Followers

Sunday, November 22, 2009

Ahli perniagaan Malaysia raih anugerah Jerman-Malaysia 2009 di Berlin

BERLIN: Ahli perniagaan Malaysia, Ir Lee Swee Eng muncul seorang daripada dua pemenang yang meraih Anugerah Jerman-Malaysia 2009 berikutan sumbangan signifikan mereka dalam menggalakkan dan memperkukuhkan hubungan Jerman-Malaysia.

Lee adalah pengasas dan pengarah urusan kumpulan KNM Group Berhad.

Warga Jerman yang turut menerima anugerah itu ialah Walter Schlebusch, yang berkhidmat di sebuah syarikat berpangkalan di Munich, Giesecke & Devrient (GD).

Kedua-dua mereka menerima anugerah itu pada Jumaat lalu, dalam satu upacara khas yang diadakan di Kedutaan Malaysia di Berlin.

Upacara itu menyaksikan penyampaian anugerah terhadap individu yang memberi "sumbangan signifikan" dalam pelbagai bidang bagi menggalakkan dan memperkukuhkan hubungan Jerman-Malaysia.

Duta Malaysia ke Jerman Datuk Zakaria Sulong memberitahu Bernama bahawa Lee dan Schlebusch telah melaksanakan tugas yang baik dalam menggalakkan hubungan dua hala.

Beliau berkata langkah Lee mengambil alih Boersig, sebuah syarikat berpangkalan di Berlin dengan kos RM1.7 bilion menjadi bahan bualan dalam lingkungan industri di Jerman di samping mencetuskan minat kepada bakal pelabur Malaysia di Jerman. - Bernama

Produk keropok Terengganu masih selamat dimakan

KUALA TERENGGANU: Semua produk keropok termasuk keropok lekor yang dipasarkan di Terengganu masih selamat untuk dimakan, namun pengguna perlu memastikan ia dimasak sepenuhnya terlebih dahulu dan dimakan semasa masih panas.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah, berkata pengguna tidak digalakkan memakan keropok yang sudah sejuk walaupun telah digoreng atau direbus di kedai sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan penyakit taun.

"Keropok lekor dan keropok keping di negeri ini masih selamat untuk dimakan, tetapi bagi keropok lekor yang dibeli bungkus, sebaiknya apabila pulang ke rumah, ia hendaklah dimasak semula dan dimakan semasa ia masih panas.

"Ini kerana kita bimbang semasa proses pembungkusan ia juga terdedah dengan pencemaran terutama jangkitan kuman yang menyebabkan taun," katanya di sini, hari ini.

Pihaknya juga tidak mengeluarkan sebarang arahan melarang atau menarik balik bahan makanan kegemaran ramai itu yang telah diedarkan di pasar-pasar kerana ia bukan tidak boleh dimakan, cuma perlu dimasak semula dengan sempurna.

Beliau diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak untuk makan keropok terutamanya keropok lekor setelah produk itu dikenalpasti sebagai salah satu punca penularan wabak taun di negeri itu sekarang.

Persatuan Pengguna Terengganu juga dilaporkan menyarankan orang ramai tidak membeli keropok lekor atau keropok berasaskan ikan buat sementara waktu bagi mengelak jangkitan taun.

Kementerian Kesihatan semalam mengesahkan penggunaan ikan yang dicemari kuman ''Vibrio Cholera'' untuk pembuatan keropok sebagai antara punca penularan wabak taun sejak beberapa minggu lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam berkata, ikan berkenaan diperoleh dari negara jiran Thailand, berkemungkinan dibawa masuk ke negeri itu melalui Kompleks Perikanan Chendering yang membekalkan ikan ke daerah Kuala Terengganu dan Marang.

Selain keropok, sampel ayam mentah yang diambil dari Pasar Borong Gong Pauh di Wakaf Mempelam dan sampel swab di dua kilang ais di negeri itu juga didapati positif mengandungi kuman berkenaan.

Berikutan itu, dua kilang berkenaan telah diarahkan ditutup selain beberapa premis lain termasuk 11 kilang ais dan kedai-kedai makan.

Dr Nordiyanah berkata, mana-mana kilang yang mematuhi syarat penyediaan makanan yang ditetapkan, masih boleh beroperasi seperti biasa.

Tanpa mendedahkan statistik terbaru jangkitan taun di Terengganu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mementingkan kebersihan terutama dalam aspek pemakanan.

