Followers

Friday, October 23, 2009

Gempa 6.2 Richter gegar utara Afghanistan

KABUL: Gempa kuat 6.2 skala Richter melanda utara Afghanistan awal pagi ini dan gegarannya turut dirasai penghuni bangunan di ibu negara berkenaan.

Agensi Penyelidikan Gelogikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa berlaku jam 12.21 pagi waktu tempatan (1951 GMT) di kedalaman 196 kilometer (km) di kawasan Hindu Kush, berdekatan sempadan Tajikistan dan Pakistan.

Gempa berpusat di 77km di barat daya Feyzabad di Afghanistan dan 115km di barat laut Chitral di Wilayah Barat Pakistan.

Pemberita AFP melaporkan bangunan di Kabul bergegar dan bekalan elektrik terganggu. - AFP

5 negara tolak wakil masyarakat madani di sidang Asean

HUA HIN: Kerajaan Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina dan Singapura menolak kumpulan masyarakat madani dari negara masing-masing pada Sidang Kemuncak Asean ke-15, di sini.

Debby Stothard, dari Rangkaian Alternatif Asean, berkata mereka dimaklumkan Kementerian Luar Thai pada 11 malam semalam bahawa pemimpin berkenaan tidak akan bertemu dengan lima wakil yang dicalonkan oleh kumpulan madani itu.

"Beberapa kerajaan misalnya Singapura, malah menggantikan calon itu dengan wakil mereka sendiri," katanya ketika Sidang Kemuncak Asean ke-15 bermula di Dusit Thani Hotel di resort peranginan tepi laut di sini semalam.

Beliau berkata baki lima wakil dari Brunei, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam diberitahu supaya menghadiri mesyuarat pada 7 pagi ini, lima jam sebelum mesyuarat tidak rasmi antara pemimpin dan kumpulan masyarakat madani itu dijadual berlangsung.

Stothard berkata kumpulan madani itu juga kesal kerana wakil mereka tidak dibenarkan bercakap pada pertemuan 30 minit itu, sebaliknya hanya seorang ahli akademik dari Chulalongkorn University sahaja yang dibenarkan bercakap.

"Kami masih berusaha mendapatkan lebih ramai orang untuk bercakap pada mesyuarat berkenaan," katanya.

Wakil masyarakat madani yang ditolak itu ialah Khin Ohmar (Myanmar), Sister Crescencia L. Lucero (Filipina), Sinapan Samydorai (Singapura), Manichanh Philaphanh (Laos) dan Nay Vanda (Kemboja).

Malaysia diwakili Moon Hui Tah, Penyelaras Kempen SUARAM, sebuah pertubuhan hak asasi manusia Malaysia.

Dialog antara 10 pemimpin Asean dan kumpulan masyarakat madani ini diperkenalkan pada Sidang Kemuncak Asean ke-14 yang diadakan di sini, Februari lalu.

Mesyuarat yang julung kali diadakan itu turut diselubungi kontroversi apabila pemimpin Myanmar dan Kemboja enggan bertemu wakil dari negara masing-masing.

Antara perkara yang menjadi tumpuan pada Sidang Kemuncak ke-15 ialah pelancaran Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean mengenai Hak Asasi Manusia.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, Datuk Muhammad Shafee Abdullah dilantik sebagai wakil Malaysia dalam badan berkenaan. - Bernama

Kerajaan kaji pembangunan nuklear untuk jana elektrik menjelang 2025

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti opsyen penggunaan nuklear bagi penjanaan elektrik sebagai salah satu penyelesaian jangka masa panjang bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik negara menjelang 2025, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, berkata berdasarkan analisis awal yang dijalankan, negara tidak lagi dapat bergantung kepada sumber-sumber penjanaan elektrik sedia ada seperti gas, hidro dan arang batu.

"Oleh itu, opsyen penggunaan nuklear bagi penjanaan elektrik tidak dapat diketepikan kerana ia dapat menawarkan opsyen yang menarik untuk memenuhi keperluan elektrik negara," katanya menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

Chin berkata sebagai langkah awal, kerajaan akan mengkaji keupayaan serta kesediaan negara untuk melaksanakan program pembangunan nuklear bagi penjanaan elektrik.

"Pelbagai aspek dari segi perundangan, kawal selia, pembangunan sumber manusia dan sebagainya akan dikaji bagi menilai kesediaan negara dalam bidang ini," katanya. - Bernama

Hutang kad kredit tidak kritikal: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata hutang penggunaan kad kredit di negara ini tidak berada pada tahap kritikal walaupun penggunaannya sebagai instrumen pembayaran semakin meningkat.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata sehingga akhir Ogos lalu jumlah hutang terkumpul kad kredit hanya merangkumi 3.4 peratus daripada jumlah pembiayaan keseluruhan institusi perbankan.

"Tahap pinjaman tak berbayar kad kredit juga masih terkawal dan telah menurun kepada 2.4 peratus daripada jumlah hutang kad kredit pada akhir Ogos 2009 berbanding 16.1 peratus pada 1998 (ketika krisis kewangan serantau)," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Abu Bakar Taib (BN-Langkawi) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Abu Bakar dalam soalannya mahu tahu bilangan kad kredit yang telah dikeluarkan oleh bank konvensional dan perbankan Islam dan sama ada ia ditahap yang membimbangkan dengan keadaan ekonomi negara sekarang.

Najib berkata, bilangan individu muflis disebabkan hutang kad kredit pula hanya merangkumi lebih kurang 0.04 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang kad kredit utama pada tiga tahun lalu.

"Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memantau penggunaan kad kredit dari semasa ke semasa bagi memastikan pemegang kad menggunakan instrumen pembayaran tersebut secara berhemat," katanya.

Najib berkata, di samping itu BNM telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang memulakan operasinya pada April 2006.

Agensi berkenaan menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan, kaunseling kredit, pendidikan kewangan dan penyusunan semula pinjaman, termasuk hutang kad kredit kepada individu.

Setakat Ogos 2009, sejumlah 11.1 juta kad kredit telah dikeluarkan oleh bank konvensional, institusi perbankan Islam, institusi kewangan pembangunan dan institusi bukan bank.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM10.11 juta kad kredit dikeluarkan oleh bank konvensional dan institusi perbankan Islam dan institusi kewangan pembangunan dan institusi bukan bank masing-masing sebanyak RM450 ribu. - Bernama