaran balik akan ditanggung oleh kerajaan negara asal mereka," katanya.

Balasubramaniam berkata program pengampunan akan memberi manfaat kepada negara kerana ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan, mengurangkan jumlah depoh tahanan, penempatan semula pegawai penguatkuasa, risiko lebih rendah penularan penyakit berjangkit dan membantu pekerja asing daripada dieksploitasi majikan tidak bertanggungjawab.

"Selain itu, Malaysia juga memperoleh jalinan hubungan muhibbah persatuan pekerja di kedua-dua negara ini dan negara asal pekerja," katanya. - Bernama

Banjir di Terengganu semakin reda

KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di seluruh Terengganu secara keseluruhannya semakin reda dengan jumlah mangsa berada di pusat pemindahan berkurangan kepada 829 orang pagi ini berbanding 1,077 malam tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, keadaan di Hulu Terengganu dan Marang baik dengan jumlah mangsa kini 14 dan 21 orang.

Beliau berkata Kemaman yang paling teruk dilanda banjir gelombang ketiga menunjukkan keadaan semakin reda dengan jumlah mangsa masih berada di pusat pemindahan kini 475 orang.

"Jumlah mangsa di pusat pemindahan di Kuala Terengganu dan Dungun berkurangan iaitu masing-masing 190 dan 120 orang," katanya hari ini.

Semua jalan utama termasuk Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu boleh dilalui semua kenderaan tetapi terdapat beberapa jalan negeri ditutup iaitu Hulu Terengganu (tiga), Dungun (dua) dan Kemaman (dua).

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan paras air sungai di sungai utama di Terengganu berada di bawah paras biasa pagi ini.

Di KUANTAN, mangsa banjir di empat daerah di Pahang meningkat kepada 1,803 orang pagi ini berbanding 346 orang semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir negeri berkata, Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi mangsa dipindahkan ke 10 pusat pemindahan iaitu 1,639 orang.

Katanya pusat pemindahan terbaru di Sekolah Kebangsaan Agama Rakyat As-Sidik di Taman Tas Jaya dibuka jam 4 pagi tadi.

Di Pekan, seramai 26 orang daripada lima keluarga berada di pusat pemindahan di Balai Raya Padang Rumbia dan dewan serbaguna Kelab Rendang yang dibuka malam tadi.

Jurucakap itu berkata, mangsa banjir di daerah Maran kini tinggal tujuh sekeluarga dari Kampung Baru Sungai Chedong yang masih berada di Dewan Perpaduan Teladas kerana selebihnya sudah pulang ke rumah masing-masing bermula semalam selepas air surut dan cuaca baik.

Mangsa banjir di Bera kekal 131 orang dari Kampung Paya Tateh yang ditempatkan di Kompleks Rakan Muda Kerayong.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang berkata paras bacaan Sungai Triang di Triang melebihi paras berjaga-jaga iaitu 34.42 meter manakala bacaan sungai lain pada paras normal. - Bernama

Saturday, December 5, 2009

Tidak ada rombakan Kabinet akhir tahun ini: Najib

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan bahawa beliau akan melakukan rombakan Kabinet buat kali kedua pada akhir tahun ini.

Katanya, Kabinet yang ada kini masih baru dan hanya berusia tujuh bulan sejak beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.

"Kalau kita buat rombakan terlalu kerap ia akan menjejaskan kemampuan menteri-menteri untuk menjalankan kerja sebab pertukaran yang melibatkan tempoh masa yang pendek ini boleh mengganggu kelicinan pentadbiran kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pada Kejohanan Badminton sempena Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) di sini, hari ini.

Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) menjadi juara kejohanan itu, tempat kedua dimenangi Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Wakil Rakyat Sabah (Bakisa) manakala Badan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Perak (BAIDURI) menduduki tempat ketiga.

"Saya belum fikir lagi...rombakan kabinet boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi pada masa sekarang tidak perlu kerana Kabinet sekarang ini baru sahaja dibentuk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita mengenai khabar angin yang bertiup kencang di kalangan ahli politik bahawa Najib akan melakukan rombakan kabinet pada pertengahan bulan ini.

Najib bagaimanapun memberi gambaran bahawa akan berlaku sedikit perubahan di kalangan timbalan menteri dalam Kabinetnya.

"Dalam pada itu ada juga beberapa perkara di peringkat timbalan menteri yang saya perlu lihat secara detail lagi," katanya.

Beliau tidak mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu tetapi Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib dilaporkan sudah menyatakan hasrat beliau kepada Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Najib berkata walaupun rombakan Kabinet adalah kuasa mutlak seorang Perdana Menteri tetapi ia bukan boleh dibuat sesuka hati.

"Sebarang rombakan yang dibuat adalah untuk kebaikan dan penambahbaikan kepada pentadbiran sesebuah kerajaan.

"Jika adapun, adalah tidak elok untuk beliau memberi tempoh masa atau sebarang petanda mengenai sebarang rombakan tetapi ia tidak mungkin berlaku dalam tempoh terdekat ini," katanya. - Bernama

PM lancar sambutan Inovatif Malaysia 11 Januari

LABUAN: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi merancang memasukkan acara Generasi Muda Kreatif Asean dalam siri aktiviti sambutan Malaysia Inovatif 2010 yang dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 11 Januari depan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata kementerian itu mahu golongan muda berusia 21 tahun ke bawah dari negara anggota Asean, menyertai sambutan inovasi dan kreativiti sepanjang tahun.

Generasi Muda Kreatif Asean itu mencakupi pameran idea kreatif dan inovatif oleh golongan muda Asean selain persidangan dan seminar.

Ia dirancang diadakan antara 31 Ogos dan 16 September 2010 di Labuan, sebagai tambahan kepada acara yang sudah diluluskan oleh Kabinet.

“Kami berharap dapat mengumpulkan golongan muda Asean untuk mempamerkan inovasi dan kreativiti masing-masing dalam pelbagai bidang, seperti bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, seni dan industri kreatif.

"Matlamatnya ialah berkongsi semangat 1Malaysia dengan belia Asean untuk meningkatkan kesedaran dan kerjasama, selain berkongsi pengalaman dalam inovasi asli.

"Labuan menjadi tapak cadangan berdasarkan kedudukannya yang strategik, selain menggalakkan pelancongan. Acara itu akan diketuai oleh Yayasan Inovasi Malaysia, dengan kerjasama badan bukan kerajaan belia Asean,” kata Ongkili selepas mendengar taklimat kementerian kepada pelbagai kumpulan komuniti mengenai Program Malaysia Inovatif 2010 dan objektifnya di sini hari ini.

Bagi sambutan Malaysia Inovatif 2010, Ongkili berkata program yang sudah diluluskan oleh Kabinet meliputi Karnival Inovasi di pelbagai zon, pertunjukan realiti Kejohanan Inovatif 1Malaysia, selain mempromosi inovasi dan kreativiti pada Forum Dunia Islam keenam dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia.

Kemuncak sambutan itu ialah Festival Inovasi Malaysia di Bukit Jalil.

Sambutan Malaysia Inovatif 2010, diterajui oleh kementerian itu, dan 10 kementerian lain menyokong usaha untuk mempromosi inovasi sebagai pemacu ekonomi baharu seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri. - Bernama