"Sekali lagi kita ingin mengingatkan penduduk yang mengalami simptom penyakit taun, iaitu cirit-birit dan muntah terutama selepas makan untuk mendapatkan rawatan segera, mengamalkan kebersihan diri, tidak makan di restoran atau gerai yang diragui tahap kebersihannya dan tidak minum air yang tidak dimasak," katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak bermain air pada musim banjir bagi mengelak dijangkiti penyakit itu dan pelbagai penyakit bawaan air.

"Kita bimbang apabila banjir berlaku kerana ia mengandungi kuman setelah air berkenaan tercemar apabila ia bercampur dengan pelbagai najis," katanya. - Bernama

Saturday, November 21, 2009

Keputusan UPSR 4 sekolah Sabah disemak semula, umum Isnin

KUALA LUMPUR: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di empat buah sekolah di Sabah ditahan kerana disemak semula dan hanya akan diumumkan Isnin ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian terpaksa menahan keputusan itu bagi membolehkan Lembaga Peperiksaan menilai semula jawapan pelajar kerana timbul unsur keraguan.

"Ia membabitkan tiga sekolah di Tawau dan satu di Keningau membabitkan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik.

"Disebabkan adanya ketidakpastian dan keraguan terhadap jawapan bagi tiga mata pelajaran itu, kementerian menahan keputusan UPSR bagi membolehkan jawapan itu dinilai semula.

"Penilaian telah siap dan pelajar-pelajar boleh mendapatkan keputusan masing-masing Isnin ini," katanya di sini, hari ini.

Keputusan UPSR seluruh negara diumumkan pada Khamis lalu.

Ditanya adakah penahanan keputusan itu disebabkan kebocoran kertas soalan, Alimuddin berkata: "Perkara itu tidak berlaku."

"Kes seumpama itu pernah berlaku sebelum ini. Tahun lalu pun ada. Tidak ada kebocoran kertas soalan. Apa yang berlaku ialah Lembaga Peperiksaan mendapati ada keraguan terhadap jawapan dan mereka menangguhkan keputusan untuk dikaji semula," katanya.

Beliau tidak memberi nama sekolah terbabit.

Mengenai kesan penahanan keputusan itu terhadap pelajar dan kebimbangan ibu bapa mengenai kemasukan anak-anak mereka ke sekolah berasrama penuh, Alimuddin berkata perkara itu tidak perlu dirisaukan kerana urusan kemasukan ke asrama penuh dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran.

Beliau berkata kementerian mempunyai senarai nama pelajar yang layak dan keputusan siapa yang terpilih juga ditentukan pihaknya.

"Sebenarnya masalah ini tidak timbul. Urusan kemasukan ke sekolah berasrama penuh dikendalikan oleh kementerian. Penahanan keputusan itu tidak mengganggu peluang mereka kerana kementerian mempunyai senarai nama mereka yang layak. Jadi ibu bapa tidak perlu risau mengenainya," katanya.

Pencapaian keseluruhan calon-calon tahun ini mengalami peningkatan berbanding tahun lepas dengan pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini telah meningkat sebanyak satu peratus berbanding 2008. - Bernama

Amaran hujan peringkat jingga di Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan ditingkatkan ke peringkat Jingga hari ini di semua daerah di Kelantan dan Terengganu dengan hujan monsun sederhana dijangka berterusan sehingga minggu depan.

Menurut kenyataan Jabatan itu, hujan lebat diramal berterusan sehingga Rabu depan dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah berdekatan sungai.

Di Pahang, hujan dari masa ke semasa dijangka berterusan hingga Selasa di daerah Jerantut, Kuantan, Pekan, Maran dan Rompin.

Keadaan sama juga akan berterusan sehingga esok di Perak, Kedah dan Perlis sehingga Rabu.

Kawasan yang terlibat di Perak ialah daerah Hulu Perak, Larut dan Matang manakala di Kedah ialah daerah Sik, Baling, Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar dan Pendang.

Amaran angin kencang dan laut bergelora juga dipertingkatkan ke kategori kedua untuk angin kencang Timur Laut di perairan Condore di Laut China Selatan dengan kelajuan 50-80km sejam dan ombak setinggi 4.5 meter dijangka akan berlaku sehingga esok.

Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Angin kencang sehingga mencapai kelajuan 40-50km sejam dengan keadaan ombak setinggi 3.5 meter pula berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Kudat di utara Sabah berterusan sehingga Selasa.

Keadaan ini berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Ribut petir yang berlaku di perairan Langkawi, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah (Kudat dan Sandakan) dan Laut Sulu dijangka berterusan sehingga tengahari ini menyebabkan ombak setinggi 2.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil. - Bernama