Followers

Saturday, November 14, 2009

2 mati selepas diberikan vaksin selesema babi

BEIJING: Kementerian Kesihatan China berkata dua pesakit yang menerima vaksin untuk virus Influenza A (H1N1) mati, walaupun kematian seorang daripadanya dilihat tidak mempunyai kaitan.

Dalam kenyataan yang dipaparkan di laman web kementerian itu, lewat semalam berkata, autopsi menunjukkan seorang daripada mereka mengalami serangan jantung manakala bedah siasat seorang lagi mangsa sdang dijalankan ketika ini.

Berikutan itu, pakar berkata kemungkinan mangsa serangan jantung mati akibat alahan terhadap vaksin selesema itu diketepikan.

Bagaimanapun, pakar masih menunggu keputusan makmal.

Kementerian itu berkata, lebih 13 juta rakyat China menerima vaksin selesema babi ketika ini. - AP

Nasa temui air di bulan

WASHINGTON: Sejumlah kandungan air beku ditemui di bulan, kata agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS), semalam, di mana ia adalah penemuan terbesar ke arah penerokaan angkasa lepas dan meningkatkan harapan bagi pangkalan lunar secara tetap.

Data awal daripada eksperimen di bulan menunjukkan misi itu berjaya menemui air yang dibayangi kawah lunar," kata Nasa dalam satu kenyataan.

"Penemuan ini membuka harapan baru dalam memahami bulan," tambahnya, yang meraikan penemuan bermakna itu.

"Ya, kami menemui air dan kami tidak menemuinya dalam kandungan sedikit tetapi pada kandungan yang banyak," kata saintis projek dan penyiasat utama misi LCROSS bernilai AS$79 juta. - AFP

Guna agama untuk kepentingan politik perlu dapat tauliah: Tun Mahathir

KOTA KINABALU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan penceramah yang menggunakan agama untuk kepentingan politik turut dikenakan syarat mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam negeri, bagi mengelak agama diputarbelitkan untuk kepentingan peribadi dan politik.

Beliau berkata, pihak berkenaan wajar dikenakan syarat itu kerana menggunakan agama bukan untuk kepentingan meningkatkan syiar Islam, sebaliknya demi kepentingan politik sempit.

"Kalau nak bagi tauliah, perlu tauliah kepada semua. Ada orang berceramah politik tetapi atas landasan agama tanpa tauliah (daripada Jabatan Agama Islam negeri).

"Kalau gunakan Islam untuk perkara lain, orang itu tidak boleh berceramah. Sepatutnya Jabatan Agama Islam negeri pergi tangkap orang macam ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) di Hotel Novotel di sini, hari ini.

Friday, November 13, 2009

Pelaburan haram: SC bayar RM31 juta kepada mangsa

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) sudah menyelesaikan kes penipuan pelaburan haram terbesar negara yang bernilai RM31 juta, kata Pengerusinya, Tan Sri Zarinah Anwar.

Bercakap dalam sidang akhbar di sini, hari ini, beliau berkata, SC dijangka membayar semula wang pelaburan haram SwissCash kepada mangsa seawal tahun depan selepas mendapat kelulusan mahkamah.

Katanya, SC akan melantik pihak pentadbir untuk menguruskan proses tuntutan berkenaan.

"Untuk layak mendapat pampasan itu, pelabur perlu kemukakan dokumen berkaitan sebagai bukti pelaburan yang dibuat mereka," katanya.