Followers

Monday, November 16, 2009

Kerajaan selamat RM40 juta sebulan dengan Subur

JITRA: Kerajaan boleh menyelamatkan kira-kira RM40 juta sebulan melalui penggunaan sistem kupon di bawah program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) bulan depan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata mekanisme penggunaan kupon ini dapat mencegah ketirisan berlaku yang bermula di kilang apabila beras Super Tempatan 15 peratus (ST15) ditukar menjadi ST10.

"Ketirisan ini bermakna matlamat kerajaan membantu golongan miskin tidak tercapai kerana cuma kira-kira 20 peratus sahaja yang mendapat beras ST15," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan bangunan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah bagi Parlimen Kubang Pasu/Padang Terap/Jerlun di Taman Mahsuri.

Mohd Johari yang juga pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah berkata, perkara itu berlaku apabila beras ST15 ditukar "baju" menjadi ST10.

"Di sini dah untung 60 sen. Bila ditukar lagi baju menjadi ST5 untung menjadi lebih RM1 sekilogram. Ini antara punca beras ST15 tiada di pasaran. Sebab itu kerajaan memutuskan mekanisme kupon digunakan," katanya.

Mulai 1 Disember ini, lebih 200,000 keluarga di seluruh negara bakal menikmati Subur yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.

Melalui Subur golongan miskin, miskin tegar termasuk Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak mendapatkan baucar untuk ditukarkan bagi mendapatkan atau membeli beras terutamanya beras ST15.

Golongan miskin tegar akan mendapat baucar bernilai RM24 yang membolehkan mereka mendapat sekampit beras 10kg bernilai RM24 dan dengan tiga baucar bernilai RM24 diberi dalam sebulan, mereka akan mendapat 30kg beras secara percuma. - Bernama

Risda akan dikembang ke Sabah

SEMPORNA: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan mengembangkan aktivitinya ke Sabah bagi membantu pekebun kecil getah di negeri itu, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Shafie berkata, melalui langkah itu, penduduk yang memiliki tanah tetapi tidak cukup modal dan kemahiran dapat dibantu memajukan tanah mereka.

"Perkara ini sudahpun dipanjangkan kepada pihak kerajaan negeri malah saya telah pun menemui Datuk Yahya Husin (Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah) mengenainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama rakyat di sini hari ini.

Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, pada mesyuarat Kabinet lalu yang mempelawa Risda mengembangkan aktivitinya di negeri itu.

Katanya, kehadiran Risda di Sabah cuma sebagai pelengkap kepada aktiviti Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) iaitu agensi kerajaan negeri berkaitan industri getah di Sabah.

"Pengembangan aktiviti Risda ke Sabah juga tidak akan menjejaskan bantuan tahunan kerajaan persekutuan kepada agensi kerajaan negeri berkenaan," katanya. - Bernama

Iran kutuk usaha AS rampas masjid

TEHRAN: Iran hari ini mengutuk tindakan Amerika Syarikat untuk merampas empat masjid dan sebuah bangunan pencakar langit di New York daripada badan amal Islam yang disyaki mempunyai kaitan dengan negara itu.

Speaker Parliamen Iran, Ali Larijani, berkata tindakan itu menunjukkan slogan Presiden Barack Obama untuk berubah adalah pembohongan dan beliau tiada bezanya dengan bekas Presiden, George W Bush.

“Pelanjutan kekangan terhadap Iran untuk setahun lagi oleh Presiden Amerika dan pembekuan akaun dan aset Yayasan Alavi di Amerika amat memalukan.

"Selepas setahun dengan ucapan dan slogan yang kosong, sikap dan tindak tanduk presiden ini tiada bezanya dengan presiden lalu," katanya kepada Parlimen Iran.

Dalam apa yang mungkin menjadi rampasan terbesar antikeaganasan dalam sejarah AS, pendakwaraya mengemukakan aduan awam di mahkamah persekutuan terhadap Yayasan Alavi untuk merampas aset bernilai lebih AS$500 juta.

Aset itu termasuk akaun bank, pusat Islam yang terdiri daripada sekolah dan masjid di New York, Maryland, California dan Houston; lebih 100 ekar tanah di Virginia; dan menara pejabat 36 tingkat di Manhattan. - AP

Apec tegas untuk pulihkan ekonomi dunia: Najib

SINGAPURA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Asia Pasifik (AELM) telah melahirkan satu ketetapan yang tegas dan konkrit dalam usahanya untuk memulihkan ekonomi dunia.

Perdana Menteri berkata, pemimpin 21 ekonomi Asia Pasifik itu dengan tegas menolak sebarang langkah ke arah perlindungan perdagangan, dan mahukan rundingan Pusingan Doha dimuktamadkan menjelang akhir tahun depan.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat itu di sini, Najib berkata mereka juga bersetuju untuk menyelaraskan tindakan dalam usaha membangunkan ekonomi serantau supaya lebih mampan, inklusif dan seimbang.

Katanya, mereka juga mahu melihat rantau ini mempunyai pembangunan yang seimbang, terbuka, mempunyai jaringan keselamatan sosial, kemajuan dalam perusahaan kecil dan sederhana serta boleh dinikmati secara adil dan saksama oleh penduduk serantau.

"Turut disentuh dalam mesyuarat AELM itu ialah soal perubahan iklim kerana ia ada kaitan dengan malapetaka yang boleh berlaku pada bila-bila masa dan bagi menghadapinya semua ekonomi itu bersetuju untuk membantu dalam sebarang operasi bantuan bencana," katanya.

Mengenai usaha menyatukan ekonomi rantau ini, Najib berkata pemimpin Asia Pasifik akan meneruskan usaha untuk membawa ekonomi masing-masing ke arah itu.

Malah, katanya, sekarang pun sudah ada inisiatif oleh satu kumpulan baru dipanggil Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang hendak meluaskan lagi kawasan perdagangan bebas.

TPP adalah satu kerjasama antara Brunei, Singapura, Chile serta New Zealand dan mula mendapat minat Amerika Syarikat, Australia, Peru dan Vietnam.

Perdana Menteri berkata, disebabkan semakin banyak kumpulan serupa itu seperti Asean, Asean+3, Asean+6 dan kini TPP, maka usaha hendaklah dilakukan bagi menyelaraskan peranan mereka ke arah satu matlamat utama meluaskan kawasan perdagangan bebas.

Mesyuarat santai itu yang berlangsung sejak semalam dipengerusikan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. - Bernama