Followers

Monday, November 30, 2009

Undang-undang kecil PBT yang usang wajar dipinda: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelbagai undang-undang kecil yang dipakai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini wajar dipinda atau diubahsuai jika ianya didapati sudah usang atau tidak sesuai dengan perkembangan semasa.

Beliau berkata ini penting ke arah memperkenalkan cara-cara terbaru untuk melaksanakan tanggungjawab PBT secara lebih berkesan lagi.

"Mengenai kajian undang-undang kecil yang sudah lama dipakai itu...satu perkara yang harus diberi perhatian," katanya semasa merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 serta Persidangan Dwitahunan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Penguasa-penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) ke-23 di Pusat Konvensyen CIDB di sini, hari ini.

Muhyiddin mengulas ucapan aluan oleh presiden Anulae Semenanjung Malaysia Azih Muda bahawa undang-undang kecil dilaksanakan PBT di negara ini perlu dikaji serta diseragamakan.

Muhyiddin berkata sebahagian besar undang-undang kecil PBT berada di bawah bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri, dan menurutnya beliau menyerahkan kepada pihak ini untuk mengkajinya dan jika ada yang berkaitan dengan kerajaan Persekutuan, ia boleh dibawa kepada perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. - Bernama

Nik Aziz guna agama untuk politik: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Niat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika Kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan adalah kesalahan besar daripada segi agama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau tidak dapat membayangkan bagaimana seorang yang dikatakan sebagai tokoh agama sanggup mengeluarkan kenyataan sebegitu, lebih-lebih lagi terhadap pemimpin yang seagama dan sebangsa dengannya.

"Saya tidak bolehlah menasihatkan kerana dia (Nik Abdul Aziz) lebih tahu daripada saya. Tapi kenyataan seperti ini tidak patut dikeluarkan oleh seorang yang dikatakan tokoh agama.

"Mungkin dia (Nik Abdul Aziz) lebih merupakan seorang tokoh politik dan menggunakan agama untuk tujuan politik... jual agama untuk kepentingan politik. Ini (kenyataan tersebut) sesuatu yang tidak boleh kita gambarkan," katanya kepada pemberita ketika ditanya kenyataan Menteri Besar Kelantan itu.

Terdahulu Muhyiddin berucap merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2009 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sikap Nik Abdul Aziz itu tidak mencerminkan ketokohan agama seperti yang selama ini diuar-uarkan mengenai pemimpin itu.

"Saya tidak pernah mendengar dalam sejarah hidup saya... (ada orang) buat doa jahanamkan manusia lebih-lebih lagi seagama dan sebangsa. Saya fikir (doa itu) suatu yang menyalahi tuntutan agama. Saya tidak tahu apa hukumnya. Mungkin orang agama tahu," katanya.

Beliau berkata sudah menjadi lumrah pemimpin Pas menggunakan agama untuk kepentingan politik dan dalam hal ini, rakyat harus sedar mengenai parti yang menggunakan agama serta menyeleweng daripada ajaran agama Islam. - Bernama

CHOGM masih relevan, berupaya zahirkan pandangan berhubung isu global

PORT OF SPAIN (Trinidad dan Tobago): Sidang Kemuncak Komanwel berakhir di sini semalam, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan bahawa badan itu masih relevan dan berupaya menzahirkan pandangan berhubung kepentingan global.

Beliau berkata deklarasi mengenai perubahan iklim yang dikeluarkan oleh para pemimpin Komanwel yang hadir di Port of Spain adalah contoh bagaimana perkumpulan itu berjaya menghadapi keadaan apabila yang menjadi taruhan ialah kelangsungan hidup kebanyakan anggotanya.

Katanya perkumpulan itu yang sebahagian besarnya dianggotai oleh bekas negara jajahan British, telah melaksanakan peranannya dalam membantu negara yang berdepan kesukaran, bukan hanya dalam membawa pembangunan tetapi juga membentuk sistem nilai yang akan mengemudi kejayaan sesebuah negara.

"Contoh jelas mengenai perkara ini ialah langkah Komanwel untuk menerima kemasukan Rwanda, sebuah negara yang musnah akibat pertelingkahan puak, sebagai anggota ke-54," katanya kepada media Malaysia di akhir Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 di sini.

Komanwel, kata Najib, adalah institusi yang memberi penekanan kepada sistem nilai seperti demokrasi, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia dan sebagainya yang penting ke arah mencapai keamanan dunia serta mengelak kemusnahan negara.

Bagi saya, Komanwel telah berjaya menjawab kritikan yang seringkali mempersoalkan sama ada badan ini masih relevan.

"... dan ia tetap relevan," kata Najib tentang perkumpulan yang mewakili satu pertiga penduduk dunia yang tinggal dalam negara kecil dan besar, maju serta membangun.

Deklarasi perubahan iklim Komanwel, antara lain, menyokong pembiayaan permulaan segera dan mewujudkan geran pembiayaan, bagi membantu negara yang terjejas teruk dalam menangani kesan buruk perubahan iklim.

Perdana Menteri Denmark Lars Lokke Rasmussen, Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon turut berada di sini bagi melobi untuk mendapatkan sokongan kepada triti iklim baru yang akan dibincang secara panjang lebar pada sidang kemuncak perubahan iklim PBB di Copenhagen mulai 7 Disember ini.

Beliau turut menyambut baik usaha untuk mengadakan sidang kemuncak mengenai penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetes dan kanser pada 2011.

"Ramai rakyat Malaysia yang menderita akibat ketiga-tiga penyakit ini," katanya yang turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan beliau dari Bangladesh Sheikh Hasina Wajed, yang gagal dalam percubaannya untuk meminta Malaysia menarik balik pembekuan pengambilan pekerja dari Bangladesh.

Selepas tiga hari berbincang yang menyusuli perasmian CHOGM oleh Ratu England Ratu Elizabeth II pada Jumaat lalu, Ketua-Ketua Komanwel mengeluarkan Kenyataan CHOGM di samping Deklarasi Port of Spain: Perkongsian Bagi Masa Depan yang Lebih Saksama dan Lestari.

Dalam deklarasi itu, mereka mengakui bahawa CHOGM berlangsung di tengah-tengah krisis ekonomi dan kewangan global yang melemahkan, kemudahruapan harga komoditi utama dan kesan daripada perubahan iklim yang mencemaskan, yang mengancam keselamatan serta kehidupan berjuta-juta umat manusia. - Bernama

Gempa bumi lemah di Kuala Pilah

KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, awal pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini hari ini, gempa bumi itu berlaku jam 12.15 pagi dan berpusat di 22km timur Seremban.

Bagaimanapun, tiada gegaran dirasai akibat gempa bumi itu, menurut kenyataan itu. - Bernama