Followers

Thursday, December 3, 2009

H1N1: Berwaspada ketika lawat negara Hemisfera utara

KUALA LUMPUR: Sempena musim cuti sekolah ini, Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai supaya berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika melawat negara Hemisfera Utara berikutan peningkatan penularan wabak Influenza A(H1N1) di negara berkenaan sejak minggu lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata berlaku peningkatan ketara sebanyak 95 peratus atau 75,000 kes yang disahkan dijangkiti wabak itu di Amerika Utara, Kanada Barat, Eropah, Mediterranean Timur dan Mongolia berbanding minggu sebelumnya.

"Oleh itu pada musim cuti ini, penduduk Malaysia yang ingin ke luar negara untuk melancong, membuat lawatan sosial atau urusan kerja khususnya ke negara-negara Hemisfera Utara hendaklah sentiasa waspada dan mengamalkan kebersihan diri dan langkah pencegahan seperti yang disarankan sebelum ini sekiranya lawatan tersebut tidak dapat ditangguhkan," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, penularan wabak itu di negara ini menunjukkan trend penurunan dalam tempoh seminggu yang lepas iaitu daripada 589 kes akibat gejala serupa Influenza (ILI) yang dirujuk ke hospital, 217 telah didiscaj, manakala daripada 372 kes yang masih dirawat di 53 hospital, hanya 2.7 peratus atau 10 orang sahaja kes Influenza A(H1N1).

Mengenai perkembangan semasa demam denggi di negara ini, beliau berkata berlaku penurunan sebanyak 55 kes dengan tiada kematian dilaporkan minggu lalu. - Bernama

Pos Malaysia keluar setem spesies Araknid

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad dalam usaha mendidik masyarakat mengenali binatang berkaki lapan memilih spesies Araknid, iaitu daripada keluarga Anthropod, sebagai tema setem dan sampul surat hari pertama sempena Minggu Setem 2009 yang akan berlangsung dari 7 hingga 13 Disember ini di Dataran Pahlawan, Melaka.

Pembantu Pengurus Kanan Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah, berkata setem yang akan dikeluarkan pada 7 Disember itu mempunyai empat reka bentuk Araknid tempatan iaitu "fighting spider", "curved spiny spider", "St Andrew's Cross spider" dan Golden orb-web spider".

"Bagi Minggu Setem 2009 ini kami mengeluarkan koleksi setem yang akan memaparkan spesies Araknid yang unik dan jarang dilihat tetapi boleh ditemui di hutan kita.

"Keluaran kali ini bukan sahaja dapat menambah koleksi pencinta setem tetapi dalam masa yang sama dapat berkongsi maklumat dengan masyarakat dalam mengenali spesies ini dengan lebih dekat," katanya.

Diyana berkata, sempena Minggu Setem 2009 ini juga Pos Malaysia akan menawarkan pasport filateli secara percuma kepada individu yang membeli koleksi setem Araknid dan produk filateli lain bernilai RM50. - Bernama

Mahkamah akan tetap tarikh keputusan rayuan Anwar dipecat

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini akan menetapkan tarikh bagi memutuskan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pemecatan jawatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1998.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus bertambah

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kelantan pada sebelah pagi ini bertambah, menjadikan keseluruhannya 59 orang berbanding 36 orang, malam tadi.

Jurucakap Bilik Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata, setakat jam 9 pagi ini, mereka yang dipindahkan adalah seramai 17 orang di Tumpat, Pasir Puteh (16) dan bakinya di daerah ini.

"Perpindahan itu berikutan hujan lebat di tiga jajahan terbabit sejak tiga hari lalu," katanya di sini.

Hujan lebat itu juga menyebabkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini melepasi bahaya iaitu di paras 9.60 meter.

Paras bahaya sungai itu adalah 9 meter dan sehubungan itu jurucakap berkenaan meminta penduduk di tebing sungai berkenaan agar mengambil langkah berwaspada dan bersiap sedia untuk berpindah.

Sungai utama yang lain juga masing-masing kini berada di paras waspada dan dilaporkan air semakin surut.

Tiada jalan utama menghubungkan negeri ini ditutup kepada lalu lintas dan banjir gelombang ketiga ini telah mengorbankan lima nyawa dan terbaru melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, Wan Muhammad Azafar Wan Ahmad tengah hari semalam.

Cuaca di Kelantan ketika ini mendung dengan sesekali hujan lebat dilaporkan masih berlaku terutama di jajahan ini dan Pasir Mas. - Bernama