Followers

Saturday, November 7, 2009

Siswazah perubatan Malaysia catat pencapaian membanggakan

MELBOURNE: Kumpulan pertama 47 doktor Malaysia lulusan program perubatan Monash University, Australia yang dikendalikan di Malaysia akan menamatkan pengajian bulan ini.

Mereka adalah siswazah perubatan antarabangsa yang diiktiraf sepenuhnya oleh Majlis Perubatan Australia, demikian menurut majalah universiti itu, Monash Magazine.

Mereka adalah kumpulan siszawah pertama yang membahagikan masa pengajian di kampus serta hospital di Malaysia dan Australia, memperoleh pengalaman dunia perubatan di kedua-dua negara.

Kumpulan itu juga adalah kumpulan pertama penuntut perubatan Monash yang melakukan pengkhususan pengajian Malaysia dalam bidang seperti ubat-ubatan tropika dan akan bertugas di klinik di Kuala Lumpur, Segamat, Pontian dan Kulai.

Mereka membabitkan kumpulan pertama yang menjalani latihan di Sekolah Klinikal yang dibina khas bernilai RM1.8 juta dan Hospital Sultanah Aminah Hospital di Johor Bahru.

Profesor Datuk Dr Anuar Zaini Md Zain, Ketua Pengajian Perubatan dan Sains Kesihatan, melihat sendiri kumpulan pertama doktor muda berkenaan belajar dan matang untuk menjadi pakar perubatan mahir.

"Saya berpendapat kerana pengiktirafan oleh Majlis Perubatan Australia, standard pengajian ini jelas mencapai tahap yang amat tinggi," menurut laporan Monash Magazine yang memetik Dr Anuar Zaini sebagai berkata.

Shakirah Sharif, dari Kuala Lumpur, menamatkan latihan klinikal pengajian tahun akhir di Alfred Hospital, Melbourne.

"Saya mempunyai satu keinginan untuk mencapai sesuatu lain daripada yang lain. Oleh itu, apabila saya berada dalam kumpulan pertama penuntut yang akan menamatkan pengajian ini saya rasa adalah suatu tidak asing bagi saya," katanya kepada Monash Magazine.

"Saya rasa ada peluang untuk saya membantu menambah baik sistem perubatan di Malaysia," kata Shakira, seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Perempuan Bukit Bintang. - Bernama

Banjir Terengganu: 3,359 mangsa banjir daripada 861 keluarga

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 3,359 orang daripada 861 keluarga yang sudah dipindahkan ke 53 pusat pemindahan sejak semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, sehingga jam 11 pagi tadi, daerah Besut adalah kawasan paling teruk terjejas apabila seramai 1,567 orang daripada 369 keluarga terutama dari kawasan Hulu Besut telah dipindahkan ke pusat pemindahan di Masjid Kampung Belauh, Masjid Kampung La, Dewan Orang Ramai Keruak, Surau Kampung Pak Sik dan Sekolah Kebangsaan Bukit Payung.

Banjir di daerah itu menyebabkan beberapa jalan ditutup kepada semua kenderaan.

Antara jalan yang masih ditutup kerana dinaiki air sedalam satu meter termasuk, Jalan Jerteh Pasir Akar-Kampung Keruak di Kampung La, Jalan Jabi (Kampung Oh)-Pasir Akar di Kampung Darau dan Jalan Seberang Jerteh - Kuala Besut di Kampung Nangka.

Di Hulu Terengganu, seramai 789 orang daripada 253 keluarga telah dipindahkan. Antara kampung yang terbabit termasuk Kampung Peladang, Kampung Penih dan Kampung Cheting.

Beberapa jalan yang ditutup untuk semua kenderaan termasuk Jalan Pengkalan Ajal - Simpang Felda Tersat di Pengkalan Ajal, Jalan Bukit Perah-Kuala Kenjir di Kampung Jak dan Jalan Matang-Kuala Telemong di Kampung Bukit Tadok selepas dinaiki air antara satu hingga 2 meter. Sementara Jalan Kuala Berang-Sungai Tong dan Jalan Kuala Berang-Telemong sudah di buka kepada semua kenderaan.

Di Setiu, sejumlah 432 mangsa daripada 111 keluarga di Kampung Merbau, Sungai Tong telah dipindahkan ke Kampung Merbau Menyusut.

Jalan Kampung Bukit Nyiur-Kampung Tok Nandang, Jalan Pengkalan Merbau-Kampung Pelong di Seri Kenanga dan Jalan Bandar Permaisuri-Hulu Seladang di Kampung Che Long ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air lebih satu meter.

Di Dungun, seramai 571 orang daripada 128 keluarga dari Kampung Nyiur, Paka; Kampung Besul Lama, Bukit Besi dan Kampung Paya Balai Besar dipindahkan ke tiga pusat pemindahan berhampiran. Jalan ditutup untuk semua kenderaan ialah Jalan Tok Kah - Kampung Lintang di Kampung Telaga Papan selepas dinaiki air setinggi 0.6 meter.

Jurucakap itu berkata, daerah Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu tiada mangsa banjir yang dipindahkan dan semua jalan masih boleh dilalui semua kenderaan termasuk jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan.

Bagaimanapun, Jalan Chukai ke Air Putih di Jambatan Teladas yang dinaiki air sedalam 1.5 meter dan ditutup kepada semua kenderaan.

Friday, November 6, 2009

Najib lawat Sabah esok

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan rasmi ke Sabah selama dua hari mulai esok.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dijadual merasmikan tiga mesyuarat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah sepanjang lawatan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata sejurus tiba petang esok, Najib akan merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) di salah sebuah hotel di sini.

"Esoknya Perdana Menteri akan menghadiri Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) di 1Borneo, dekat sini sebelum menghadiri majlis makan tengah hari bersama pemimpin Umno Sabah, katanya kepada pemberita selepas melancarkan identiti korporat baru RHB Islamic Bank cawangan Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Musa berkata, pada sebelah petang, Najib dijadual merasmikan konvensyen Nasional Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) di Dewan Pusat Kebudayaan Penampang sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. - Bernama

Strategi, langkah Bajet 2010 mesti ikut jadual: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan menetapkan tugasan dan tanggungjawab serta jangka masa pelaksanaan semua strategi dan langkah Bajet 2010 kepada kementerian dan agensi untuk memastikannya dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

Perdana Menteri berkata, ini bagi memastikan semua langkah dapat dilaksanakan demi faedah dan manfaat rakyat.

"Tindakan susulan akan diambil untuk memastikan semua objektif dicapai dalam masa yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan akhbar sempena mesyuarat tindakan susulan Bajet 2010 di sini.

Najib berkata, Unit Pengurusan Projek (PMU) Kementerian Kewangan akan memantau pelaksanaan semua langkah bajet 2010 dalam memastikan ianya berjalan degan lancar dan berkesan.

Perdana Menteri berkata, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang mempunyai cawangan di negeri dan daerah akan bertindak sebagai penyelaras.