Followers

Sunday, November 1, 2009

Gempa magnitud 5.9 gegar kepulauan Santa Cruz

SYDNEY: Gempa bumi pada magnitud 5.9 mengegarkan kepulauan Santa Cruz, selatan Pasifik,hari ini, menurut ahli seismologi Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa terbabit jam 6.09 pagi waktu Sydney itu tercetus pada jarak 466 kilometer utara Luganville, kepulauan Santo, iaitu sebahagian daripada kepulauan Vanuatu. - AFP

Wanita Gerakan syor 7E realisasi 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Wanita Gerakan menggariskan tujuh hala tuju atau 7E bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia.

7E merujuk kepada memastikan Perlembagaan Persekutuan terletak di kedudukan yang tinggi, memastikan kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan, mementingkan hak asasi manusia dan memupuk serta mewujudkan masyarakat demokrasi.

Ia juga merujuk kepada usaha membasmi semua bentuk diskriminasi dan undang-undang diskriminasi, mendidik dan menggalakkan ekonomi adil bagi semua dan kuasa bagi mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama.

Ikrar itu dilafazkan perwakilan Wanita Gerakan pada persidangan kebangsaan pergerakan itu yang berlangsung di Menara PGRM di sini hari ini.

Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe, berkata gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah merupakan gagasan murni bagi memastikan perpaduan yang utuh dicapai di negara ini, dengan menitikberatkan kebajikan dan pembelaan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Wanita Gerakan akan sentiasa berganding bahu dengan Pemuda dan parti induk untuk mendekati rakyat daripada pelbagai peringkat umur, untuk digembleng bersama kerajaan dalam menangani kemelut ekonomi di samping memastikan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dapat direalisasikan.

"Segala polisi dan dasar kerajaan mesti dilaksanakan dengan adil dan telus untuk rakyat Malaysia, tanpa membezakan warna kulit, keturunan, agama dan latar belakang, agar rakyat daripada semua kaum digembleng bersama untuk mara ke hadapan," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada persidangan itu.

Dalam ucapannya, Tan turut menyentuh kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam tujuh pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum tahun lalu dengan menyatakan antara faktor yang menjadi punca kepada kekalahan itu ialah kelemahan calon.

Beliau berkata, rakyat kini mahukan calon yang berintergriti, berkualiti, mesra rakyat dan boleh berkhidmat untuk mereka.

Tan juga berkata, untuk menyakinkan rakyat bahawa Gerakan adalah parti yang masih relevan, segala kepincangan dalam kepimpinan parti perlu ditangani dengan segera dan berhemah.

"Rakyat dahagakan sumbangan daripada pemimpin politik dan bukannya percakaran sesama pemimpin untuk berebut kuasa demi kepentingan politik sendiri.

"Kita harap semua ahli parti dan parti komponen sedar akan tanggungjawab dan peranan masing-masing, kerana tindak-tanduk semua akan secara langsung memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - Bernama

H1N1: Tiada kes babitkan jemaah Malaysia

SUNGAI PETANI: Malaysia setakat ini belum menerima laporan mengenai kes jangkitan selesema babi atau Influenza A(H1N1) yang membabitkan jemaah haji negara ini di Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata semua jemaah yang berada di Jeddah, Madinah dan Makkah dilaporkan dalam keadaan sihat untuk meneruskan ibadah haji.

"Kita yakin kerajaan Arab Saudi mampu mengawal penyebaran selesema babi, jadi semua waris jemaah dinasihatkan supaya tidak melayan khabar khabar angin mengenai wabak itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada orang kurang upaya (OKU), di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan terus berusaha untuk berbincang dengan kerajaan Arab Saudi bagi menambah kuota jemaah haji yang dibenarkan menunaikan haji setiap tahun.

"Seperti yang diputuskan dalam persidangan OIC (Pertubuhan Persidangan Islam) sabelum ini, kuota sebanyak 26,000 jemaah diperuntukkan untuk Malaysia.

"Kerajaan Arab Saudi sendiri sedang berusaha menambah bangunan agar dapat menampung jemaah setiap tahun, yang kini mencapai hampir tiga juta orang," katanya. - Bernama

Pemuda Gerakan cadang parti tunggal ganti BN

KUALA LUMPUR: Pemuda Gerakan hari ini mencadangkan penubuhan parti tunggal yang mewakili semua kaum bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) yang kini dianggotai parti komponen yang mewakili kaum tertentu.

Ketuanya, Lim Si Pin, berkata penubuhan parti tunggal itu diyakini akan dapat menarik minat semua kaum untuk menyertainya dan dapat mengelakkan timbulnya sebarang masalah perkauman.

"Kalau kita (parti komponen) masih menggunakan cara perkauman untuk mengatasi masalah, kita hanya akan menjadi semakin mundur dan tidak dapat menuju ke hadapan," katanya dalam ucapan dasar pada persidangan Pemuda Gerakan di Menara PGRM di sini.

Sehubungan itu, Lim mencadangkan satu jawatankuasa Pemuda Barisan Nasional (BN) ditubuhkan untuk mengkaji bagaimana struktur parti tunggal sedemikian dapat direalisasikan.

"Saya berharap, Pemuda BN yang kini di bawah pucuk pimpinan saudara Khairy Jamaluddin tidak mengambil ringan cadangan ini tetapi sebaliknya mengambil cadangan untuk menerokai kemungkinan diwujudkan satu parti sedemikian," katanya.

Sementara itu, Lim berkata kesepakatan dan kerjasama perlu dicapai antara semua parti komponen BN dengan menjadikan kekalahan pada pilihan raya umum ke-12 tahun lalu sebagai iktibar dan mendapatkan semula sokongan pengundi pada pilihan raya umum dan kecil yang akan datang.

Katanya, keputusan pilihan raya umum ke-12 jelas menunjukkan bahawa aspirasi dan hasrat pengundi dan rakyat jelata telah menjangkaui batasan kaum.

"Banyak kerja pemulihan perlu dilaksanakan, misalnya semua rancangan sedia ada harus dikemaskinikan dan dikaji semula untuk meningkatkan semula imej parti Barisan Nasional," katanya.

Mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Lim berharap kerajaan dapat membuat pindaan yang menyeluruh ke atas akta itu dan bila tiba masa yang sesuai dimansuhkan dan digantikan dengan satu akta yang lebih berperikemanusiaan. - Bernama