Followers

Thursday, November 12, 2009

Indonesia mahu bersama Malaysia buktikan Islam seiring demokrasi: Susilo

KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, berkata negara itu ingin bersama-sama Malaysia membuktikan kepada dunia bahawa agama Islam adalah seiring dengan demokrasi moden.

Beliau berkata, republik itu juga mahu bersama negara Islam lain membangunkan satu model dan membuktikan bahawa Islam juga mempunyai nilai yang dimiliki peradaban lain.

"Tun Musa Hitam betul, Indonesia seperti Malaysia ingin membuktikan tidak ada konflik antara demokrasi dan Islam. Saya baru saja bercakap di Universiti Harvard bahawa tidak benar antara Islam dan demokrasi itu tidak seiring.

"Mari kita buktikan bahawa nilai Islam juga memiliki nilai yang dimiliki peradaban lain," katanya pada majlis makan tengah hari sempena lawatan rasmi beliau ke negara ini di sini, hari ini.

Majlis itu dianjurkan Majlis Promosi Hubungan Antara Malaysia-Indonesia yang dipengerusikan Musa.

Turut hadir pada majlis itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, berucap mengalukan kehadiran Presiden Indonesia itu, Musa berkata, kejayaan Susilo memenangi pilihan raya presiden untuk penggal kedua secara berturut membuktikan demokrasi boleh berlangsung sekalipun di negara Islam yang sedang membangun.

"Nama SBY (Susilo Bambang Yudhoyono) bila disebut membawa imej segera kepada kita bahawa beliau seorang Presiden Indonesia yang mengukir sejarah kerana dipilih secara demokrasi terbuka buat kedua kali.

"Beliau dapat membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa demokrasi juga membantu dalam memajukan masyarakat," katanya.

Musa menyifatkan kejayaan Susilo memenangi pilihan raya kali kedua itu diteguhkan dengan pemerintahan yang bukan saja berjaya meningkatkan ekonomi negaranya tetapi juga perubahan-perubahan lain yang dilakukan beliau.

"Bapak Presiden buktikan beliau serius untuk kikis gejala negatif dalam pentadbiran Indonesia yang bawa akibat buruk kepada masyarakat Indonesia, sekarang kita nampak kejayaan (walaupun) perlahan-lahan tetapi maju ke depan," katanya lagi.

Dalam ucapannya itu yang didengari oleh lebih 200 tokoh daripada komuniti perniagaan Malaysia dan Indonesia, Susilo turut berterima kasih kepada masyarakat Malaysia atas sambutan yang begitu memberangsangkan.

"Saya datang dengan niat yang tulus membawa pesan persahabatan daripada rakyat Indonesia untuk rakyat Malaysia dan marilah kita jemput masa depan kita dengan optimisme yang tinggi dengan niat yang baik dengan pemikiran yang positif bahawa Malaysia dan Indonesia akan lebih kukuh dan bisa (boleh) bekerjasama lebih baik lagi, bahkan kita akan menjadi bahagian penting daripada perkembangan dunia yang makin aman, makin adil, makin demokratis," kata beliau.

Susilo juga berkata, beliau menghormati Malaysia dalam pelbagai perkara dan banyak belajar daripada negara ini.

Presiden Indonesia itu tiba di sini semalam bersama isteri, Ani Bambang Yudhoyono dalam rangka lawatan rasmi dua hari.

Malaysia adalah negara pertama yang dilawati beliau selepas mengangkat sumpah sebagai presiden buat penggal kedua Oktober lalu. - Bernama

Susilo beri isyarat positif hubungan dua hala: Najib

PUTRAJAYA: Hasil lawatan dua hari Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, ke Malaysia sangat bermakna dan memberi isyarat positif dalam hubungan dua hala serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Demikian kesimpulan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai lawatan itu, yang berakhir hari ini.

Najib berkata, dua mesej utama yang dapat disimpulkan ialah mewujudkan lebih banyak peluang bagi interaksi ekonomi dan membantu membuat lebih banyak rakan daripada kedua-dua negara.

"Kedua-dua pemimpin sepakat kedua-dua kerajaan beriltizam untuk terus memantapkan hubungan kedua-dua negara supaya tidak berlaku pasang surut tetapi kekal sebaik mungkin," katanya.

Najib berkata, mereka sedar walaupun berlaku beberapa masalah tetapi ia bersifat kecil dan berlaku dalam kelompok kecil sahaja dan ia tidak patut menutup kebaikan besar yang dilakukan oleh kedua-dua pemerintah.

Susilo pula berkata, beliau inginkan tali persahabatan dan persaudaraan kedua-dua bangsa yang memiliki akar budaya yang sama dapat dijaga dengan sebaik-baikya.

