Followers

Wednesday, November 25, 2009

Ubat antiviral, vaksin H1N1 untuk rawat dan cegah jangkitan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan meminta agar orang ramai tidak bimbang atau ragu dengan keupayaan ubat antiviral dan vaksin influenza A(H1N1) yang sedang digunakan pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata meskipun terdapat beberapa kejadian mutasi virus itu dilaporkan, ubat antiviral dan vaksin influenza A(H1N1) masih sesuai dan berupaya untuk merawat serta mencegah jangkitan virus itu.

"Orang ramai tidak perlu risau mengenai perkara ini dan diseru untuk terus mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pada musim cuti ini, banyak penduduk Malaysia akan balik kampung atau melancong sama ada di dalam atau luar negara.

Justeru, katanya orang ramai yang mengalami gejala influenza-like illness (ILI) diminta agar tinggal di rumah atau menangguhkan perjalanan buat sementara sehingga satu hari selepas tiada lagi gejala berkenaan.

"Jika ada mereka yang mengalami gejala ILI semasa berada di luar negara, mereka diminta mengamalkan beberapa langkah seperti mendapatkan rawatan di klinik berdekatan, kerap basuh tangan dengan air bersih dan sabun atau bahan pencuci berasaskan alkohol serta adab batuk yang betul menggunakan sapu tangan atau tisu," katanya.

Bagi mereka yang mengalami gejala ILI selepas kembali dari bercuti terutamanya dari negara-negara di Hemisfera Utara, Dr Mohd Ismail menasihatkan mereka supaya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan dengan segera.

Sehingga hari ini, tiada kematian baru dilaporkan dan jumlah kematian akibat influenza A (H1N1) di negara ini kekal seramai 77 orang manakala hanya 13 pesakit atau tiga peratus daripada 391 kes disahkan positif H1N1. - Bernama

Pelaburan RM1.1 bilion tingkat infrastruktur Pelabuhan Pulau Pinang

GEORGETOWN: Pelaburan berjumlah RM1.1 bilion oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk jangka masa lima tahun bermula 2008 bertujuan meningkatkan infrastruktur pelabuhan dan terminal kontena selaras dengan hasrat memacu ekonomi negeri ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang positif dengan pelaburan itu berkata ia secara tidak langsung berupaya meningkatkan keberkesanan operasi pelabuhan Pulau Pinang yang menjadi pintu masuk utama sumber ekonomi.

"Pembangunan pelabuhan dan terminal kontena yang berterusan bertujuan memastikan semua kemudahan yang tersedia mesra pengguna iaitu elemen penting bagi memastikan persinggahan dan pelabuhan kapal yang tinggi di pelabuhan Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat oleh PPSB dalam lawatan kerjanya ke pelabuhan itu di sini hari ini.

Lim berkata bagi mencapai hasrat pelabuhan bertaraf dunia keupayaan pelabuhan Pulau Pinang untuk menyediakan kemudahan logistik yang kemas akan menjadi kayu pengukur utama kepada sasaran jumlah ketibaan kapal dagang di pelabuhan.

Selain itu Lim juga menyeru kerajaan pusat untuk memulihkan kembali projek mendalamkan North Channel Pelabuhan Pulau Pinang yang bernilai RM353 juta bagi kemudahan kapal kontena berlayar masuk.

"Sekiranya kerja pendalaman tidak dijalankan selaras dengan keperluan alam sekitar maka ia akan menjejaskan usaha untuk menjadi sebuah negeri hijau," katanya.

Lim juga berharap agar projek yang telah dijanjikan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu dapat dilaksanakan dalam RMK-10 ini. - Bernama

Banjir di Terengganu semakin buruk, Kelantan bertambah baik

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di daerah Kuala Terengganu dan Dungun di Terengganu semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat pagi ini, manakala di Kelantan keadaan bertambah baik dengan bilangan mangsa di pusat pemindahan berkurangan.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu berkata, jumlah mangsa banjir yang masih berada di 65 pusat pemindahan di seluruh negeri itu adalah 6,680 orang, terdiri 3,345 di Dungun, 1,205 di Kuala Terenggganu, 1,496 Marang, 379 Hulu Terengganu, 217 Kemaman dan 38 Setiu.

Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu di Kampung Pelong ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air 1.5 meter, katanya.

Di Besut, keadaan kembali pulih apabila semua mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di daerah berkenaan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing malam tadi.

Jurucakap itu berkata paras air di sungai utama di Terengganu, yang sebelum ini melepasi paras bahaya, hari ini kebanyakannya telah kembali ke paras biasa.

Namun, katanya, paras air di Sungai Nerus di Kampung Bukit pada pukul 9 pagi ini masih di paras bahaya 13.56 meter (bahaya 12.00 meter), Sungai Marang di Pengkalan Berangan berada pada paras 12.94 meter (paras waspada 12.5 meter). Cuaca di Terengganu hari ini kembali cerah.

Keadaan di beberapa kawasan yang dilanda banjir di Kelantan pagi ini bertambah baik, dengan 2,984 orang mangsa masih berada di pusat pemindahan berbanding 3,512 orang semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata sehingga pagi ini hanya pusat pemindahan di empat jajahan yang masih dibuka.

Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa pemindahan tertinggi iaitu seramai 1,704 orang, diikuti Tumpat dengan 917 orang, Kuala Krai seramai 310 orang dan Machang seramai 53 orang.

Jurucakap itu berkata jalan yang ditutup kepada lalu lintas kerana dinaiki air ialah di Jalan Pantai Cahaya Bulan di KM 4, Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata, Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu), Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh dan Jalan Pohon Tanjung-Pasir Pekan di Tumpat.

Katanya Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard dan Tambatan Diraja kini berada di atas paras amaran manakala Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Lebir di Tualang pula berada di atas paras berjaga-jaga.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 36 orang selepas satu pusat pemindahan baru dibuka di Raub.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, lima sekeluarga mula dipindahkan pagi semalam selepas kawasan penempatan mereka di Kampung Tasik Ria Sementah dinaiki air.

Mereka kini ditempatkan di balai raya Kampung Kundang Patah.

Seramai 31 orang dari Kampung Sungai Ular dan Kampung Chendor masih berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Cherating, Kuantan. - Bernama

Isu Nik Aziz, menantu selesai: Hadi

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menganggap isu berhubung kedudukan menantu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sudah selesai.

Beliau berkata campur tangan Pas pusat untuk menasihatkan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas bertujuan untuk menjaga nama baik parti dan juga kepimpinan parti.

"Menteri Besar dah buat keputusan supaya pegawai berkenaan (Abdul Ariffahmi) letak jawatan sebagaimana pandangan (yang diberikan) Pas pusat.

"Ini menunjukkan semangat musyawarah yang ditanam dalam parti kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang di bangunan Parlimen di sini.

Abdul Hadi juga berkata keputusan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz adalah berdasarkan kehendak keseluruhan anggota parti dan bukannya berdasarkan kehendak individu.

Semalam, arahan untuk Abdul Ariffahmi meletak jawatan tersebut dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz selepas satu rombongan Pas pusat bertemu dengan beliau selama sejam di kediaman rasminya di Kota Baharu, Kelantan. - Bernama