Followers

Friday, December 4, 2009

Hujan lebat di Pahang dan Johor sehingga Sabtu

KUALA LUMPUR: Hujan lebat peringkat kuning di Pahang dan Johor dijangka berlarutan sehingga malam esok, menurut Jabatan Metereologi Malaysia.

Menurut kenyataan jabatan itu hujan sekejap-sekejap yang kadang kala lebat dari semasa ke semasa diramal berlaku di Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang dan Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Johor Baharu, Pontian dan Batu Pahat di Johor.

Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan yang berkedudukan rendah berdekatan tebing sungai. - Bernama

Bilangan mangsa banjir di Terengganu meningkat

KUALA TERENGGANU: Bilangan mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 3,608 pagi ini berbanding 2,451 orang semalam.

Daripada jumlah itu, Kemaman mencatat angka tertinggi dengan 2,161 orang diikuti Dungun (599), Marang (329), Besut (51), Kuala Terengganu (248), Setiu (113) dan Hulu Terengganu (107) dan Besut (51).

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, semua jalan utama boleh dilalui tetapi beberapa jalan kampung di Marang, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman dan Dungun masih ditutup.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu melaporkan paras air di semua sungai utama di Terengganu keseluruhannya turun sejak semalam walaupun ada yang masih pada paras bahaya.

jurucakap jabatan itu berkata, bacaan paras sungai pada 9 pagi ini menunjukkan paras air di Sungai Dungun di Jambatan Jerangau ialah 12.38 meter (bahaya 12.20 meter) dan Sungai Berang di Pengkalan Ajal 16.15 meter (bahaya 16 meter).

Di PAHANG, bilangan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Cherating Baru pagi ini masih 36 orang daripada lapan keluarga.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, mereka banjir dipindahkan pagi semalam selepas penempatan mereka di Kampung Sungai Ular dan Kampung Chendor dinaiki air sedalam 0.5 meter.

"Bagaimanapun, pemindahan itu hanya membabitkan daerah Kuantan manakala daerah belum membabitkan pemindahan mangsa banjir," katanya. - Bernama

Thursday, December 3, 2009

Najib lakukan lawatan bersejarah ke selatan Thailand

BANGKOK: Selepas empat tahun menempuh hubungan yang dingin, Malaysia dan Thailand kini di ambang satu peristiwa bersejarah apabila pemimpin kedua-dua negara bertemu di ibu negara ini Selasa depan.

Pada 30 Ogos 2005, 131 penduduk Islam Thai dari wilayah bergolak di Selatan Thai melarikan diri ke Malaysia untuk mendapatkan perlindungan di Kelantan yang membawa kepada pertikaian diplomatik antara kedua-dua negara.

Ini membawa kepada tuduhan bahawa Kuala Lumpur mencampuri urusan dalaman negara jirannya itu yang berjuang menentang puak pemisah di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat.

Pada satu peringkat, keadaan nyaris menjadi buruk selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan supaya Thailand memberikan autonomi kepada tiga wilayah dengan majoriti penduduk Islam berkenaan, satu isu sensitif di negara ini yang menganggap konsep itu serupa dengan kemerdekaan.

Bagaimanapun empat tahun kemudian, Perdana Menteri Thai, Abhisit Vejjajiva, dan rakan sejawatannya, Datuk Seri Najib Razak, kedua-duanya menjawat jawatan dalam masa 12 bulan lalu, dijadual melawat Narathiwat pada 9 Disember, wilayah yang ditinggalkan pelarian terbabit kerana bimbangkan keselamatan diri.

Kementerian pantau keciciran pelajar: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sentiasa memantau masalah keciciran di kalangan pelajar di seluruh negara dan mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata antara langkah itu ialah menambah baik kemudahan asas, memperbanyak program motivasi, meningkatkan kesedaran ibu bapa, mewujud dan memperluas program-program bantuan seperti menyediakan Biasiswa Kecil Persekutuan.

"Selain itu, Kementerian Pelajaran juga memberikan Elaun Murid Khas sebanyak RM150 sebulan kepada semua pelajar pendidikan khas (OKU), kemudahan asrama, Skim Pinjaman Buku Teks, Skim Insurans Takaful Kemalangan Kelompok, Pemansuhan Yuran Peperiksaan, pakaian seragam, penambahan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Program Susu Sekolah, Rancangan Makanan Tambahan dan sebagainya kepada pelajar untuk menarik minat dan rangsangan ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka ke alam persekolahan," katanya.

Beliau berjata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) di Dewan Rakyat yang ingin tahu tindakan kerajaan untuk menangani masalah 125,000 kanak-kanak yang masih tidak memulakan persekolahan seperti yang didedahkan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Teng juga ingin tahu bila kerajaan bersedia mendirikan sekolah mengikut keperluan rakyat setempat tanpa mengira aliran pelajaran.

Muhyiddin berkata, program vokasional kemahiran turut disediakan kepada murid yang berminat dalam usaha meningkatkan peluang-peluang kemahiran.

"Program transisi dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan dipertingkatkan agar murid pendidikan khas mendapat akses dan ekuiti yang sama di aliran perdana," katanya.

Mengenai pembinaan sekolah baru, beliau berkata kementerian sentiasa berusaha menyediakan kemudahan pendidikan yang sempurna dan mencukupi mengikut keperluan dan keutamaan di sesuatu kawasan.

"Kementerian Pelajaran juga sentiasa memastikan kemudahan pendidikan yang disediakan adalah untuk semua kaum atau golongan masyarakat dan dalam hal ini, projek pembangunan dirancang dan dilaksanakan berdasarkan bilangan penduduk sesuatu kawasan ataupun kewujudan kawasan perumahan baru," katanya.

Selain itu, beliau berkata kementerian berusaha ke arah menyatupadukan rakyat dan satu pendekatan yang digunakan ialah dengan penubuhan lebih banyak sekolah kebangsaan bagi semua golongan masyarakat selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkasakan sekolah itu.

Sementara itu, dalam maklumat tambahan yang dikepilkan bersama jawapan bertulis itu, pengiraan data murid tercicir dibuat berasaskan kepada "cohort analysis, iaitu berdasarkan kepada bilangan murid yang tidak meneruskan persekolahan ke peringkat selanjutnya".

Data terbaru yang dikumpulkan dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5, bilangan murid tercicir pada 2008 telah turun kepada 31,939 orang.

Petunjuk Prestasi Utama Menteri (MKPI) kementerian itu mensasarkan semua murid yang bukan berkeperluan khas dapat menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012.

Sasaran MKPI itu akan dilaksanakan pada 2010 yang membabitkan murid Tahun 1 di sekolah rendah.

Kementerian itu mewujudkan Kelas Intevensi Awal Menulis dan Membaca (KIA2M) yang bertujuan menangani masalah murid yang tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis serta mengira dan strategi telah dirangka bagi menyokong keberkesanan program ini melalui sistem penyampaian berkualiti, sokongan intevensi dan penglibatan komuniti.

Usaha penambahbaikan dan pengubahsuaian program itu akan dijalankan pada 2010 melalui program literasi dan numerasi (Linus) yang mempunyai matlamat untuk memastikan semua murid normal yang berada pada tahap 1 bermula Tahun 1 hingga Tahun 3 akan dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi menjelang 2012.

Sehubungan itu, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM78,283,814 untuk menjalankan program ini.

Program Linus menekankan kepada penguasaan literasi iaitu kebolehan membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi.

Numerasi ialah kebolehan melakukan operasi asas Matematik serta memahami idea Matematik yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran Matematik dalam kehidupan harian. - Bernama