Followers

Friday, December 4, 2009

Tiada cadangan hapus subsidi gula: Timbalan Menteri

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak berhasrat untuk menarik balik subsidi gula dalam masa terdekat, sekaligus mengekalkan harga barangan tersebut pada RM1.45 sekilogram.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe, berkata rakyat tidak perlu panik dan melakukan pembelian pada kadar yang banyak berikutan bimbang harga barangan itu akan dinaikkan.

"Pada ketika ini kementerian belum membuat sebarang cadangan kepada Kabinet (mengenai penarikan balik subsidi gula). Jadi kami beri jaminan yang harga gula kekal sepertimana sekarang.

"Jadi kita harap kerjasama semua pihak termasuk peniaga dan pengguna supaya janganlah beli gula secara berlebihan dan jangan ada yang menyorok untuk dapatkan keuntungan sebab pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serius terhadap mereka yang melakukan kegiatan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tan berkata, pegawai penguatkuasaan kementerian akan memantau dan memastikan tidak berlaku kegiatan pembelian berlebihan atau menyorok gula.

Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan gula dalam negara adalah mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.

Selasa lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata kementerian sedang mengkaji cadangan pelbagai pihak supaya menarik balik subsidi gula dalam usaha mengurangkan kadar pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia.

Berikutan kenyataan itu, Tan berkata kementerian telah mengesan terdapat pertambahan dalam permintaan terhadap barangan itu.

Katanya, sebarang cadangan untuk menarik balik subsidi akan dibincangkan secara mendalam kerana walaupun ia mungkin mampu mengurangkan pengambilan gula di kalangan rakyat, subsidi itu penting untuk meringankan beban orang-orang yang tidak berkemampuan.

Beliau berkata, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM720 juta tahun ini, iaitu subsidi sebanyak 60 sen bagi setiap kilogram.

"Oleh kerana gula dikenal pasti sebagai ibu kepada pelbagai penyakit, kementerian akan berusaha mengurangkan kadar pengambilan gula di kalangan rakyat menerusi kempen kesedaran di seluruh negara," katanya. - Bernama

Usul desak Kerajaan Pusat bubar kursus BTN ditolak

GEORGETOWN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini menolak usul penyokong kerajaan untuk mendesak Kerajaan Pusat membubarkan kursus Biro Tata Negara (BTN) dan menyemak semula kursus di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Ong Chin Wen (PKR-Bukit Tengah) yang mengemukakan usul berkenaan.

turut mencadangkan kerajaan negeri berhenti menghantar kakitangan kerajaan negeri menhadiri kursus berkenaan.

Namun, usul beliau itu ditolak Speaker DUN, Datuk Abdul Halim Hussain.

Abdul Halim berkata, perkara berkenaan tidak perlu disegerakan kerana tidak termasuk dalam atur cara mesyuarat kali ini.

"Walaupun perkara tersebut berkaitan dengan kepentingan umum tetapi ia tidak perlu disegerakan kerana kabinet telah berjanji untuk mengkaji semula inti pati kursus tersebut," katanya.

Rayuan Sim Tze Tzin (PKR-Pantai Jerejak) agar usul itu dibahas turut ditolak.

Rabu lalu kerajaan Pulau Pinang melarang semua kakitangannya mengikuti kursus BTN, berkuat kuasa serta-merta.

Minggu lalu, kerajaan Selangor mengharamkan kakitangannya dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri itu mengikuti kursus atau program kendalian BTN, berkuat kuasa serta-merta. - Bernama

Hujan lebat di Pahang dan Johor sehingga Sabtu

KUALA LUMPUR: Hujan lebat peringkat kuning di Pahang dan Johor dijangka berlarutan sehingga malam esok, menurut Jabatan Metereologi Malaysia.

Menurut kenyataan jabatan itu hujan sekejap-sekejap yang kadang kala lebat dari semasa ke semasa diramal berlaku di Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang dan Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Johor Baharu, Pontian dan Batu Pahat di Johor.

Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan yang berkedudukan rendah berdekatan tebing sungai. - Bernama

Bilangan mangsa banjir di Terengganu meningkat

KUALA TERENGGANU: Bilangan mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 3,608 pagi ini berbanding 2,451 orang semalam.

Daripada jumlah itu, Kemaman mencatat angka tertinggi dengan 2,161 orang diikuti Dungun (599), Marang (329), Besut (51), Kuala Terengganu (248), Setiu (113) dan Hulu Terengganu (107) dan Besut (51).

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, semua jalan utama boleh dilalui tetapi beberapa jalan kampung di Marang, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman dan Dungun masih ditutup.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu melaporkan paras air di semua sungai utama di Terengganu keseluruhannya turun sejak semalam walaupun ada yang masih pada paras bahaya.

jurucakap jabatan itu berkata, bacaan paras sungai pada 9 pagi ini menunjukkan paras air di Sungai Dungun di Jambatan Jerangau ialah 12.38 meter (bahaya 12.20 meter) dan Sungai Berang di Pengkalan Ajal 16.15 meter (bahaya 16 meter).

Di PAHANG, bilangan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Cherating Baru pagi ini masih 36 orang daripada lapan keluarga.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, mereka banjir dipindahkan pagi semalam selepas penempatan mereka di Kampung Sungai Ular dan Kampung Chendor dinaiki air sedalam 0.5 meter.

"Bagaimanapun, pemindahan itu hanya membabitkan daerah Kuantan manakala daerah belum membabitkan pemindahan mangsa banjir," katanya. - Bernama