Followers

Wednesday, November 4, 2009

Hu Jianto adakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia

PUTRAJAYA: Presiden China, Hu Jianto, akan membuat lawatan rasmi dua hari ke Malaysia pada 10 dan 11 November ini, sekali gus menjadi lawatan pertama pemimpin tertinggi republik itu ke negara ini sejak memegang jawatan pada 2002.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kali terakhir Hu melawat Malaysia ialah pada April 2002 ketika beliau (Hu) menjadi Naib Presiden China.

Beliau berkata, lawatan rasmi itu adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin.

"Hu akan akan diiringi isterinya, Liu Yongqing dan 140 ahli rombongan serta 80 wakil media massa republik berkenan," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Luar Turki, Prof Dr Ahmet Davutoglu di Wisma Putra, di sini, hari ini.

Anifah berkata, lawatan Presiden China itu adalah sebagai membalas lawatan bekas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Jamalullail ke China pada 2005 dan Tuanku Mizan yang menghadiri majlis pembukaan rasmi Sukan Olimpik di Beijing pada Ogos 2008.

Beliau berkata, Hu akan menghadap Tuanku Mizan di Istana Negara dan kemudiannya menghadiri santapan negara pada hari pertama lawatannya.

Katanya, Hu akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Datuk Seri Najib Razak dan menghadiri jamuan makan tengahari yang dihoskan Perdana Menteri dan dijangka membincangkan

beberapa isu bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala.

bayaran khas RM500 untuk semua penerima pencen

KUALA LUMPUR: Bayaran khas RM500, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober lalu, akan diberikan kepada semua penerima pencen.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyatakan, bayaran khas ini termasuk pesara pilihan dan pesara atas sebab lain serta balu, duda dan anak.

Dalam kenyataan JPA untuk menjelaskan perkara itu menyatakan hari ini bahawa pemberian bayaran khas itu juga meliputi penerima pencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Penerima pencen yang layak menerima bayaran khas ini ialah mereka yang menerima pencen bulanan pada bulan Disember 2009," menurut JPA.

Sebelum ini, bayaran khas itu diumumkan akan diberikan kepada penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 serta pesara wajib.

September lalu, kerajaan mengumumkan bayaran khas kewangan RM500 kepada 860,000 penjawat awam kumpulan sokongan yang dibayar dua kali iaitu pada September dan Disember yang membabitkan jumlah kewangan RM430 juta.

JPA berkata bayaran melalui bank akan dilakukan pada 14 Disember depan, iaitu sehari sebelum tarikh pembayaran pencen bagi bulan itu yang ditetapkan pada 15 haribulan.

"Bagi mereka yang dibayar secara waran, waran berasingan akan dikirimkan pada awal Disember bagi membolehkan penunaian pada 14 Disember 2009," kata JPA. - Bernama

Malaysia lakar kejayaan dalam kewangan Islam: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia melakar kejayaan penting dalam bidang kewangan Islam yang pada akhir suku kedua tahun ini, menyumbang hampir 19 peratus daripada jumlah aset perbankan.

Perdana Menteri berkata, sehingga akhir Ogos lalu, pasaran modal Islam turut mencecah RM803 bilion, mewakili 54 peratus daripada pemodalan pasaran Bursa Malaysia.

"Jumlah pembiayaan kini sebanyak RM115 bilion yang juga 15.5 peratus daripada portfolio kewangan dalam industri perbankan. Pembiayaan bersih tidak berbayar kekal rendah pada 2.4 peratus," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) Keenam di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia juga berusaha meningkatkan hubungannya dengan sektor kewangan Islam yang lain menerusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).

"Untuk tujuan itu, Malaysia sudah menjalin perjanjian menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai pihak untuk usaha sama dan pembabitan yang lebih baik dalam kewangan Islam untuk manfaat bersama," katanya.

Najib berkata Malaysia akan terus memimpin cara untuk meningkatkan capaian dalam kewangan Islam dan lebih banyak MoU akan dimeterai dengan pihak lain di seluruh dunia pada masa depan.

Katanya, kewangan Islam adalah elemen penting dan strategik dalam pemulihan ekonomi dunia daripada krisis kewangan yang telah menjejaskan kepercayaan terhadap institusi perbankan dan kewangan.

"Meskipun kewangan Islam terlepas daripada krisis yang berpunca daripada amalan pembiayaan dan inovasi kewangan yang tidak berhemat, kita tidak mampu duduk selesa," katanya.

Najib turut menggariskan bebrrapa pemacu utama bagi memastikan daya pulih kewangan Islam dalam menahan impak krisis semasa dan akan datang.

"Pertama, pastikan inovasi dalam kewangan Islam terus berasaskan pada Maqasid al Shariah (objektif Syariah) yang berperanan sebagai bahagian penting dalam paradigma perniagaan kewangan Islam dalam merealisasikan manfaat untuk rekyat.

"Selain itu, pastikan inovasi disokong oleh tadbir urus yang kukuh yang mendukung kebenaran institusi kewangan Islam," katanya.

Beliau berkata, sistem pengurusan risiko juga perlu bersesuaian untuk melindungi inovasi dalam kewangan Islam.

Katanya, infrastruktur sokongan dan menyeluruh seperti undang-undnag, kawal aturan dan kerangka kerja pemantauan perlu ada bagi menangani elemen unik pembangunan industri kewangan Islam.

"Ia perlu disokong oleh aturan institusi bagi menyelesaikan segera, berkesan dan berkos efektif bagi institusi kewangan yang bermasalah dan kerangka kewangan bersih dan selamat serta sistem insurans deposit," katanya. - Bernama

Gempa sederhana landa Kepulauan Andaman

PELABUHAN BLAIR: Gempa sederhana 5.4 Richter melanda utara Kepulauan Andaman, India, awal pagi tadi, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa berlaku jam 3.35 pagi waktu tempatan (2135 GMT) di kedalaman 32 kilometer (km).

Gegaran berpusat di 266km utara Pelabuhan Blair, di Kepulauan Andaman dan Kepulauan Nicobar, dalam wilayah India di Teluk Bengal.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kerosakan atau mangsa yang cedera. - AFP