Followers

Friday, October 23, 2009

Hutang kad kredit tidak kritikal: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata hutang penggunaan kad kredit di negara ini tidak berada pada tahap kritikal walaupun penggunaannya sebagai instrumen pembayaran semakin meningkat.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata sehingga akhir Ogos lalu jumlah hutang terkumpul kad kredit hanya merangkumi 3.4 peratus daripada jumlah pembiayaan keseluruhan institusi perbankan.

"Tahap pinjaman tak berbayar kad kredit juga masih terkawal dan telah menurun kepada 2.4 peratus daripada jumlah hutang kad kredit pada akhir Ogos 2009 berbanding 16.1 peratus pada 1998 (ketika krisis kewangan serantau)," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Abu Bakar Taib (BN-Langkawi) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Abu Bakar dalam soalannya mahu tahu bilangan kad kredit yang telah dikeluarkan oleh bank konvensional dan perbankan Islam dan sama ada ia ditahap yang membimbangkan dengan keadaan ekonomi negara sekarang.

Najib berkata, bilangan individu muflis disebabkan hutang kad kredit pula hanya merangkumi lebih kurang 0.04 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang kad kredit utama pada tiga tahun lalu.

"Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memantau penggunaan kad kredit dari semasa ke semasa bagi memastikan pemegang kad menggunakan instrumen pembayaran tersebut secara berhemat," katanya.

Najib berkata, di samping itu BNM telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang memulakan operasinya pada April 2006.

Agensi berkenaan menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan, kaunseling kredit, pendidikan kewangan dan penyusunan semula pinjaman, termasuk hutang kad kredit kepada individu.

Setakat Ogos 2009, sejumlah 11.1 juta kad kredit telah dikeluarkan oleh bank konvensional, institusi perbankan Islam, institusi kewangan pembangunan dan institusi bukan bank.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM10.11 juta kad kredit dikeluarkan oleh bank konvensional dan institusi perbankan Islam dan institusi kewangan pembangunan dan institusi bukan bank masing-masing sebanyak RM450 ribu. - Bernama

Thursday, October 22, 2009

Jangan perbesar isu sejadah 'berdiri': Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, tidak mahu isu sejadah berdiri yang hakikat kebenarannya masih tidak dapat dibuktikan sehingga kini tidak diperbesar-besarkan oleh masyarakat Islam negara ini.

"Cerita itu adalah cerita yang ada persoalan besar untuk ditanya kebenarannya, sejadah berdiri di sekolah, di Pasir Mas dan sebagainya, kejadian itu tak dibuktikan bagaimana ia berlaku, gambar pun tak diambil, orang pun tak nampak cuma alih-alih sejadah sudah berdiri...ia tak perlu diperbesarkan.

"Dalam hal ini jika ia benar berlaku...kalau ada orang nampak, itu adalah kebesaran Tuhan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Menuju ke Makkah: Catatan Perjalanan Sepanjang Zaman di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian sejadah berdiri yang berlaku di beberapa kawasan di Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang baru-baru ini.

Jamil Khir berharap, perkara yang berkaitan dengan khurafat yang boleh memesongkan akidah seseorang tidak dijadikan alat untuk menyedarkan masyarakat.

"Saya tak hairan pun ada sejadah berdiri, yang saya heran dan pelik apabila ada sejadah tapi tak ada orang berdiri sembahyang, kita kesal...nak menyedarkan masyarakat kita kena bawa hal yang pelik-pelik," katanya.

Katanya, tindakan boleh diambil jika terbukti ada pihak yang tidak bertanggungjawab mencetuskan kejadian itu dengan niat untuk mencipta kekalutan dan mengganggu pemikiran masyarakat di negara ini.

Pameran itu yang bermula hari ini dan berakhir 22 Januari tahun depan adalah pameran yang menghimpunkan pelbagai kisah menarik dan pengalaman jemaah haji dari seluruh dunia sejak 1,400 tahun lalu. - Bernama

Kerajaan tidak akan swastakan IJN: Nor Mohamed

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menswastakan Institut Jantung Negara (IJN) sama ada secara sebahagian atau keseluruhan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini.

"Unit Perancangan Ekonomi (EPU) belum memberi sebarang kelulusan bagi penswastaan IJN. Tiada apa (kelulusan) telah dihantar kepada kami.

"Malah, walau sesiapa pun datang menemui kami mengenai perkara itu, tiada apa yang akan diswastakan, tidak secara sebahagian atau secara keseluruhan," katanya ketika dihubungi.

Beliau diminta mengulas mengenai satu laporan bahawa EPU telah memberi kelulusan dilakukan langkah untuk menswastakan IJN.

Menurut laporan itu, Lembaga Pengarah IJN telah dibenarkan untuk melakukan skim merungkaikan aset secara meluas, iaitu satu langkah yang pada akhirnya memisahkan fungsi operasi institut itu dan mewujudkan anak syarikat baharu.

IJN kini beroperasi di dalam bentuk IJN Holdings Sdn Bhd yang memiliki Hospital IJN. Terdapat juga IJN Capital dan IJN College. - Bernama

PAGE minta kerajaan teruskan PPSMI

KUALA LUMPUR: Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) menyeru kerajaan memberi pilihan kepada sekolah untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah kebangsaan dan sekolah menegah kebangsaan.

Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata kebanyakan sekolah di sekitar Lembah Klang mahu PPSMI diteruskan kerana hasil kajiselidik menunjukkkan 97 peratus ibu bapa menyokong pelaksanaan dasar terbabit tanpa mengetepikan keutamaan Bahasa Kebangsaan.

"ami berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membuat pertimbangan dalam hal ini selaras dengan gagasan 1Mmalaysia yang mengutamakan rakyat. Kami yakin banyak sekolah yang menyokong dasar ini, tetapi tidak diberikan peluang untuk menyatakannya,"katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, sebentar tadi.

Kumpulan itu yang mewakili sembilan sekolah di sekitar Lembah Klang menyerahkan memorandum terbabit kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk V Saravanan.