Followers

Friday, October 23, 2009

Bajet 2010: RM3.7 bilion pertingkat pasukan keselamatan

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM3.7 bilion akan diberikan kepada pasukan keselamatan bagi mempertingkatkan lagi kecekapan anggotanya termasuk menyediakan kelengkapan yang moden dan canggih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sejumlah RM1 bilion akan disediakan untuk meningkatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2010 bagi memastikan matlamat kerajaan untuk melaksanakan langkah mencegah jenayah yang dikenal pasti sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) terpenting negara.

"Kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan indeks jenayah sebanyak lima peratus termasuk mengurangkan kadar jenayah jalanan seperti ragut dan samun sebanyak 20 peratus pada akhir 2010," katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen hari ini.

Beliau berkata antara langkah yang diambil ialah dengan menyediakan balai polis bergerak di 50 "hot spots" yang dikenal pasti di kawasan berisiko tinggi bagi meningkatkan kehadiran anggota polis agar orang awam merasa yakin dan selamat.

Langkah lain ialah mempertingkatkan latihan dan kecekapan 3,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam untuk melakukan rondaan bersama polis serta meningkatkan kempen pencegahan jenayah dan melaksanakan program integrasi polis dalam komuniti masyarakat, katanya.

Najib berkata keselamatan sempadan negara juga turut diberi perhatian serius dengan menyediakan sejumlah RM1.9 bilion untuk meningkatkan kelengkapan anggota tentera serta membina dan menaik taraf pos kawalan.

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) turut diberikan RM622 juta bagi memastikan kawasan perairan negara bebas daripada penyeludupan dan pencerobohan termasuk ancaman lanun, katanya. - Bernama

Bayaran khas RM500 untuk Gred 41-54, pesara

KUALA LUMPUR: Penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan akan menerima bayaran khas RM500 pada Disember ini.

Perkara ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentangan Bajet 2010 di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Bulan lalu, kerajaan mengumumkan bayaran khas kewangan itu kepada 860,000 penjawat awam kumpulan sokongan yang dibayar dua kali iaitu pada September dan Disember.

Ia membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM430 juta.

Terdapat kira-kira 1.2 juta kakitangan awam pada masa ini, bermakna sebanyak 340,000 lagi penjawat awam dalam Gred 41 hingga Gred 54 akan menikmati faedah itu sekarang.

"Ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dengan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh penjawat awam dan pesara dan diharapkan mereka akan menggunakan pemberian ini dengan sebaik-baiknya," katanya.

Najib berkata, kerajaan menghargai komitmen dan kegigihan penjawat awam dalam memastikan pembangunan negara tercapai demi kesejahteraan rakyat.

"Bagi mengalakkan pengunaan komputer, penjawat awam kini boleh membuat pinjaman kerajaan bagi maksimum RM5,000, sekali dalam setiap tiga tahun bermula tahun depan, berbanding sekali setiap lima tahun sekarang," katanya. - Bernama

Strategi Bajet 2010 bertema 1Malaysia, kemakmuran bersama

KUALA LUMPUR: Berikut strategi Bajet 2010 yang bertemakan '1Malaysia, Kemakmuran Bersama':

STRATEGI 1. Memacu negara ke arah ekonomi negara berpendapatan tinggi

2. Memastikan pembangunan holistik dan mapan

3. Mengutamakan kesejahteraan rakyat

1. Memacu negara ke arah ekonomi negara berpendapatan tinggi

a. Meningkatkan pelaburan swasta - menyediakan persekitaran mesra perniagaan - pelaksanaan inisiatif penswastaan - meningkatkan inisiatif projek awam swasta - mempergiatkan kemasukan pelaburan asing

b. Mempergiat penyelidikan pembangunan dan pengkomersilan

c. Memanfaatkan sepenuhnya bidang khusus - merancakkan industri pelancongan - memantapkan industri ICT - mempergiatkan industri halal

d. Memajukan sektor pertanian

e. Menggalakkan industri pembinaan

f. Memperkasa perusahaan kecil dan sederhana

g. Membangunkan teknologi hijau - menggalakkan pembangunan bangunan hijau

h. Menggalakkan industri kreatif


2. Memastikan pembangunan holistik dan mapan

a. Meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi - meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan - menjaga kebajikan golongan pelajar - menggilap kemahiran tenaga kerja - mempergiat Program Permata - memperkasa institusi pengajian tinggi awam

b. Memantapkan sistem perbankan dan kewangan - mencergaskan pasaran saham - memajukan lagi sistem kewangan Islam - program mikro kredit Ar-Rahnu

c. Memerangi rasuah

d. Pembangunan wilayah koridor - pembangunan Putrajaya dan Cyberjaya

e. Meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kerajaan - memperkukuhkan pengurusan kewangan kerajaan - menstruktur semula skim subsidi minyak - mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan - cukai pendapatan individu

3. Mengutamakan kesejahteraan rakyat a. Mencegah jenayah

b. Meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat - membasmi kemiskinan tegar - membantu golongan miskin dan mudah terjejas - pembinaan kedai desa - menangani kemiskinan di bandar - meningkatkan pemilikan rumah - menambah kemudahan kesihatan awam - meningkatkan jaringan keselamatan sosial - Sukuk (bon Islam) 1Malaysia - Skim Persaraan 1Malaysia - Caruman KWSP - Pembangunan hartanah wakaf.

c. Memperkasa prasarana luarbandar dan pedalaman

d. Menambahbaik pengangkutan awam - Bernama

Bajet 2010: RM30 bilion untuk sektor pendidikan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan peruntukan RM30 bilion untuk pendidikan menengah dan rendah, pemberian biasiswa dan tingkat prasarana termasuk membina 80 sekolah baru, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pembinaan sekolah baru itu membabitkan sekolah kebangsaan rendah dan menengah, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta sekolah mubaligh.

Daripada jumlah itu, peruntukan RM1.1 billion untuk mengubahsuai dan naik taraf sekolah di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.