Followers

Saturday, December 5, 2009

Remaja perempuan mangsa ke-6 banjir Terengganu

KUALA TERENGGANU: Remaja perempuan berumur 14 tahun menjadi korban terbaru banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Selasa lalu.

Norsahirah Ismail, remaja Orang Kurang Upaya (OKU) yang menghidap sawan sejak kecil, dipercayai lemas setelah terjatuh di kawasan rumahnya di Kampung Banggol Nyior Tepoh, di sini, yang dinaiki air setinggi satu meter.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin, berkata mangsa terjatuh ketika keluarganya sedang bersiap sedia untuk berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, kira-kira pukul 8.40 pagi tadi.

"Norsahirah dipercayai terjatuh ke dalam air ketika berada di tangga dekat pintu belakang rumah. Sebaik menyedari kehilangannya, anggota keluarga beliau memulakan gerakan mencari dan menemui mangsa yang tenggelam di dalam air kira-kira 15 minit kemudian," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Zamri berkata, keluarga mangsa cuba memberikan bantuan kecemasan namun remaja itu dipercayai telah meninggal dunia.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Nenek mangsa, Esah Abdullah, 60, ketika ditemui pemberita di hospital berkenaan, berkata cucunya yang sudah tidak bersekolah itu baru bangun tidur dan terus berjalan menuju ke pintu belakang rumah.

Katanya, Norsahirah dipercayai diserang sawan ketika berada di tangga berkenaan.

Sebelum ini, lima kes lemas dilaporkan di Terengganu sejak banjir melanda negeri itu awal bulan lalu, iaitu masing-masing satu kes di Hulu Terengganu, Besut dan Dungun serta dua kes lemas di Marang.

Sementara itu, keadaan banjir di Terengganu beransur pulih dangan mangsa yang masih berada di pusat pemindahan berkurangan petang ini kepada 1,751 orang berbanding 2,205 orang pagi tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, setakat ini masih ada seramai 999 mangsa banjir di pusat pemindahan di Kemaman, Dungun (383), Marang (47), Setiu (60), dan Kuala Terengganu (14).

Beliau berkata, semua jalan utama termasuk Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan Kuala Terengganu-Kota Baharu masih boleh dilalui semua kenderaan, kecuali beberapa jalan negeri yang dinaiki air iaitu Kemaman (tiga), Hulu Terengganu (empat) dan Dungun (satu) yang ditutup kepada kenderaan ringan.

Katanya, semua sungai utama di Terengganu berada pada paras biasa.

Sementara itu, di KOTA BHARU, keadaan banjir pulih sepenuhnya petang ini apabila satu-satunya pusat pemindahan yang masih dibuka di jajahan Kota Baharu ditutup tengah hari tadi.

Jurucakap Bilik Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata, semua 26 mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tiong dekat Kota Bharu dibenarkan pulang secara berperingkat mulai jam 9 pagi tadi," katanya.

"Keadaan cuaca panas sejak pagi tadi menyebabkan air banjir yang masih menenggelami beberapa kawasan di Kota Baharu surut sepenuhnya.

"Berikutan itu, semua 26 orang mangsa yang membabitkan enam keluarga itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Jurucakap itu berkata, paras air di kebanyakan sungai pada petang ini juga semakin menunjukkan penurunan berbanding pagi tadi.

"Keadaan cuaca semakin baik juga menyebabkan paras air di kesemua sungai menurun kecuali paras air di Sungai Golok di Rantau panjang yang masih melepasi paras bahaya iaitu 9.68 meter melepasi paras bahaya 9 meter," katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian yang dinaiki air setinggi paras pinggang juga mulai surut dan lebih 10 keluarga membabitkan hampir 50 orang penduduk di sebuah taman perumahan di situ juga pulang ke rumah masing-masing.

Selain sibuk membersihkan kediaman yang dipenuhi kekotoran dan kesan lumpur air banjir, kebanyakan penduduk di Kota Bharu juga mula menjalankan aktiviti harian seperti biasa dengan kenderaan berpusu-pusu di jalan raya berikutan keadaan cuaca yang baik.

Di PAHANG, Pekan menjadi daerah terbaru dilanda banjir selepas Maran, Kuantan dan Bera.

Bagaimanapun bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir sehingga 5 petang ini berkurangan sebanyak 346 orang berbanding 456 orang pagi tadi.

Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Pahang, seramai 13 orang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Pekan tengah hari tadi.

"Seramai 13 orang ditempatkan di Balai Raya Padang Rumbia apabila penempatan mereka di Perumahan PPRT Padang Rumbia dinaiki air," katanya.

Daerah Maran pula mencatatkan mangsa pemindahan tertinggi iaitu seramai 138 orang dari Kampung Raya Chendong dan Kampung Bukit Kuin.

"Di daerah Bera, seramai 131 orang dari Kampung Paya Tateh yang ditempatkan di Kompleks Rakan Muda Kerayong manakala daerah Kuantan mencatatkan pemindahan seramai 64 orang melibatkan empat buah kampung iaitu Kampung Sungai Ular, Kampung Chendor Baru, Kampung Paya Besar dan Kampung Pahang," katanya.

Setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang berkata paras bacaan Sungai Triang di Triang dan Sungai Kuantan di Bukit Kenau kini telah melebihi paras berjaga-jaga iaitu di paras 33.73 meter dan 20.32 meter. - Bernama

Hujan lebat di Pahang hingga malam

KUALA LUMPUR: Jabatan Meterologi Malaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga di Pahang yang dijangka berterusan sehingga malam ini.

Hujan sekejap-sekejap yang kadang kala lebat dari semasa ke semasa itu diramal berlaku di Kuantan, Pekan, Maran, Bera, dan Rompin.

Menurut kenyataan jabatan itu, hujan lebat berkenaan boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah berdekatan tebing sungai.

Jabatan Metereologi Malaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, di mana angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 sehingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, diramal berlaku di perairan Condore dan Samui di Kelantan dan Terengganu sehingga esok.

Kawasan pantai di Kelantan dan Terengganu terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga esok.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. - Bernama

Banjir di Terengganu beransur reda

KUALA TERENGGANU: Banjir di seluruh Terengganu semakin reda dan mangsa dijangka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sekiranya cuaca bertambah baik hari ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata bilangan keseluruhan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan hari ini ialah 2,205 orang dengan Kemaman mencatatkan 1,306 orang diikuti Dungun (462), Kuala Terengganu (248), Hulu Terengganu (82), Setiu (80) dan Marang (47).

Beliau berkata, jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan dan Kuala Terengganu-Kota Baharu masih boleh dilalui semua jenis kenderaan.

"Bagaimanapun terdapat 18 jalan negeri masih dinaiki air dan ditutup sama ada kepada kenderaan ringan atau berat iaitu di Kemaman (11), Hulu Terengganu (lima) dan Dungun (dua)," katanya.

Paras air di semua sungai utama di Terengganu pagi ini berada di paras biasa.

Di KOTA BAHARU, keadaan banjir di Kelantan turut dilaporkan semakin reda berikutan cuaca cerah di keseluruhan kawasan sejak semalam.

Jurucakap Bilik Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata, semua paras air sungai utama semakin surut walaupun hanya paras air Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih melepasi bahaya.

"Paras air sungai itu di Rantau Panjang pada jam 7 pagi ini 9.76 meter melepasi bahaya 9 meter dan paras air bagaimanapun surut secara perlahan sejak semalam," katanya.

Jurucakap itu berkata, 26 orang di Kota Baharu berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Tiong di sini dan akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada bila-bila masa sahaja.

Tinjauan Bernama di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini mendapati keadaan banjir kilat di kawasan itu belum pulih menyebabkan lebih 10 keluarga membabitkan hampir 50 penduduk di sebuah taman perumahan di situ berpindah sementara.

Keadaan cuaca di Kelantan keseluruhannya dilaporkan cerah dan hanya jajahan ini dan Pasir Mas dilaporkan sekali sekala berlaku hujan renyai.

Di KUANTAN, mangsa banjir di tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Maran dan Bera kini berjumlah 456 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, berkata seramai 32 orang daripada enam keluarga dari Kampung Sungai Ular dan Kampung Chendor Baru, Cherating dekat sini masih ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Cherating Baru.

"Seramai 293 orang daripada 63 keluarga dari Kampung Paya Chedong, Kampung Ulu Luit dan Kampung Bukit Kuin ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Perpaduan Teladas, Balai raya Ulu Luit dan Surau Bukit Kuin sejak semalam," katanya.

Mangsa banjir di daerah Bera meningkat kepada 131 orang daripada 30 keluarga dari Kampung Paya Tateh dan Kampung Paya Helang yang ditempatkan di Kompleks Rakan Muda Kerayong.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang berkata, paras bacaan Sungai Triang di Triang dan Sungai Kuantan di Bukit Kenau kini melebihi paras berjaga-jaga iaitu masing-masing di paras 33.73 meter dan 20.32 meter. - Bernama

Najib lawat Thailand 7 hingga 9 Disember

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan melakukan lawatan rasmi ke Thailand bagi menghadiri Perundingan Tahunan Malaysia-Thailand Keempat dengan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, di Bangkok dari 7 hingga 9 Disember.

Najib akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, lapan Menteri Kabinet dan dua Timbalan Menteri.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari in, Najib akan diraikan pada satu majlis sambutan sebelum kedua-dua pemimpin serta delegasi mereka mengadakan rundingan pada 8 Disember, diikuti jamuan malam sempena kunjungan itu.

"Perundingan tahunan itu memberi peluang kepada kedua-kedua Perdana Menteri untuk membincangkan cara bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand. Mereka juga dijangka menyentuh tentang bidang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bahawa Najib akan ke Narathiwat dan melawat wilayah itu bersama Abhisit sebelum kedua-dua pemimpin berkenaan menghadiri upacara menamakan semula jambatan yang menghubungkan Bukit Bunga dan Ban Buketa sebagai Jambatan Persahabatan, pada hari berikutnya. - Bernama