Followers

Tuesday, December 1, 2009

Rombakan kurikulum BTN sudah lama dicadangkan

KUALA LUMPUR: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini menolak dakwaan bahawa keputusan untuk merombak kurikulum dalam kursus Biro Tata Negara (BTN) menunjukkan kerajaan akur dengan desakan pembangkang.

Sebaliknya beliau berkata, perkara itu berlaku secara kebetulan kerana Kabinet sebelum ini pernah membincangkan cadangan untuk merombak kurikulum kursus berkenaan agar selari dengan peredaran masa.

"Sebelum perkara itu dibangkitkan oleh pembangkang memang kita (Kabinet) sudah berbincang dan lihat bagaimana perlunya modul dan pendekatan BTN laksana programnya.

"Perlu ambil kira suasana dan keadaan yang berubah dari segi tahap pendidikan rakyat yang meningkat, tahap pendedahan kepada pengetahuan dan lain-lain. Pada saya perkara itu kebetulan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamed Khaled diminta mengulas keputusan Kabinet semalam yang bersetuju untuk merombak kurikulum dalam kursus BTN supaya ia lebih sesuai untuk semua kaum sejajar dengan konsep 1Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, yang mengumumkan perkara itu di Parlimen semalam berkata keputusan Kabinet minggu lalu itu dibuat bagi memastikan kursus tersebut tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja dan tidak memecahkan rakyat mengikut etnik.

Sebelum ini barisan pembangkang telah membangkitkan isu sama dengan mendakwa kursus BTN sebagai salah satu cara doktrinasi oleh Barisan Nasional (BN) selain dijadikan tempat memupuk semangat perkauman di kalangan peserta yang boleh memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini. - Bernama

Kementerian kaji cadangan hapus subsidi gula

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sedang mengkaji cadangan pelbagai pihak untuk memansuhkan subsidi gula bagi mewujudkan masyarakat yang sihat.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu akan turut dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet selewat-lewatnya Januari depan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen kurangkan pengambilan gula anjuran Persatuan Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

Angin tolak bongkah ais jauh dari New Zealand

WELLINGTON, New Zealand: Angin kencang di selatan Lautan Pasifik menolak bongkah ais yang menuju ke New Zealand ke arah timur, jauh dari negara itu.

Amaran berjaga-jaga untuk kapal dikeluarkan minggu lalu dan pihak berkuasa maritim memantau kumpulan bongkah ais itu yang terapung ke arah utara dari Antartika ke South Island.

“Kelihatan bongkah berkenaan menghilang di timur New Zealand,” kata pakar lautan Institut Kajian Air dan Atmosfera New Zealand, Mike Williams.

Bongkah paling hampir yang berukuran 100 kali 200 meter berada 260 kilometer ke tenggara Pulau Stewart seminggu lalu. - AP

Terengganu dilanda banjir semula

KUALA TERENGGANU: Berikutan hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas, Terengganu dilanda banjir semula dengan 241 penduduk dari tiga buah kampung di daerah Marang dipindahkan ke pusat pemindahan sejak petang semalam hingga pagi ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, penduduk yang dipindahkan terdiri daripada penduduk Kampung Paya Kijing seramai 168 orang, Kampung Seberang Marang (65) dan Kampung Pulau Kerengga (8).

Beliau berkata, setakat ini tiga pusat pemindahan telah dibuka untuk menempatkan mangsa terbabit dengan kebanyakan mereka mula berpindah mulai jam 6 petang semalam sehingga pagi ini.

Katanya, setakat ini bilik gerakan banjir MKN masih belum dibuka dan hanya akan berbuat demikian apabila banjir berlaku di lebih daripada satu daerah.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Pengairan (JPS) negeri berkata, paras air semua sungai utama di Terengganu masih berada pada tahap biasa.

Banjir musim tengkujuh pertama kali melanda Terengganu awal bulan lalu manakala gelombang kedua yang menyaksikan lebih 10,000 penduduk dari semua daerah di negeri itu terpaksa dipindahkan berlaku sejak 23 November lalu dan hanya berakhir Ahad lalu.

Setakat ini, tiga kematian dicatatkan akibat banjir membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun, Tuan Nor Farah Amira Tuan Harun yang lemas ketika bermain di tepi Sungai Terengganu di Kampung Getang, Telemong, Hulu Terengganu, 7 November lalu.

Mangsa kedua membabitkan seorang pelajar berumur 15 tahun dari Kuala Besut, Mohd Syahmi Mohd Yusof, yang lemas pada 24 November, manakala mangsa ketiga, Muhammad Aifa Afif Mohd Yusof, 13, dari Marang, lemas ketika mandi bersama rakannya pada 25 November lalu. - Bernama