"Jika ada masalah, atasi cepat-cepat kerana tidak mahu kerana sedikit masalah boleh menjejaskan hubungan yang baik," katanya.

Beliau sedar tentunya masalah kecil akan timbul sekali-sekala antara kedua-dua negara disebabkan terdapat ramai rakyat Indonesia di Malaysia dan juga ramai rakyat Malaysia di Indonesia serta kedudukan negara jiran yang berdekatan antara satu sama lain.

"Indonesia tidak ada masalah dengan Somalia atau Afrika," katanya yang bermaksud sudah tentu keadaan itu berlaku disebabkan tidak ramai rakyat Indonesia di negara-negara tersebut, ditambah pula kedudukan negara-negara itu yang jauh.

Bagi meningkatkan kerjasama ekonomi kedua-dua negara, Susilo berkata kedua-dua negara perlu mencari peluang-peluang sejajar dengan peranan Asia termasuk Asia Tenggara, sebagai kuasa ekonomi global yang baru.

Katanya, lebih banyak usaha perlu dilakukan di kawasan pertumbuhan BIMP (Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina) dan IMT-GT (Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand).

Najib pula berharap lebih ramai pelabur Indonesia melabur di Malaysia serta pelabur kedua-dua negara boleh melabur di Indonesia yang mempunyai banyak kawasan dan tenaga kerja bagi menjamin jaminan bekalan makanan.

Malaysia, katanya, boleh menyalurkan lebihan tenaga ke Indonesia.

Kerjasama ekonomi itu juga boleh meliputi tindakan bersama memerangi kempen antiminyak sawit, promosi pelancongan dan produk halal.

Bagi mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua negara, Najib berkata selain meneruskan hubungan antara pemimpin dan institusi sedia ada kedua-dua negara, hubungan antara media, institusi Parlimen, parti politik, badan bukan kerajaan dan belia antara kedua-dua negara perlu diwujudkan.

"Kita perlu wujudkan lebih banyak Friends of Malaysia in Indonesia and Friends of Indonesia in Malaysia.

"Begitu juga peranan Kumpulan Tokoh-tokoh Terkemuka kedua-dua negara perlu menginstitusikan kumpulan itu supaya cadangan mereka berbentuk lebih proaktif dan bukan bertindak apabila ada masalah sahaja," katanya.

Susilo juga senada dengan Najib dalam mengeratkan lagi hubungan rakyat kedua-dua negara.

Presiden itu berkata, hasil pemantauan kerajaannya mendapati layanan yang diterima pekerja Indonesia di negara ini daripada segi hak pekerja dan perlindungan sebagai bertambah baik dari tahun ke tahun.

Dalam lawatan itu, Susilo dan isterinya, Ani Yudhoyono, menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.

Susilo dan isterinya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang petang ini untuk ke Singapura bagi menghadiri Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik. - Bernama

Mekanisme baru subsidi minyak Mei depan

KUALA LUMPUR: Mekanisme baru sistem pengurusan subsidi minyak untuk rakyat akan dimulakan Mei tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung.

Beliau berkata, pengumuman mengenai mekanisme itu akan dibuat selepas kajian terperinci mengenai cara pemberian subsidi dan golongan sasar dikenal pasti.

"Buat masa ini, saya tak dapat beritahu mekanisme pada keseluruhannya dengan terperinci sebab kerajaan masih dalam proses mengadakan rangkanya.

"Hanya pada Mei tahun depan kita akan mula mekanisme baru subsidi yang mana kumpulan sasar rakyat akan terima manfaatnya," katanya menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini mengumumkan mengenai sistem pengurusan subsidi minyak yang akan dilaksana tahun depan bagi memastikan hanya golongan sasar mendapat manfaatnya.

Mengenai jumlah subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan sehingga September lepas, Chor berkata jumlahnya ialah RM3.54 bilion.

"Selain itu dianggarkan jumlah tanggungan subsidi bagi tahun 2010 ialah RM10 bilion sekiranya mekanisme sedia ada dikekalkan," katanya. - Bernama

Wednesday, November 11, 2009

Presiden Indonesia tiba di Malaysia bagi lawatan dua hari

SEPANG: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, tiba hari ini untuk lawatan dua hari ke Malaysia, negara pertama yang dilawatinya selepas dipilih semula untuk penggal kedua pada 20 Oktober lalu.

Ketibaan beliau, bersama isteri, Ani Yudhoyono dan rombongannya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebagai menteri pengiring dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Susilo kemudian beredar ke Bangunan Parlimen untuk sambutan rasmi sebelum mengunjungi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Esok, beliau dijadual mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai isu-isu kepentingan bersama, serantau dan antarabangsa.

Susilo dijangka berlepas ke Singapura petang esok. - Bernama