Followers

Tuesday, November 10, 2009

Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih

KOTA BAHARU 10 Nov. — Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih berikutan hanya hujan renyai-renyai serta cuaca panas di negeri ini dengan 3,643 mangsa masih ditempatkan di 15 pusat pemindahan banjir di dua jajahan iaitu di Pasir Mas dan Tumpat berbanding 4,000 orang semalam.

Ketua Pegawai Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri (PKOBN), Wan Mustapha Wan Abdul Hamid berkata, di Pasir Mas seramai 2,281 orang ditempatkan di 12 pusat pemindahan banjir membabitkan 622 keluarga dan di Tumpat seramai 1,362 orang di tiga pusat pemindahan membabitkan 406 keluarga.

"Daerah-daerah lain sudah kembali pulih,” katanya.

Katanya, jalan-jalan yang ditutup ialah Jalan Rantau Panjang lama di Kampung Siram yang ditutup kepada semua lalu lintas dan di Kampung Meranti, juga di Pasir Mas, hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

Di Tumpat, Jalan Kasban masih ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air sehingga satu meter.

Tempat menyukat banjir di Kampung Jenob di Sungai Golok masih menunjukkan paras bahaya iaitu sedalam 20.16 meter manakala di Rantau Panjang sedalam 9.22 meter di mana paras bahaya adalah sembilan meter.

Sehingga kini belum ada korban mangsa banjir dilaporkan dalam bencana itu. - Bernama

Mangsa banjir di Kedah meningkat

ALOR SETAR: Jumlah mereka yang dipindahkan akibat banjir di Kedah meningkat kepada 2,060 sehingga 7 malam ini berbanding 1,203 orang tengah hari tadi.

Kota Setar menjadi daerah terbaru yang dilanda banjir apabila 379 orang mangsa dari 112 keluarga dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata, daerah Pokok Sena mencatatkan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 989 orang dari 181 keluarga diikuti Kubang Pasu seramai 569 orang (127 keluarga) dan Padang Terap seramai 123 orang (25 keluarga).

Katanya, bacaan paras air sungai di Sungai Kepala Batas, Kota Setar ialah 4.16 meter melebihi paras bahaya 3.50 meter dan Sungai Bata di Kubang Pasu 9.22 meter (bahaya 9.15 meter). - Bernama

Mangsa banjir Kedah meningkat kepada 1,203 orang

ALOR SETAR: Jumlah mereka yang dipindahkan akibat banjir di Kedah meningkat kepada 1,203 orang sehingga 12 tengah hari tadi berbanding 752 orang petang semalam.

Pokok Sena menjadi daerah terbaru yang dilanda banjir apabila 512 orang mangsa daripada 134 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan banjir hari ini.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata bahawa di Kubang Pasu, bilangan mangsa yang masih berada di pusat pemindahan ialah 516 orang dan di Padang Terap 175 orang.

Katanya bacaan paras air di Sungai Bata di Kubang Pasu ialah 9.22 meter, melebihi para bahaya 9.15 meter. - Bernama

Gempa bumi kuat gegar kepulauan Fiji

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter melanda kepulauan Fiji pada jam 6.45 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan pusat gempa bumi itu ialah di 102 kilometer dari Timur Laut Suva, Fiji dan 7,059 kilometer dari Tenggara Kunak, Sabah.

Bagaimanapun, gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia. - Bernama