Followers

Thursday, October 22, 2009

PM New Zealand lawat Malaysia mulai Ahad

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri New Zealand, John Key akan tiba Ahad ini untuk lawatan tiga hari ke Malaysia.

Tujuan utama lawatan kerja itu, yang pertama ke Malaysia oleh Key sejak memegang jawatan itu November tahun lalu, adalah untuk menjalin hubungan kerja dan persahabatan dengan Datuk Seri Najib Razak, kata kenyataan Wisma Putra hari ini.

"Kedua-dua Perdana Menteri akan berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama," kata Wisma Putra.

Key juga dijadual menyaksikan majlis menandatangani perjanjian perdagangan bebas Malaysia-New Zealand (MNZFTA).

MNZFTA adalah perjanjian perdagangan bebas dua hala ketiga yang akan ditandatangani oleh Malaysia selepas Jepun dan Pakistan.

Najib akan menganjurkan majlis makan malam bagi meraikan Key, Isnin ini.

Pemimpin New Zealand itu akan diiringi oleh Menteri Perdagangan Tim Groser, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan lebih 60 ahli perniagaan.

Key juga dijadual merasmikan pembukaan Dairymas, kilang kedua kepunyaan Fonterra Brands, syarikat multinasional New Zealand yang terbesar dan pembekal tenusu terbesar dunia, di Shah Alam.

Fonterra melabur RM25 juta dalam kilang itu yang mengeluarkan makanan tenusu kultur.

Malaysia adalah pasaran keenam terbesar bagi Fonterra. - Bernama

Gempa 6.1 Richter landa Panama

WASHINGTON: Gempa kuat berukuran 6.1 skala Richter menggegarkan Panama, awal hari ini, menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Gempa itu berpusat di 179 kilometer (km) di bandar David, barat laut Panama dan 410km dari barat daya Bandaraya Panama. - AFP

Harga minyak mentah cecah AS$82 setong

NEW YORK: Harga minyak mentah dunia terus melonjak ke paras tertinggi tahun ini, iaitu AS$82 setong semalam.

Kontrak hadapan New York bagi minyak 'light sweet crude' untuk pengagihan bekalan Disember naik AS$2.25 untuk ditutup kepada AS$81.37 setong.

Ketika dagangan semalam, harganya mencapai AS$82.00 setong, paras tertinggi pernah dicatat sejak Oktober 2008.

Kontrak London Brent North Sea untuk pengagihan bekalan Disember pula menyaksikan harga meningkat AS$2.45 kepada AS$79.69 setong.

Selain disebabkan kelemahan mata wang Dollar AS ketika ini, minyak mentah melonjak berikutan laporan bekalan mingguan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat menunjukkan bahawa rizab minyak negara itu sudah menyusut 2.3 juta tong seminggu sejak 16 Oktober lalu. - AFP

Pembangkang tubuh pasukan khas siasat laporan Audit Negara

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat dengan lebih terperinci Laporan Audit Negara 2008 yang dikeluarkan, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata laporan audit itu menunjukkan terdapat unsur penyelewengan bagi negeri yang ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata demikian di lobi Parlimen sebelum mengikuti sidang Parlimen yang bersambung, sebentar tadi.